Pages

Jom Kita Berkawan

Showing posts with label Sambutan Hari Jururawat 2014. Show all posts
Showing posts with label Sambutan Hari Jururawat 2014. Show all posts

Friday, 6 June 2014

Profesionalisme, kesabaran jururawat dihargai

ARKIB : 02/06/2014
Mohamad Hasan (tengah) bersama Dr. Jaafar Che Mat (depan,empat dari kiri) serta sebahagian kakitangan dan jururawat ketika hadir Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Majlis Makan Malam Peringkat Hospital Tuanku Jaafar Seremban, malam kelmarin.-utusan/Abd Razak Aid
SEREMBAN 1 Jun - Peranan jururawat tidak boleh dipandang enteng kerana mereka adalah tenaga profesional yang menjadi barisan hadapan dalam memberi rawatan kepada pesakit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjaya sebagai jururawat yang berkhidmat kepada masyarakat dihargai kerana memerlukan komitmen, kesabaran dan tahap profesionalisme tinggi dalam mengendalikan sebarang kes."

"Peranan sebagai jururawat yang terpaksa melayan kehendak pesakit tidak hanya terhenti di situ sahaja malahan mereka juga berdepan dengan ahli keluarga pesakit yang kadangkala mencabar tahap toleransi jururawat.

"Tetapi saya yakin tahap profesionalisme yang ditonjolkan oleh jururawat amat tinggi dan saya berharap supaya terus meningkatkan lagi tahap perkhidmatan yang baik dan tahap toleransi serta kesabaran dalam menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Majlis Makan Malam Peringkat Hospital Tuanku Jaafar Seremban dekat sini malam semalam.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Datuk Dr. Jaafar Che Mat dan Pengerusi Kelab Kejururawatan hospital berkenaan, Erni Sabirin.

Dalam perkembangan lain, Mohamad dalam ucapannya turut memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk menyediakan hospital awam di kawasan Nilai ekoran kepadatan penduduk.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri telah menghantar dua cadangan kepada kerajaan Pusat iaitu sama ada penubuhannya di bawah penyeliaan Kementerian Kesihatan atau Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Kita juga turut bercadang membangunkan program Klinik Pakar Bergerak yang mana beberapa buah karavan dengan kelengkapan mesin rawatan mata, pergigian dan penyakit umum disediakan.

"Perkhidmatan ini akan diberikan keutamaan kepada penduduk luar bandar kerana kita mahu semua penduduk berpeluang mendapat khidmat dan kepakaran dalam rawatan," katanya.

sumber: UTUSAN MALAYSIA

Thursday, 22 May 2014

Jasa Jururawat Tidak Terbalas

Oleh Norhayati Mohd Akhir

 
 
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ia satu profesion yang tidak menjanjikan populariti mahupun gaji besar.

Namun jasa dan bakti sebagai jururawat sekadar dibalas dengan kalungan penghargaan atau susunan ayat indah oleh pesakit dan masyarakat.

Meskipun dianggap satu profesion yang mulia, namun kejururawatan bukanlah jawatan yang menjadi pilihan bagi kebanyakan orang.

Apatah lagi apabila perlu menjaga pesakit siang dan malam dengan pelbagai ragam, memerlukan ketabahan dan kesabaran diri.

Bersempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 12 Mei baru-baru ini, BERNAMA sempat meluangkan masa menemubual beberapa insan yang berjasa dalam bidang ini, di sebuah hospital swasta ibu negara.

PENGALAMAN BERHARGA TIADA TANDINGAN
 

Pengalaman selama 25 tahun dalam bidang kejururawatan adalah pengalaman terindah dan akan diteruskan buat Jasbal Kaur, 55 tahun.

Antara pengalaman yang paling bermakna sepanjang menjadi jururawat ialah setiap tahun pada tanggal 12 Sept beliau akan menerima kiriman sekotak hadiah berupa coklat daripada seorang pesakit yang pernah dirawatnya beberapa tahun lepas.

Lebih bermakna, pada tarikh itu adalah hari kelahiran Jasbal yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.

"Wanita itu bernama Shahrizat. Saya yang menjaganya sepanjang berada di wad akibat sakit kaki.

"Walaupun beberapa tahun berlalu, namun beliau masih menghubungi saya dan setiap tahun pada hari lahir saya, beliau akan hadiahkan coklat," katanya.

Dalam menjalani susur kehidupan di dunia ini, pastinya pelbagai cabaran perlu dilalui apabila memilih profesion ini. Namun kata Jasbal, seseorang itu perlu bijak untuk menanganinya kerana melalui kesabaran menghadapi cabaran, kepuasan bakal dirasai dalam melaksanakan tugasan.

"Saya tidak pernah jemu dengan kerjaya ini malah berbangga mempunyai pengalaman berharga yang tiada tandingan," kata Jasbal.

BERUBAH TEMPAT

Menceritakan pengalaman pertama berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Angkatan Tentera Kem Kinrara 95 di ibu negara, Jasbal berkata beliau bekerja di hospital itu selepas tamat Sijil Latihan Kejururawatan di Sekolah Kejururawatan Hospital Kuala Lumpur 30 tahun lepas.

Selepas lima tahun mencurah bakti di hospiral itu, Jasbal mendapat tawaran untuk menjadi jururawat di Pusat Rawatan KPJ Tawakkal di sini namun ketika baharu lima tahun berkhidmat beliau terpaksa mengikut suaminya ke Ipoh.

"Sebelum ke Ipoh, saya nekad untuk terus berkhidmat dalam bidang yang sama. Saya mohon jawatan sama di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan diterima berkhidmat," katanya.

"Selama 10 tahun di sana, saya menimba pelbagai pengalaman dan menerima cabaran sebagai suatu proses pembelajaran bagi meningkatkan kualiti kerjaya selain memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

"Bagi saya walau terpaksa berpindah randah, namun semua itu tidak pernah patahkan semangat untuk terus berbakti kepada pesakit," katanya yang kini kembali berkhidmat di Pusat Rawatan KPJ Tawakkal.

SATU DALAM SEJUTA

Bagaikan permata di tengah lautan, begitulah diibaratkan bagi kaum Adam yang memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejururawatan dan kemudian menjawat jawatan sebagai jururawat.

Statistik terkini menunjukkan hanya 1.7 peratus daripada 117,000 jururawat di seluruh negara ini terdiri daripada jururawat lelaki.

Anak muda berusia 22 tahun ini adalah antara yang berada dalam peratusan kecil itu. Beliau berasal dari Negeri Sembilan pada mulanya bertarung dengan diri sendiri memilih jurusan sesuai selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009.

Insan ini bernama Mohamad Fakhrulrazi Mohd Redzuan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Perakaunan namun beliau buntu untuk membuat pilihan.

Situasi itu mendorong anak sulung daripada tiga beradik itu untuk mendapatkan pandangan daripada kedua-dua ibu bapa serta saudara-mara terdekat bagi membuat pilihan tepat yang bakal menentukan masa hadapannya.

"Merekalah insan yang menyebabkan saya berada di sini menjawat jawatan mulia ini. Tanpa mereka saya mungkin tidak memilih kerjaya yang sememangnya memberi kepuasan kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia dan tidak siapa mampu memikul tanggungjawab ini jika mereka tidak nekad serta kuat," katanya.

Pelajar lulusan diploma Kejururawatan Kolej Universiti KPJ itu kini tidak segan silu malah berbangga apabila ditanya mengenai kerjayanya sekarang.

"Saya bangga memilih kerjaya ini yang adalah satu bidang istimewa dan bermakna bagi saya," katanya yang baru setahun berkhidmat di hospital berkenaan.

IKTIRAF KERJAYA JURURAWAT

Dua lagi jururawat turut berkongsi pengalaman ialah Maimon Md Ramli, 49, dan Chua Seok Chin, 48, yang masing-masing berkhidmat selama 22 tahun dalam bidang kejururawatan dan merawat ratusan pesakit dari pelbagai lapisan umur, keturunan dan latar belakang.

Bagi mereka, penghargaan bukanlah sesuatu yang diharapkan tetapi mereka berharap agar jururawat diiktiraf sebagai satu kerjaya yang mampu membawa kejayaan serta memberi kepuasan kepada mereka yang memilih profesion itu.

"Ramai yang masih teragak-agak memilih profesion ini lebih-lebih lagi kaum Adam. Tidak salah jadi jururawat lelaki malah patut bangga sebab dapat bantu insan lain yang dalam kesakitan," kata Chua ibu kepada tiga anak.

Kenyataan Chua diakui Maimon dan rakan-rakan jururawat lain demi memberi dorongan serta semangat terutama kepada pelajar yang masih mencari bidang sesuai bagi melanjutkan pelajaran selepas SPM.

Keempat-empat jururawat itu mewakili beribu jururawat di negara ini menyimpan hasrat mahu memartabatkan profesion jururawat, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit serta menjalin hubungan baik dengan pesakit.

Mereka mengakui profesion ini bukanlah mudah kerana jururawat adalah orang pertama yang menemui pesakit apabila datang ke klinik atau hospital.

"Kami sebenarnya boleh diibaratkan orang kedua penting selepas doktor", kata Maimon mengakhiri sesi temubual.

-- BERNAMA

Wednesday, 14 May 2014

KKM Perlu 15,700 Jururawat - Subramaniam


PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Seramai 15,700 pelatih jururawat baharu akan diambil secara berperingkat bagi menampung kekurangan jururawat di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata sebanyak 2,861 jururawat lepasan kolej swasta telah dilantik Januari lalu, 111 lepasan institusi pengajian tinggi swasta serta 1,065 orang lepasan Kolej Kementerian Kesihatan pada Februari.

Seramai 5,000 pelatih jururawat telah diambil tahun lepas, katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di sini Isnin.

Beliau berkata kerajaan juga menambah masing-masing satu jawatan jururawat bagi gred U54 dan U52, 10 jawatan untuk gred U48 dan 23 jawatan untuk gred U44.

Katanya selain memberikan latihan yang mencukupi kepada gologan jururawat, kementerian juga akan mengkaji untuk menambah bilangan pakaian seragam jururawat kepada lima pasang daripada tiga pasang setahun.

Dr Subramaniam berkata elaun mengupah menjahit pakaian seragam yang sebelum ini dibayar balik berdasarkan bayaran yang tercatit dalam resit, kini akan dibayar sepenuhnya melalui gaji mereka, sementara kementerian turut sedang mengkaji pembayaran tuntutan bayaran balik bagi pembelian kasut juga melalui gaji.

Beliau berkata negara kini mempunyai 117,305 orang jururawat dengan 80,055 orang daripadanya bertugas di sektor awam.

"Kini nisbah seorang jururawat adalah untuk 375 penduduk dan kita sedang berusaha secara berperingkat-peringkat supaya selepas ini nisbahnya bertambah kepada 1:300, 1:250 dan 1:200," katanya.

-- BERNAMA

Jururawat kerjaya yang murni

 DUA jururawat memberi layanan mesra kepada salah seorang pesakit di Hospital Pakar KPJ Seremban.
 
SEREMBAN 12 Mei - Apabila dikaitkan dengan nama Florence Nightingale, umum terus melihat satu tarikh iaitu 12 Mei setiap tahun yang merupakan tarikh lahir seorang pengasas kejururawatan moden.

Individu ini dikatakan banyak melakukan pembaharuan kepada kejururawatan dan penjagaan kesihatan, malah secara drastik me­ngurangkan kadar kematian dalam kalangan tentera semasa Perang Krimea sekali gus pencetus hasil kerja keras, dedikasi dan latihan jururawat yang lain.

Perang Krimea, juga dikenali di Rusia sebagai Perang Timur (1853-1856) yang terjadi antara Empayar Rusia melawan sekutu yang terdiri dari Perancis, United Kingdom, Kerajaan Sardinia dan Empayar Uthmaniyyah.

Namun begitu, tarikh Hari Jururawat Sedunia ini telah beberapa kali berubah kerana tidak ada ketetapan yang dibuat sehinggalah pada bulan Januari 1974, satu badan telah membuat keputusan supaya sambutan itu diputuskan pada 12 Mei setiap tahun kerana ia adalah tarikh kelahiran Florence.

 Pengurus Unit Materniti Pakar KPJ Seremban, Nurhidayah Mat Said (empat dari kanan) memberikan taklimat tugasan harian kepada jururawat di wad Materniti Hospital Pakar KPJ Seremban.
 
Di negara ini, sambutan Hari Jururawat juga diadakan dan tentulah kerjaya jururawat itu cukup murni dan amat terpuji, apatah lagi individu yang terlibat tidak pernah beranggapan pesakit sebagai satu beban sebaliknya ia dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Jururawat senior Hospital Pakar KPJ Seremban, N. Bavani, 35, berkata, pekerjaan ini membuatkan dirinya lebih bermakna kerana dapat menyumbang bakti membantu insan yang sakit mahupun ditimpa musibah dalam kesihatan.

“Orang yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan tentulah mereka sedang sakit dan menjadi tanggungjawab kita mela­yan mereka dengan baik. Jika ada masalah, kita akan atasi dengan lembut.

“Bila kita seronok menjaga pesakit, mengambil tahu hal kesihatan mereka dan mesra, maka inilah yang akan dinilai oleh pesakit terhadap kerja yang telah kita lakukan. Apa yang penting pesakit merasa lega apabila bersama kami," katanya kepada Utusan Malaysia sempena Hari Jururawat di Hospital Pakar KPJ Seremban, di sini hari ini.

Dia yang telah 11 tahun dalam kerjaya ini berkata, detik paling menggembirakannya apabila pesakit melafazkan ucapan terima kasih dan itu adalah tanda kami jururawat dihargai.

Rakannya, Lim Tian Yin, 24 memberitahu, sejarah kejururawatan dunia jelas menunjukkan betapa kerjaya ini amat dihargai semua pihak.

“Saya puas apabila dapat membantu pesakit di hospital dan tiada istilah penat, tertekan atau hilang sabar dalam kerjaya ini. Bagi saya, senyuman adalah perkara utama yang dapat meringankan beban pesakit," ujar­nya yang telah tiga tahun menjadi jururawat.

Kata Tian Yin, dia sentiasa meletakkan dirinya dalam situasi pesakit dan apabila itu berlaku, ia akan menyedarkan diri kita betapa pesakit amat perlu dibantu.

“Bila pesakit terlantar, saya akan bantu. Begitu juga dengan pemberian ubat, semuanya perlu dibuat berhati-hati," katanya.

Sementara itu dua jururawat lelaki, Arishah Nur Iskandar Abu Bakar, 26, dan Muhammad Nizam Abd. Razak, 23 berkata, mereka juga boleh melakukan tugas yang dahulunya dimonopoli kaum wa­nita ini.

Kata Arishah Nur Iskandar, ja­ngan memandang rendah keupayaan lelaki dalam pekerjaan sebagai jururawat itu kerana sumbangan lelaki juga besar di wad-wad hospital.

“Saya lebih komited untuk berbakti kepada pesakit, malah dalam keadaan tertentu, jururawat lelaki amat diperlukan untuk mengangkat pesakit dan sebagainya," katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam kerjaya ini.

Tambahnya, jururawat pada hari ini juga bukan seperti dahulu kerana detik ini ia lebih memfokuskan kepada pengkhususan tertentu dan contohnya dia kini menjadi jururawat dalam wad yang ada kaitan dengan jantung dan kawannya, Muhammad Nizam dalam wad dialisis.

“Kita perlu menambah ilmu dan bermatlamat. Sebab itulah, jangan pandang rendah kerjaya jururawat ini, apatah lagi lelaki yang berkarier begini," katanya.

Jelas Muhammad Nizam, dia ju­ga menerima kritikan daripada rakan apabila mereka bertanya kerjayanya pada waktu ini.

“Mereka ketawakan saya kerana beranggapan itu kerjaya khusus untuk wanita. Tetapi hari ini saya berbangga, kerana kerjaya inilah yang membuatkan saya lebih dekat de­ngan pesakit dan membantu mereka yang memerlukannya. Ia kerjaya yang murni," ujarnya.

Di akhir perbualan ini, Bavani, Tian Yin, Arishah Nur Iskandar dan Muhammad Nizam ada ungkapan ini, 'Selamat Hari Jururawat kepada semua'.

sumber: Utusan Malaysia

Jururawat perlu ada empati

Suriate Mohammad (kiri) dan Vickneswary Mayandy (kanan) menjalankan tugas sebagai jururawat dengan penuh dedikasi.
 
Bekerja tidak tentu masa yang ada kalanya dalam keadaan tekanan terutama ketika melayan kerenah pesakit dan pada masa sama perlu memenuhi segala arahan doktor, membuatkan kerjaya sebagai jururawat tidak kurang mencabarnya.

Justeru setahun sekali sumbangan mereka dihargai melalui sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei setiap tahun.

Tugas mereka bukan terhad kepada menjaga pesakit semata-mata, malah melalui kemahiran, pengalaman dan nilai empati yang ada dalam diri, peranan seorang jururwat juga kadang kala bagaikan seorang guru dan kaunselor kepada pesakit. 

Ada masa tertentu, mereka terpaksa bermain dengan emosi sendiri, gembira, sedih, cemas dan sebagainya, kerana sebahagian daripada tugas mereka berhadapan dengan 'nyawa' manusia. 

Ada ketikanya juga mereka melakukan kerja-kerja yang tidak semua orang mahu melakukan waima kepada ibu bapa sendiri, seperti membersih najis, nanah dan darah pesakit. 

Sebab itu, tidak semua orang mampu bergelar jururawat kerana kerjaya ini menuntut seribu macam pengorbanan dan cabaran. 

Ia juga bukan lagi kerjaya yang dipandang sebelah mata kerana sumbangan mereka kepada kelangsungan hidup pesakit sangat besar nilainya.

Bagi Jururawat Diabetik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Suriate Mohammad, 33, yang berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan mengakui, menyandang kerjaya jururawat sejak enam tahun lalu menuntut pengorbanan yang besar.

“Jururawat bukan sahaja bertugas untuk menjaga pesakit, malah kami juga ibarat tulang belakang doktor bagi membantu memudahkan urusan terutama dalam aspek penjagaan pesakit, menyediakan laporan pesakit, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan sejak enam tahun lalu, pesakit yang dimasukkan ke sini biasanya kategori mereka yang mempunyai masalah penyakit kritikal seperti diabetes, penyakit jantung, jangkitan kuman pada paru-paru dan baru menjalani pembedahan.

“Mereka yang dimasukan ke sini datang daripada latar belakang dan jenis penyakit yang berbeza. Bagi menghadapi situasi ini memerlukan kami sentiasa bersedia dan mempunyai ilmu untuk menguruskan mereka dengan baik," jelasnya yang memilih kerjaya jururawat atas dorongan ibu tercinta.

Ditanya tentang pengalaman, anak kelahiran Melaka ini berkata, pelbagai pengalaman pahit manis dan sesetengahnya meruntun jiwa dilalui sepanjang bertugas di bahagian tersebut. 

“Antara yang masih melekat sampai sekarang, pengalaman menjaga seorang pesakit yang melalui pembedahan pada bahagian muka selepas mengalami kemalangan ngeri.

“Tugasan tersebut sedikit mencabar kerana luka tersebut perlu dijaga dengan rapi bagi mengelakkan daripada jangkitan kuman.

“Dalam pada masa yang sama, pesakit tersebut bukan sahaja perlu dirawat fizikalnya, tetapi saya juga perlu menjaga emosinya ketika berhubung.

“Kebiasaan pesakit dalam keadaan sedemikian akan mengalami perubahan dari segi emosi dalam tempoh tertentu. Mereka mudah tersinggung dan cepat marah apabila apabila emosi tidak stabil.

“Waktu inilah, tanggungjawab kami bukan hanya membantu menyembuhkan luka secara luaran, pada masa yang sama juga berperanan menyuntik sokongan moral dan nasihat bagi memulihkan kembali semangat dan jiwa mereka," ujarnya.

Suriate menambah, cabaran yang dihadapi ketika bertugas bukan sahaja memerlukan kekentalan dan kesabaran untuk menguruskan pesakit, malah pengalaman itu dapat meningkatkan ilmu dan kecekalan diri dalam profesional ini.

“Menjaga pesakit yang agak berusia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kebiasaan emosi golongan yang berusia agak susah dikenal pasti.

“Dalam situasi ini kami bukan sahaja memberi mereka makanan dan ubatan, malahan tugasan menukar lampin, bermain dengan nanah dan darah sudah menjadi sebati dalam diri jururawat.

“Bagi golongan yang berusia kami perlu lebih peka dengan emosi mereka bagi memudahkan pengurusan dan proses merawat menjadi lebih lancar," katanya.

Ujar Suriate, yang sedang menyambung pengajian separuh masa dalam jurusan kejururawatan di sebuah kolej swasta, kepuasannya menabur khidmat kepada masyarakat melalui profesion kejururawatan adalah suatu pengalaman yang tidak ada nilainya.

“Wujud satu perasaan mendalam apabila jasa dan pengorbanan dihargai pesakit. Ada beberapa pesakit yang pernah dirawat masih berhubung sehingga sekarang dan menjadi rakan baik. 

“Ada antara pesakit yang menganggap kami seperti ahli keluarga mereka berikutan keakraban dan kemesraan yang dirasai semasa mereka mendapatkan rawatan di sini," katanya. - Siti Aishah Yusoff

Sumber: Utusan Malaysia

Jururawat HDS terima bunga ros

Ayub Rahmat (empat dari kanan) dan Norshida Ibrahim (kiri) menyampaikan bunga ros dan peralatan penjagaan bayi kepada jururawat dan ibu sempena Hari Ibu dan Hari Jururawat di Hospital Daerah Segamat, Johor, kelmarin. - UTUSAN/MOHAMED SAAR I
 
SEGAMAT 13 Mei - Sempena sambutan Hari Jururawat yang disambut setiap 12 Mei dan menghargai pengorbanan serta peranan mereka yang terbabit dalam bidang kesihatan di daerah ini, sebanyak 50 kuntum bunga ros diedarkan kepada jururawat yang bertugas di Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat selain menghargai jasa dan pengorbanan jururawat, kesempatan ini juga diambil untuk mendekatkan diri dengan kelompok tersebut sebagai satu penghargaan kepada karier yang telah digalas dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.

“Pada masa yang sama, hubungan erat di antara pemimpin masyarakat di daerah ini dengan pihak HDS juga dapat ditambah baik seterusnya memberikan semangat kepada mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kerajaan prihatin terhadap sebarang masalah yang dihadapi jururawat terutama yang melibatkan bidang tugas mereka dan berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap profesionalisme bidang tersebut," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bunga kepada jururawat bertugas.

Yang turut hadir pada program kerjasama di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Pengarah HDS, Dr. Aman Rabu.

Lawatan tersebut turut bertandang ke wad bersalin dengan 28 orang ibu bertuah menerima sumbangan peralatan penjagaan bayi sempena sambutan Hari Ibu.

Menurut Ayub, masyarakat harus sentiasa menghargai sumbangan jururawat dan ibu tanpa mengira tarikh tertentu kerana mereka tidak pernah berkira atau memilih waktu tertentu sahaja untuk memberikan khidmat mereka selama ini.

sumber: Utusan Malaysia