Pages

Jom Kita Berkawan

Wednesday 18 May 2016

Jangan lupa tarikh 12 Mei | Hari Jururawat Sedunia

16 Mei 2016 6:22 PM

SAUDARA PENGARANG,

HARI Jururawat Sedunia adalah sambutan tahunan yang diadakan pada setiap 12 Mei untuk mengenang dan menghargai sumbangan para jururawat terhadap masyarakat.

Malangnya, tidak ramai yang menyedari kewujudan tarikh sambutan berkenaan bagi menghargai golongan berkenaan yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan kesihatan negara.

Kerjaya yang dimonopoli oleh golongan wanita itu adalah amat penting dan menuntut pengorbanan yang cukup besar dari segi masa dan tenaga.

Sesetengah orang menganggap kerjaya berkenaan adalah biasa-biasa sahaja tanpa menyedari tugas sebagai seorang jururawat adalah cukup mulia kerana tidak semua orang mampu menjalankan tugas-tugas sedemikian.

Siapakah yang sanggup untuk berhadapan setiap 
hari dengan najis dan darah pesakit?

Di sini, kita dapat melihat bahawa seorang jururawat sanggup mengetepikan segala rasa jijik dan mual demi untuk merawat pesakit.

Pekerjaan ini banyak memberi sumbangan khidmat bakti terhadap masyarakat. Hal ini kerana, merekalah yang memberi perhatian, penjagaan rapi dan layanan yang baik kepada pesakit sehingga benar-benar sembuh.

Kepada semua rakyat, kita tidak harus melupakan tarikh berkenaan sebagai menghargai individu yang banyak berkorban untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat.

NURUL DIANA WASIMIN

Keningau, Sabah


Sumber--- UTUSAN MALAYSIA

Tuesday 17 May 2016

Tiada beza jururawat lelaki, wanita


Jururawat lelaki tidak kekok dalam melaksanakan tugas mereka.

SEGAMAT - Persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa profesion kejururawatan hanya khusus untuk wanita sahaja, kini ia mungkin boleh ditepis apabila ramai golongan lelaki mula menceburi kerjaya tersebut.

Ini kerana, ramai golongan Adam di luar sana yang mula menyedari bahawa khidmat mereka juga amat diperlukan, sekali gus mahu turut serta bersama golongan Hawa mencurahkan bakti dalam bidang kejururawatan.

Seorang jururawat lelaki, Mohd Thaqib Mohd Khalid, 28, berkata, dia yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai jururawat tidak menafikan pada awalnya ramai rakan-rakannya mempersendakan keputusannya untuk menjadi seorang jururawat.

Menurutnya, selain minat untuk mencuba bidang pekerjaan yang berbeza dan tidak ramai diceburi oleh golongan lelaki, ibunya, Junaidah Tahar, 58, yang juga pesara jururawat menjadi inspirasi untuk dia yakin memilih  bidang ini.

“Sebenarnya kerjaya jururawat ini tidak pernah ada dalam kamus hidup saya, bagaimana pun bila dapat tawaran untuk ke Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sungai Buloh pada 2009, saya enggan mensia-siakannya.

“Ketika itu, ada rakan-rakan yang memerli mengatakan kerjaya jururawat hanya untuk wanita sahaja dan mereka berjiwa ‘lembut’ serta  tidak sesuai untuk lelaki seperti saya. Namun ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri Hospital Daerah Segamat (HDS) sejak tahun 2012 juga tidak pernah berasa terpinggir dan malu dengan kerjaya tersebut, malah bangga kerana mampu berkhidmat dan mencurahkan bakti kepada masyarakat.

Ikut nasihat ibu jadi jururawat

Bagi Arif Amirul Semail, 30, yang hampir sembilan tahun menjadi jururawat berkata, pada 2008, dia yang sedang mengikuti kursus pradiploma Sains Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak sanggup menamatkan pengajiannya selepas ditawarkan menjadi jururawat.

Menurutnya, perasaannya ketika itu berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan pengajian yang berada di semester kedua atau bekerja sebelum ibunya, Ramlah Ayub, 60, memintanya menjadi jururawat ekoran kesukaran mendapat kerja ketika itu.

“Tambahan pula, ibu yang menghidap penyakit tiroid berharap sangat saya menjadi jururawat agar dapat menjaganya ketika sakit dan itu menjadi penguat kepada saya sewaktu belajar kejururawatan di KSKB Sungai Buloh.

“Saya juga tidak menyesal untuk berhenti belajar di UiTM ketika itu kerana sewaktu di KSKB saya belajar mengenai ilmu baharu terutamanya bidang kesihatan dan kejururawatan yang sebelum ini terlalu asing bagi saya,” katanya.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri HDS sejak tahun 2012 mengakui ‘soft skill’ dan ‘sentuhan’ jururawat lelaki lebih lembut atau setanding dengan jururawat wanita menguruskan pesakit.

Menurutnya, walaupun jururawat lelaki masih minoriti, dia kini berbangga dengan uniform putihnya dan menyifatkan penglibatannya dalam dunia kejururawatan sebagai perkara berharga pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

“Tambah manis, dengan menjadi jururawat saya bertemu jodoh dan berkahwin dengan isteri saya, Rosmayati A Manan berusia 25 tahun pada 30 Ogos tahun lalu dan dia juga seorang jururawat di HDS,” katanya.

Kerja untuk gaji, pahala

Bagi Abdul Hazam Hafezuddin Abdul Hamid, 25, dia yang merupakan pemegang Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menjadikan kerjaya jururawat sebagai ibadah.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu, dia mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang usrah dan dakwah sebagai kekuatan untuk dirinya bagi membantu pesakit khususnya beragama Islam.

“Selain melakukan kerja-kerja jururawat, pada masa sama saya turut mengingatkan pesakit supaya banyak bersabar, menjaga solat serta hubungan dengan ALLAH walaupun ketika sakit.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mula-mula menjadi jururawat dua tahun lalu apabila saya mengajar pesakit yang sedang nazak mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Aman Rabu berkata, HDS mula menerima jururawat lelaki sejak tahun 2008 seramai tiga orang sebelum bilangan tersebut bertambah kepada 23 orang.

Menurutnya, kesemua mereka bertugas secara profesional dan ditempatkan di wad-wad lelaki dan pihaknya juga tidak pernah membezakan antara jururawat lelaki dan wanita kerana masing-masing mempunyai kecekapan tersendiri.

“Bagi saya, jika pesakit rasa selesa dan yakin dengan ciri maskulin seorang jururawat lelaki, maka tiada masalah bagi pesakit serta pihak pengamal perubatan menerima kehadiran jururawat lelaki bertugas di hospital,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Monday 16 May 2016

Kolej Jururawat Bakal Naik Taraf Kepada Kolej Universiti Tawarkan Pengajian Peringkat Ijazah

gambar hiasan


PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menaik taraf sebuah daripada kolej jururawat kepada kolej universiti yang menawarkan pengajian sehingga peringkat ijazah dalam masa setahun akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata rancangan itu dilakukan bagi meningkatkan kebolehan dan pengetahuan para jururawat di hospital kerajaan yang majoritinya memiliki kelulusan di peringkat diploma.

"Kita telah mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk menawarkan pengajian peringkat ijazah termasuk tenaga pengajar sama seperti di pusat pengajian swasta," katanya kepada media selepas acara sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk mendapatkan kelayakan dan kelulusan bagi pengiktirafan kolej universiti kepada salah satu kolej jururawat di bawah seliaannya dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam mengakui penjawatan untuk jururawat yang memiliki ijazah adalah terhad buat masa ini iaitu 362 jawatan untuk gred U41 berbanding lebih 2,000 jururawat yang memiliki kelulusan peringkat ijazah.

"Ramai yang memiliki ijazah namun kerana perjawatan yang terhad kebanyakan mereka yang menjawat jawatan peringkat diploma sahaja dan menyukarkan mereka untuk meningkat tahap perjawatan mereka," katanya.

Justeru, katanya, permohonan untuk penambahan perjawatan kini dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

--BERNAMA

Jururawat Disaran Berdaftar Dengan Persatuan Jururawat Malaysia


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Semua jururawat disaran berdaftar dengan Persatuan Jururawat Malaysia (PJM) kerana ia merupakan medium perantaraan antara mereka dengan kerajaan bagi menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu selain menjaga kebajikan mereka, kata Naib Presiden PJM Zurina Mohamad Saleh.

Menurutnya, PJM memperjuangkan hak seseorang jururawat dengan mengadakan latihan beserta seminar kejururawatan di samping menyediakan biasiswa bagi anggota persatuan yang masih belajar.

"Bukan itu sahaja, PJM turut memberikan sumbangan tenaga dan kewangan sekiranya ahli ditimpa musibah atau bencana.

Ahli-ahli PJM turut dibekalkan dengan ilmu psikologi dan kemanusiaan agar memudahkan cara kerja seseorang jururawat merawat seseorang pesakit sebagai seorang 'kawan' dan bukannya 'pesakit'," kata Zurina ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman 20 tahun dalam bidang kejururawatan, Zurina berkata cabaran yang dihadapi jururawat masa kini tidak banyak bezanya berbanding era 80-an kerana mengikut standard tetap yang telah ditambah baik semasa latihan kejururawatan.

"Tidak dapat dinafikan juga bahawa perkembangan teknologi yang pesat amat membantu tugas harian dengan menjadikannya lebih mudah dengan peralatan serba canggih.

Zurina berkata hanya satu fakta yang perlu dihayati oleh semua jururawat iaitu pesakit datang ke hospital untuk sembuh dan bukan untuk memudaratkan diri.

Kenyataan itu sentiasa mendorong seseorang jururawat untuk sentiasa komited dan berintegriti ketika menjalankan tugas.

"Harapan utama kami adalah agar pesakit segera sembuh dan dapat pulang ke rumah menjalani kehidupan yang sempurna bersama keluarga," katanya.

Mengulas pendapat mengenai jururawat lelaki yang semakin ramai menceburi bidang ini, beliau berkata ia amat membantu dalam bidang perubatan dengan memantapkan lagi penjagaan dan rawatan pesakit lelaki yang inginkan privasi.

"Di samping itu, kewujudan mereka amat diperlukan terutamanya dalam menghadapi tugas-tugas yang berat dan mencabar.

Biarpun mereka merupakan golongan 'minoriti' dalam bidang ini, namun khidmat mereka amat dihargai kerana segala tugas yang dilaksanakan adalah sama seperti jururawat wanita," katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua insan yang terlibat dalam profesion ini.

"Sambutan bertemakan 'Jururawat: Tenaga Perubahan: Meningkatkan Ketahanan Sistem Kesihatan' pada tahun ini, dilihat sebagai komitmen jururawat untuk mengukuhkan dan menambah baik sistem kesihatan di seluruh dunia.

"Bagi merealisasikan objektif ini, kita memerlukan penglibatan semua tenaga kerja dalam bidang kesihatan serta kerjasama daripada masyarakat setempat," kata Zurina.

-- BERNAMA

Cuepacs Minta MTN Kaji Semula Tempoh Moratorium Rumah PPA1M Dan PR1MA


BUKIT KAYU HITAM, 13 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Majlis Tanah Negara (MTN) mengkaji semula tempoh moratorium sekatan kepentingan hak milik rumah di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata tempoh moratorium tersebut agak membebankan penjawat awam atau pembeli rumah di bawah kedua-dua skim itu kerana terpaksa menunggu tempoh sehingga 20 tahun untuk menjual rumah mereka.

Beliau berkata kerajaan dan MTN perlu mengkaji semula syarat tersebut agar dapat mengurangkan tempoh moratorium daripada 20 tahun kepada lima tahun, bagi memberi peluang kepada mereka untuk menjual rumah mereka bagi mendapatkan aset lain.

"Pembeli berhak untuk menjual rumah mereka selepas beberapa tahun memilikinya pada harga yang ditetapkan atau harga pasaran semasa dan ia agak membebankan mereka sekiranya terpaksa menunggu sehingga 20 tahun (dari tarikh pembelian rumah).

"Mugkin ada yang telah bersara dan mereka tidak boleh jual rumah mereka dengan segera kerana terpaksa menunggu tempoh moratorium tamat. Ini agak membebankan mereka," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Kedah 2016-2019 di Dewan Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem), pada Jumaat.

MTN dalam kenyataan pada 28 April lepas menyatakan dalam mesyuarat MTN ke-72 yang dipengerusian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan moratorium melalui sekatan kepentingan dalam dokumen hak milik bagi PPA1M dan PR1MA sebagai usaha kerajaan untuk membantu pembeli rumah termasuk penjawat awam dan golongan berpendapat rendah.

Keperluan untuk memasukkan moratorium yang seragam menerusi sekatan kepentingan dalam dokumen hak milik adalah penting bagi memelihara kepentingan kerajaan Persekutuan dalam mengelakkan penyalahgunaan faedah penjualan rumah pada harga yang rendah berbanding harga pasaran.

Sementara itu, Azih berkata institusi kewangan perlu melonggarkan syarat pinjaman perumahan kepada kakitangan awam bagi membolehkan mereka membeli rumah dengan mudah.

Katanya terdapat institusi kewangan enggan meluluskan pinjaman perumahan dengan alasan rumah yang dibina tidak siap dan lengkap sekaligus menyukarkan penjawat awam untuk membeli rumah idaman mereka.

Selain itu, katanya kerajaan perlu mengawal harga rumah bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam yang baru berkerja membeli rumah pertama.

-- BERNAMA

Sunday 15 May 2016

Tidak pernah berhenti berbakti – Tokoh jururawat

13 Mei 2016 12:57 AM

PUZIYAH KHALID (kanan), Katipah Awang (tengah) dan Elizabeth Vijaya

PUZIYAH KHALID (kanan), Katipah Awang (tengah) dan Elizabeth Vijaya Raghavan menunjukkan sijil penghargaan masing-masing yang diterima di Putrajaya, semalam. BERNAMA

PUTRAJAYA 12 Mei – Cabaran untuk meyakinkan masyarakat Orang Asli agar menerima perkhidmatan kesihatan pada sekitar tahun 1970-an merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh penerima Tokoh Jururawat (Komuniti) 2016, Puziyah Khalid.

Ditempatkan di kawasan pedalaman ketika usia muda dan masih anak dara, Puziyah, 62, pada ketika itu tidak mengenal erti penat lelah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

“Semasa awal tahun 1970-an, perubatan dan kesihatan adalah perkara baharu yang terlalu asing bagi masyarakat Orang Asli. Mereka lebih rela mati daripada mendapat perkhidmatan daripada pegawai kesihatan.

“Di kawasan yang daif dan tidak mempunyai segala kelengkapan ini, saya berazam untuk terus memperjuangkan isu kesihatan dalam kalangan penduduk Orang Asli walaupun sering dicemuh dan di­serang hanya kerana cuba me­rawat para penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas maj­lis Sambutan Hari Jururawat Dunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Menurut Puziyah yang menamatkan perkhidmatan kerajaan sebagai Ketua Jururawat di Kedah pada tahun 2014, beliau amat tidak menyangka khidmat baktinya selama 37 tahun untuk kesihatan masyarakat mendapat pengiktiraf­an tertinggi peringkat negara.

Selain Puziyah, dua lagi tokoh jururawat yang diraikan dalam majlis berkenaan adalah Tokoh Jururawat (Pendidikan) 2016, Elizabeth Vijaya Raghavan dan Tokoh Jururawat (Perkhidmatan) 2016, Katipah Awang.

Sumber --- UTUSAN AMALYSIA

Thursday 12 May 2016

Nisbah Jururawat Dan Penduduk Malaysia Kini 1:297 - Menteri Kesihatan


PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Malaysia kini mempunyai nisbah seorang jururawat bagi 297 penduduk dan jumlah itu hampir mencapai nisbah dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu seorang jururawat bagi 200 penduduk, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata matlamat kerajaan pada masa ini ialah menjadikan kesemua jururawat di negara ini berkelulusan ijazah pada masa akan datang.

"Untuk mencapai tahap itu pelbagai jenis perubahan perlu dibuat dalam sistem yang ada sekarang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata pada masa ini terdapat 89,000 jururawat dalam perkhidmatan kesihatan awam dan daripada jumlah tersebut, 652 jururawat berkelulusan ijazah manakala selebihnya berkelulusan diploma.

Di sektor swasta terdapat 38,000 jururawat, katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan juga ingin memastikan jururawat di negara ini dilatih dalam bidang gaya hidup supaya mereka boleh memainkan peranan sebagai kaunselor tentang makanan dan penjagaan kesihatan.

"Langkah ini secara tidak langsung dapat mengawal peningkatan penyakit akibat gaya hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia," katanya.

Memandangkan peranan jururawat sangat mustahak dalam perkhidmatan kesihatan awam negara, katanya, golongan jururawat turut digalakkan memiliki pengkhususan tertentu seperti dalam bidang kardiologi dan sebagainya.

Sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok bersempena Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 12 Mei, katanya.

-- BERNAMA

Jururawat Perlu Lengkapkan Diri Dengan Pengetahuan, Kemahiran - Dr Subramaniam


KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu jururawat melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta komitmen dalam menggalas skop tugas yang meluas dan kompleks ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jururawat merupakan kerjaya yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

"Namun, pada masa sama juga disarankan supaya jururawat dapat mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi bencana dan pengurusan pesakit di klinik.

"Mereka perlu melatih diri supaya kuat dari segi mental dan fizikal serta memperkasakan tahap ketahanan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam perutusan beliau bersempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2016, di sini hari ini.

Sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok bersempena Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 12 Mei.

Tema Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini adalah 'Nurse: A Force for Change: Improving Health System Resilience' (Jururawat: Kuasa untuk Perubahan: Menambah baik Ketahanan Sistem Kesihatan).

Dr Subramaniam berkata jururawat juga perlu bijak mendidik masyarakat melakukan perubahan ke arah gaya hidup lebih sihat demi kesejahteraan bersama.

Katanya golongan itu seharusnya menjadi medium mendidik masyarakat dalam aspek penjagaan kesihatan yang menyeluruh berikutan peningkatan situasi penyakit berjangkit yang serius ketika ini.

Mengimbas perkembangan sistem penjagaan kesihatan yang mula berkembang di negara ini pada 1951, beliau berkata evolusi perkhidmatan kejururawatan berkembang selaras kepesatan pembangunan negara.

"Jururawat merupakan barisan hadapan yang membuat saringan dan menjadi pasukan penyelamat ke tempat kejadian selain penggerak Perkhidmatan Penjagaan Asas di sektor kesihatan awam," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday 11 May 2016

Siti Najiha terima penghargaan

Sikap prihatin penuntut bidang jururawat membantu mangsa kemalangan perlu dicontohi

ABD. RAZAK OSMAN  |  09 Mei 2016 4:00 PM

 
M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah

M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah Hamid dalam satu majlis di Universiti Aimst di Bedong, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

SIKAP prihatin seorang penuntut Diploma Jururawat Universiti Aimst, Siti Najihah Hamid, 21, yang membantu seorang mangsa kemalangan telah mendapat penghargaan daripada Naib Canselor universiti itu, Prof. Dr. M. Ravichandran dalam satu majlis di Jalan Bedong, Merbok, Kedah, baru-baru ini.

Surat penghargaan itu diberikan kepada penuntut dari Ambangan Height, Sungai Petani ini setelah dia membantu seorang lelaki yang cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya berhampiran sebuah masjid tidak jauh dari universiti itu pada 30 Mac lalu.

Pelbagai pihak memuji tindakan yang diambil oleh Siti Najihah setelah ia diviralkan melalui laman sosial Facebook.

“Kebetulan saya sampai di tempat itu dan melihat sendiri seorang lelaki India cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan dengan sebuah lori.

“Pada mulanya, rasa takut juga dan memikirkan satu tanggungjawab untuk menolong orang susah, saya terus tampil membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan itu.

Menurutnya, sebagai seorang penuntut dalam bidang jururawat, dia perlu melakukan pertolongan seumpama itu di peringkat awal lagi tanpa mengira kedudukan seseorang, termasuk kaum atau agama masing-masing.

“Kerjaya sebagai seorang jururawat akan terus dipandang mulia di mana-mana sahaja jika seseorang itu pandai menyesuaikan diri.

“Sebagai penuntut tahun akhir, saya perlu prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi oleh pesakit dan tak sangka pula, pertolongan saya itu rupa-rupanya mendapat perhatian pihak pengurusan Universiti Aimst,” katanya lagi.

Ketika berucap dalam majlis itu, Ravichandran berkata, tindakan diambil oleh Siti Najihah perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar yang lain.

“Inilah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia, membantu mereka yang berada dalam pelbagai keadaan, termasuk kemalangan jalan raya.

“Hanya mereka yang prihatin sahaja mampu membuat kebajikan seumpama ini, sebaliknya mereka yang tidak ada sikap prihatin hanya bersikap lepas pandang begitu sahaja,” katanya.

Sumber--- UTUSAN MALAYSIA