Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 27 September 2016

Ilmu jururawat penting

21 September 2016 6:00 PM

BAGAIMANA sibuknya tugas seorang doktor, lebih kurang begitu juga tugas seorang jururawat. Mereka bekerja mengikut giliran, kadang-kadang hingga lebih 10 jam, banyak berjalan dan berdiri, perlu berhadapan dengan kerenah pesakit dan keluarga mereka serta pelbagai masalah lagi.
  
Sharifah Nadya Syed Jamaluddin

Namun, tugas jururawat adalah satu tugas yang mulia kerana membantu mereka yang sedang dalam kesakitan.

Sebagaimana kerja atau tugasan lain, sekiranya tiada komitmen dan melakukan kerja tidak ikhlas, maka tanggungjawab tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Azliana Mohd. Ridzuan, 28, dahulu dia pernah bergelar sebagai seorang jururawat, bagaimanapun setelah berkahwin dan mempunyai seorang anak, dia terpaksa meletakkan jawatan bagi memberikan perhatian kepada anaknya, Aidan Misyari Syukri, yang kini berusia dua tahun empat bulan.

Walaupun sekarang telah bekerja dalam bidang lain, di sebuah syarikat swasta di Uptown Damansara, namun ilmu kejururawatan tidak pernah dilupakan dan masih segar dalam mindanya.

Berasal dari Perak, Azliana yang berkelulusan Diploma Kejururawatan dari Kolej Segi berkata, sehingga sekarang dia masih ingat apa yang dipelajari di kolej dan dipraktikkan semasa bekerja di hospital.

Setelah habis pengajian di kolej, dia diterima bekerja sebagai jururawat di Hospital Prince Court. Bagaimanapun dia hanya sempat bekerja selama enam tahun sahaja.

Kerana waktu bekerja yang tidak menentu dan perlu mengikut giliran kerja yang ditetapkan, dan ketika itu pula telah berkahwin, maka dia terpaksa memilih sama ada terus bekerja atau berhenti.

“Saya memilih untuk berhenti kerana anak masih bayi dan memerlukan perhatian yang lebih daripada saya. Suami mengikut sahaja keputusan tetapi dia lebih suka jika saya berhenti.

“Sekarang saya sudah bekerja di bidang yang amat berbeza dan rasa lebih sesuai dengan kerjaya sekarang. Saya boleh luangkan banyak masa bersama keluarga dengan waktu kerja yang teratur.

“Dahulu, semasa masih bekerja sebagai jururawat, macam-macam perangai pesakit saya perlu hadapi.

“Biarpun rasa penat dan agak tertekan, namun saya seronok dengan tugasan yang dilakukan.

“Apabila pesakit sembuh, saya sendiri rasa bersyukur dan gembira kerana individu yang kita jaga itu dapat menjalankan kehidupannya kembali seperti sedia kala.

“Lebih mencabar apabila ada pesakit yang koma. Saya tidak boleh leka, 24 jam mesti bersama pesakit dan memerhatikan progresnya,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Pun demikian, ujar Azliana, dia atau rakan-rakan setugas yang lain tidak pernah marah-marah atau bermasam muka biarpun berasa penat kerana bagi mereka sudah menjadi tanggungjawab memastikan pesakit yang mendapatkan rawatan memperoleh penjagaan sepatutnya.

Bagi Azliana, yang dipraktikkan oleh dirinya sepanjang masa bertugas, perlu menunjukkan wajah yang manis, bercakap dengan lemah-lembut dan melayani setiap kerenah pesakit.

“Ini merupakan salah satu cabang tugas yang murni. Biar pesakit rasa senang hati dengan layanan yang diberikan.

“Mudah-mudahan mereka cepat sembuh dengan layanan demikian,” katanya.

Azliana tidak pernah kesal berhenti kerja kerana banyak ilmu yang dipelajarinya dahulu masih lagi diingati dan dipraktikkan. Baginya, tidak rugi dia belajar ilmu kejururawatan.

Jika anaknya demam di rumah, dia tahu apa hendak dilakukan. Dia tahu bagaimana hendak merawat anaknya.

Katanya, kerjaya jururawat menarik kerana dia mengetahui mengenai kebanyakan penyakit yang orang lain tidak 
tahu dan apa yang hendak dilakukan sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

“Keluarga pun suka saya menjadi jururawat kerana 
boleh membantu ahli keluarga yang sedang sakit. Ibu saya seorang bidan kampung, sebab itu dia mahu saya menjadi jururawat.

“Mereka menyokong saya semasa mengambil kursus kejururawatan dahulu tetapi memahami apabila saya beritahu hendak berhenti kerja.

“Sekarang pun jika ibu, bapa atau ahli keluarga yang tidak sihat, mereka akan bertanya saya mengenai penyakit mereka. Jika boleh dibantu sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya ke pihak doktor.

“Ini pun salah satu cara saya mempraktikkan ilmu jururawat. Jika tidak dipraktikkan mungkin lama-kelamaan akan lupa,” kata Azliana lagi.

Selepas berhenti kerja dari Hospital Prince Court, Azliana mencuba dalam bidang peragaan dan dilihat mempunyai bakat dalam bidang tersebut. Peragaan dilakukan secara sambilan pada hujung minggu.

Setelah menyertai Pertandingan Pencarian Wanita Melayu 2015 dan memenangi Anugerah Miss Personaliti, rezekinya lebih luas dan menerima banyak tawaran peragaan daripada butik dan majalah.

Peluang mengenali ramai orang membuka hatinya memulakan perniagaan sendiri. Dia kini memiliki perniagaan pakaian kasual, Muslimah dan lelaki yang diberi nama Wear and Flair yang dijual secara dalam talian. Mereka yang ingin melihat koleksi pakaian Azliana boleh melayari Instagram @wearandflair.


-Sumber: UTUSAN MALAYSIA

Penjenayah pura-pura minta tolong


 
Noni melakonkan semula adegan apabila mukanya ditekup dan lehernya diacukan dengan pisau oleh penjenayah sebelum disamun.
 
BATU PAHAT - Niat seorang jururawat di sebuah klinik desa, di sini, untuk membantu seorang lelaki bertukar menjadi episod malang apabila disamun lelaki terbabit.

Kejadian kira-kira jam 6.15 petang, Ahad lalu itu berlaku ketika mangsa didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dan meminta pertolongan untuk membantu rakannya yang terlibat dalam nahas di kawasan berhampiran.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Noni, 35, berkata, ketika kejadian, dia sedang membersihkan kawasan sekitar klinik kerana dia bertugas pada sebelah malamnya.

"Tiba-tiba saya didatangi lelaki itu yang meminta bantuan kerana rakannya kemalangan. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersiap-siap menyediakan peralatan perubatan untuk dibawa ke lokasi kejadian.

"Tetapi sebaik sahaja saya megambil ubat di dalam almari, lelaki yang memakai jaket, bertopi keledar serta bersarung tangan itu terus mengugut saya dengan mengacukan pisau lipat di leher. Saya yang ketakutan hanya menurut sahaja kehendaknya," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Noni, suspek seolah-olah pernah datang ke klinik kerana tahu di mana dia meletakkan beg tangannya.

"Dia terus heret saya ke bilik itu dan arahkan saya untuk serah semua barangan berharga, termasuklah beg tangan, barang kemas dan barangan lain bernilai kira-kira RM3,000.

"Lima minit selepas itu, dia terus bergegas keluar meninggalkan klinik," katanya yang masih trauma.

Dalam pada itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan berkata, dia kesal dengan kejadian itu dan berharap pihak berkaitan dapat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan yang berisiko seperti di klinik desa.

“Saya berharap kawalan keselamatan dapat dilakukan seperti menyediakan pengawal keselamatan, memasang gril pada pintu dan tidak membenarkan pemakaian topi keledar di premis kerajaan, selain jururawat tidak bertugas sendirian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan kejadian itu dan menyatakan kes terbabit masih lagi dalam siasatan.


Sumber: SINAR HARIAN