BATU PAHAT – “Ketika saya keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Duchess of Kent, Sandakan ke wad biasa, saya terdetik untuk berkenalan lebih lanjut dengan seorang jururawat yang menjaga saya.

“Dan ketika itu jugalah saya berhasrat untuk memperisterikan dia kerana dia pandai menjaga saya ketika saya berada di wad setelah cedera terkena tembakan,” luah seorang anggota komando VAT69, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menceritakan kali pertama berjumpa dengan pasangan hidupnya.

Koperal Mohammed Qaiyum Aiqal Zolkipli, 24, yang berasal dari Kampung Bukit Kelicap, di sini, sah bergelar suami kepada jururawat berkenaan, Siti Noorzamzurah Noorsiden, 25, selepas peristiwa pertempuran di Lahad Datu, Sabah, pada Mac tahun lalu.

Menurutnya, mereka dinikahkan di tempat kelahiran isterinya di Kampung Pirasan, Kota Belud, Sabah, pada 28 Februari lalu, dan hari ini (semalam) merupakan majlis menyambut menantu diadakan di daerah ini.

“Sebenarnya, hubungan kami bermula apabila isteri ‘memarahi’ saya kerana ketika itu saya enggan memakan ubat dan disuntik menggunakan jarum, sambil dia membebel ubat yang diberikan itu adalah yang paling mahal pernah diberikan kepada pesakit.

“Seterusnya, hubungan kami dibantu oleh penyelia saya yang menolong mempertemukan kami berdua selepas saya dibenarkan keluar dari wad. Pertama kali melihat dia, saya sudah berniat untuk menjadikannya teman hidup,” katanya semalam.

Bercakap kepada Sinar Harian, Mohammed Qaiyum Aiqal mengakui sedikit terkilan apabila hari bahagianya itu tidak dapat disambut bersama Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat dan Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud yang telah gugur dalam pertempuran terbabit.

“Dalam pasukan ini, kami bagaikan adik-beradik malah saya dengan Tuan Zul (Zulkifli) memang rapat dan kalau Allahyarham ada bersama hari ini, pastinya saya bertambah gembira, tetapi saya redha atas semua ketentuan Ilahi,” katanya

Sementara itu, Siti Noorzamzurah mengakui dirinya sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada anggota komando walaupun mengetahui tugas suaminya agak mencabar.

Katanya, meskipun pada mulanya tidak mengetahui skop kerja suaminya, selepas berkenalan dan berkahwin mengajarnya lebih banyak mengenai tugas seorang anggota polis.

Terdahulu, pada kejadian pertempuran yang berlaku pada 1 Mac itu, dua anggota PDRM telah terbunuh, 12 pengganas mati, selain dua lagi anggota mengalami cedera iaitu Koperal Azman Ampong dan Koperal Mohd Tarmizi Hashim.

SUMBER: Sinar Harian