Pages

Jom Kita Berkawan

Showing posts with label Jururawat dan Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Jururawat dan Teknologi. Show all posts

Sunday, 20 October 2019

Robot jururawat

NAIMAH MUHAMMAD Sumber & Gambar: Washington Post, Newsflare, Metro & Yellrobot | | 21 Februari 2019

Kehadiran Nan, Nee dan Nim telah membantu meringankan tugas dan operasi sebuah pusat perubatan di Bangkok

SEBUAH hospital di thailand memecah tradisi apabila membawa tiga robot jururawat bekerja.

SEKALI imbas, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sekumpulan jururawat yang berupa robot sedang berlegar-legar di pekarangan Hospital Besar Mongkutwattana, Bangkok, Thailand.

Pihak hospital mengambil keputusan menggunakan teknologi robotik selepas berhadapan dengan ramai pesakit baharu dan sudah tidak mampu lagi mengupah kakitangan yang cukup pada penghujung tahun lepas.

Daripada mengupah tenaga manusia, pihak hospital nampaknya lebih selesa membeli tiga jururawat robot bagi menangani masalah mereka itu.

Menurut jurucakap hospital terbabit, Dr Riantong, ketiga-tiga jururawat robot itu diberi nama Nan, Nee dan Nim.

“Mereka ini merupakan inovasi teknologi baharu dari Shenzhen, China dan ia sejenis teknologi mudah alih atau kenderaan berarah automatik,” katanya.

Ikut arahan

Riantong berkata, penampilan robot-robot ini saling tidak tumpah seperti jururawat sebenar apabila memakai pakaian lengkap seragam jururawat berwarna kuning.

Tugas utama robot ini membawa kertas kerja dan ubat-ubatan kepada doktor. Bagaimanapun, ujar beliau, ia bukan bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas kakitangan di hospital itu.

“Robot ini akan bergerak sebanyak tujuh atau lapan stesen di hospital menerusi laluan magnetik yang ditampal pada lantai. Ia turut dilengkapi dengan sensor di mana robot ini akan berhenti jika seseorang atau objek menghalang jalan,” katanya seperti dipetik dalam sebuah artikel antarabangsa.

Selain itu, Nan, Nee dan Nim mampu menaiki lif dengan sendirinya dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Thailand dan Cina.

Juruteknik akan menyelenggara robot ini melalui skrin sentuh terdapat pada robot.

Kurang kesilapan

Riantong menambah, penggunaan robot ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan dilakukan oleh manusia.

Malah membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi bekerja di hospital.

Turut memberi penjelasan ialah Pakar Sains Neuro, Dr Naennaa. Beliau berkata, pihaknya merancang memperluaskan lagi penggunaan robot ini di bahagian farmasi supaya ia dapat menyusun dan mengambil ubat-ubatan.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Dasar Awam Britain, penggunaan robot dalam hospital sebenarnya dapat menjimatkan kos sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak 12 bilion pound sterling (RM63 bilion setahun). Ia memberi kelebihan penyediaan masa sebanyak 30 peratus kepada doktor dan jururawat dalam mendapatkan latihan dan melakukan penjagaan.

-- SINAR HARIAN

Monday, 29 June 2015

Jururawat cetus inovasi


Rusmira (kanan) ketika menyertai sebuah pameran untuk memperkenalkan Angel Hook.

ATAS dedikasi tinggi dalam pekerjaannya, Ketua Jururawat Unit Perawatan Jantung di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, Rusmira Ramli mencipta sebuah alat menggantikan penggunaan drip stand di hospital dikenali Angel Hook.

Rusmira yang sebelum ini bertugas di Wad Perubatan Lelaki  berkata, kerap berdepan dengan ramai pesakit dan pelawat semasa menjalankan tugas menyebabkan Rusmira terfikir untuk menggantikan drip stand kerana bimbang dilanggar.

“Saya berfikir bagaimana untuk mengelakkan drip stand dilanggar. Kita boleh menggantung sahaja botol drip tanpa memerlukan ‘stand’ lagi,” katanya.

Tambahnya, idea tercetus apabila bilangan drip stand yang terhad di hospital tempatnya bertugas sedangkan penggunaannya banyak.

"Saiznya yang besar memenuhi ruang di sekeliling katil pesakit boleh mendatangkan masalah kepada pesakit, doktor dan jururawat terutama ketika berlakunya kecemasan. Dengan adanya Angel Hook dapat mengatasi permasalahan tersebut," katanya.

Tidak ambil masa lama

Rusmira berkata, apabila mempunyai idea untuk mencipta Angel Hook, dia mula melakarkan rekaan  itu bagi menggantikan drip stand.

“Saya mahu rekaan Angel Hook memberi manfaat kepada pesakit dan pelawat ketika berada di hospital. Saya tidak mahu rekaan ini bagi menggantikan drip stand akan mengganggu situasi di hospital setiap kali sesi melawat,” katanya.

Tambahnya, dalam rekaan tersebut, dia menitik beratkan untuk mengurangkan risiko kepada pesakit dan memberikan keselesaan kepada pelawat.

“Saya juga mahu rekaan tersebut tidak mengundang kemalangan kepada pesakit yang bergerak seperti ke tandas, mereka memerlukan bantuan dan pemantauan jururawat.

“Saya mahu rekaan ini fleksibel dan menepati apa yang diperlukan tanpa menggunakan drip stand,” katanya.

Angel Hook alat inovatif

Rusmira berkata, Angel Hook adalah alat inovatif dicipta untuk menggantung IV Drip pada 2011.

“Ia amat praktikal dan hanya perlu disangkut pada railing langsir di wad. Angel Hook lebih praktikal daripada drip stand kerana ia lebih mudah untuk dibawa, menjimatkan banyak tenaga, selamat dan paling penting ia jauh lebih murah daripada drip stand asal,” katanya.

Katanya, mencipta Angel Hook pertama kali dan mendapati terdapat beberapa kekurangan dalam penggunaannya.

“Saya mencipta model kedua dan ketiga Angel Hook. Alhamdulillah, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, Datuk Dr Ahmad Nordin Mohd Jais memberikan sepenuh sokongan dan kepercayaan dalam keterlibatan saya dengan inovasi ini,” katanya.

YIM beri bantuan

Katanya, inovasi ini ditemui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) pada 2012 menerusi program Jejak Inovasi.

Tambahnya, YIM proaktif dan banyak memberikan pendedahan kepadanya mengenai inovasi.

“Produk Angel Hook tersebut diberi perlindungan Harta Intelek (IP) lantas menjadikan produk tersebut yang pertama seumpamanya di seluruh dunia.

“YIM turut memberi bantuan daripada segi penambahbaikan reka bentuk dengan kerjasama Teknologi Park Malaysia. Kini sebanyak 100 unit Angel Hook digunakan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya.

Angel Hook di seluruh Malaysia

Rusmira berharap Angle Hook digunakan di seluruh Malaysia akan menjadi kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana memberikan sokongan padu kepada saya selama ini, " katanya yang berkhidmat di kementerian ini sejak 18 tahun lalu.

SUMBER: SINAR HARIAN

Thursday, 7 August 2014

Robot bantu jururawat

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my


Barisan penyelidik UniMAP bersama dua prototaip robot bantu jururawat.

Keadaan wad di hospital yang dipenuhi pesakit terutamanya hospital kerajaan merupakan satu pemandangan biasa.

Kehadiran pesakit yang terlalu ramai biasanya menyebabkan jururawat yang bertugas tidak 'menang tangan'.

Pastinya, tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh mereka juga kian bertambah dan sekali gus mampu mengurangkan keberkesanan kerja akibat kepenatan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), mencipta robot yang berfungsi sebagai pembantu kepada jururawat.

Menurut salah seorang penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mikroelektronik, UniMAP, Azrul Ahmad, robot berkenaan dicipta khas bagi mengekori jururawat dan bertugas sebagai pembantu untuk membawa barangan kegunaan mereka.

"Jika diperhatikan hari ini, kita biasa melihat jururawat membawa alatan hospital daripada yang besar sehinggalah kepada pelbagai jenis ubat-ubatan.

"Kesibukan mereka membawa segala peralatan tersebut menjadikan perhatian dan layanan terhadap pesakit berkurangan dan merosot," katanya.

Beliau ditemui pada di Pameran Teknologi, Ciptaan dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Azrul, keupayaan robot tersebut mengekori jururawat dalam lingkungan jarak yang tertentu amat berkesan untuk membantu penjawat awam tersebut melaksanakan tugasan dengan baik.

Dikenali sebagai Robot Pengekor Jururawat (nurse following robot) ia berbeza dengan robot pembantu yang sedia ada kini.

Robot yang sedia ada kini hanya mengikuti garisan yang telah ditetapkan dalam sistemnya, manakala Robot Pengekor Jururawat mampu bergerak bebas 360 darjah dan mengikuti jururawat ke mana sahaja.

Malah, robot tersebut direka untuk membawa segala keperluan seorang jururawat bermula daripada ubat-ubatan, fail pesakit serta gajet-gajet perubatan.

Kelajuannya juga boleh dikawal oleh jururawat berdasarkan jarak di antara jururawat dan robot.

Selain itu, robot itu sengaja direka berbentuk silinder bagi memudahkan mengesan pergerakan seorang jururawat dari segenap arah.

Malah, robot itu turut dilengkapi stesen untuk tujuan mengecas bateri serta sebagai kawasan rehat sesebuah robot.

Robot tersebut juga mampu mengingati laluan ke stesennya andai sumber kuasa semakin menurun ia akan bergerak secara automatik ke stesen untuk mengecas atau apabila tidak lagi diperlukan oleh jururawat.

Rekaan saiz dana beberapa ciri-ciri penting adalah mengikut standard kegunaan yang biasa dalam tugas-tugas seorang jururawat.

Robot ini juga amat berpotensi untuk dipasarkan dan menurut kajian yang dilakukan, terdapat hampir 137 hospital kerajaan di seluruh negara. Oleh itu , setiap hospital mampu memiliki robot tersebut dalam masa lagi tiga tahun.

Malah, 40 peratus hospital kerajaan ini juga mampu memiliki lebih daripada satu robot malah ada yang mampu memiliki sehingga enam ke sembilan buah.

Dengan perkembangan teknologi robotik di negara ini , robot berkenaan dilihat sebagai pencetus kepada usaha menghasilkan lebih banyak lagi teknologi yang serupa yang lebih canggih dan mampu menjimatkan kos.

SUMBER: FORUM PARAMEDIK