Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday 25 October 2015

Faedah Pemindahan Gaji Bantu Penjawat Awam Tangani Kos Sara Hidup - Cuepacs


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan dilaksana tahun depan dapat membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata ini bermakna mereka akan menikmati kenaikan gaji tahunan dua kali pada 2016.

"Kami mengucapkan terima kasih kerana perkara itu dipertimbangkan kerajaan. Kami juga kena memahami kedudukan kerajaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai insentif kepada penjawat awam dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Jumaat.

Menurut Najib, kenaikan itu akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam melibatkan peruntukan RM1.1 bilion.

Senada dengan Azih, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berpendapat langkah berkenaan menunjukkan negara masih berada pada landasan ekonomi yang kukuh berbanding banyak negara lain.

Najib turut mengumumkan pemberian khas RM500 kepada semua penjawat awam dan bayaran khas RM250 kepada 700,000 pesara kerajaan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 bilion, yang akan dibayar pada Jan 2016.

"Perubahan ekonomi dunia tidak menghalang pemberian ini, kita harus melihatnya secara positif. Negara lain ada yang muflis, namun kita masih mampu membayar gaji bulanan serta kenaikan walaupun nilai mata wang jatuh," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Tan Sri Raja Wan Mahmood Pawan Teh pula menarik perhatian bahawa ramai pesara hidup di bawah paras kemiskinan dan agak terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.

-- BERNAMA

Monday 12 October 2015

Ayah Wei Wei: 'Kamu adalah jururawat 'malaikat''

3 Oktober 2015

 
Jururawat, Li Baoxia menyusukan seorang bayi untuk menenangkannya ketika operasi pembedahan.

GUANGDONG - CHINA. Seorang jururawat melakukan sesuatu yang di luar jangkaan apabila menyusukan seorang bayi ketika bayi tersebut dibedah, 29 September lepas.

Menurut laporan Dailymail, bayi berkenaan, Wei Wei mula menangis tanpa henti ketika pembedahan sedang berjalan.

Seorang jururawat, Li Baoxia yang masih dalam tempoh penyusuan bertindak menyusukan bayi tersebut untuk menenangkannya.

Difahamkan, Baoxia ketika itu baru sahaja menamatkan operasi pembedahan di dewan bedah lain sebelum menyertai operasi pembedahan Wei Wei.

Pembedahan tersebut berjaya dan Wei Wei kini dalam tempoh penyembuhan.

Ayah Wei Wei tidak henti-henti berterima kasih kepada jururawat berkenaan selepas mengetahui kejadian tersebut.

"Kamu ada jururawat malaikat," kata ayah Wei Wei.

Perbuatan jururawat tersebut dirakam dan dikongsikan ke laman sosial Weibo, di mana pelayar bersorak dan memuji tindakan Baoxia.

Terdapat juga segelintir pelayar yang mempersoalkan adakah jururawat berkenaan mendapat kebenaran dari ibu Wei Wei sebelum bertindak menyusukan bayi tersebut.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE