Pages

Jom Kita Berkawan

Saturday 30 September 2017

Cuepacs Minta Kerajaan Pertimbang Insentif Dua Kenaikan Gaji



Tarikh kemaskini: 30/09/2017

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

"Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

"Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs," katanya pada sidang media, di sini malam ini.

Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Okt ini.


--- BERNAMA

Ceupacs Minta Kerajaan Pertimbang Tuntutan



Tarikh kemaskini: 29/09/2017


KEPALA BATAS, 29 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan tuntutan yang dikemukakannya demi memelihara kebajikan dan integriti penjawat awam.


Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam, elaun, bonus dan kenaikan gred untuk diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.


"Kami menuntut semakan gaji dapat dibuat dengan mempertimbangkan kenaikan gaji tahunan, menyelaraskan beberapa elaun, bonus sebulan gaji dan tempoh kenaikan gred daripada 13 tahun kepada 10 tahun.


"Permohonan ini diharap dapat dipertimbangkan supaya penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali ke-14 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Malaysia di sini hari ini.


Katanya tuntutan itu juga seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan mutu perkhidmatan awam berkelas dunia dan pihaknya sangat berharap kerajaan dapat menunaikannya bagi memberi inspirasi kepada penjawat awam.


- BERNAMA

Friday 22 September 2017

Siasatan Kes CEO Didakwa Cabul Jururawat Siap



Tarikh kemaskini: 19/09/2017

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Pihak polis telah melengkapkan siasatan kes seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat terkemuka yang didakwa mencabul seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Subang Jaya pada 8 Sept lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak timbalan pendakwa raya (TPR) untuk penilaian.

"Kita tunggu keputusan pihak TPR (untuk tindakan selanjutnya). CEO terbabit yang sebelum ini direman telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Proton Persona dan Alatan Automotif kepada Jabatan Pengangkutan (StaRT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, CEO yang bergelar Datuk dan berusia 58 tahun itu didakwa mencabul jururawat tersebut dengan memegang punggung, payudara dan mencium pipinya yang sedang bertugas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


--- BERNAMA

Wednesday 20 September 2017

Perlu semak semula gaji profesional perubatan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bh.com.my


BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menyemak semula skim dan struktur gaji profesional kesihatan bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara atau 'brain drain'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Kementerian Kesihatan melakukan fleksibiliti tugasan iaitu membenarkan mereka bertugas di sektor awam dan swasta sekali gus, ia masih tidak mampu menghalang masalah 'brain drain'.

"Sudah tiba masanya JPA melihat semula skim dan struktur gaji profesional perubatan.

"Walaupun ia akan membabitkan pelbagai sektor lain dalam perkhidmatan awam, kita tidak mahu kehilangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan.

"Kita sudah banyak melabur dalam latihan dan keperluan lanjutan bidang tertentu kesihatan sedangkan negara berkenaan tidak mengeluarkan apa-apa," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

AHMAD Zahid melihat gigi pelajar, Mohd Isyraq Hadif Abd Aziz, 15, yang menjalani pemeriksaan gigi ketika melawat pameran selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di Bagan Datuk, hari ini. - Foto Abdullah Yusof'


Ahmad Zahid berkata, ketika ini tawaran imbuhan dan gaji bagi profesional perubatan termasuk doktor serta jururawat di luar negara adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, wujud kekangan sektor awam untuk menawarkan imbuhan sama kerana profesional dalam bidang lain akan menuntut perkara sama.

Justeru, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan JPA melakukan penilaian dan semakan semula itu bagi melihat semula keperluan demi mengekalkan tenaga pakar dan profesional kesihatan dalam negara.

Katanya, tenaga pakar dan profesional kesihatan harus dikekalkan dalam negara kerana wujud besar pelancongan kesihatan di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pelancongan kesihatan kerana caj serta bayaran perkhidmatan di Malaysia adalah rendah sedangkan kualiti perubatan di negara ini adalah lebih tinggi atau setara dengan negara lain.


--- BERITA HARIAN