Jom Kita Berkawan

Saturday, 23 May 2015

Indonesia mahu eksport jururawat


Jakarta: Ketua Jabatan Penempatan Kebangsaan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia, Nusron Wahid berkata, kerajaan berusaha untuk menghantar jururawat negara itu ke luar negara.

Kata Nusron, permintaan terhadap jururawat di luar negara sangat besar tetapi gagal dimanfaatkan oleh Indonesia kerana mereka tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Filipina menghantar jururawat dan Indonesia menghantar pembantu rumah tetapi jururawat adalah kerjaya yang lebih baik berbanding pembantu rumah,” katanya.

Nusron berkata, jumlah jururawat Indonesia yang dihantar ke luar negara sangat rendah berbanding jururawat negara lain.

“Ketika ini terdapat 18,000 jururawat di Indonesia yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Sedangkan permintaan jururawat dari luar khususnya di Asia Barat, Australia dan Eropah mencecah 15,000 setahun,” ujarnya.

Menurutnya, Indonesia tidak dapat menghantar jururawat ke luar negara kerana mereka harus mendapat sijil dari Peperiksaan Pelesenan Majlis Kebangsaan untuk Jururawat Berdaftar (NCLEX-RN). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:07 AM

--- HARIAN METRO

Sunday, 17 May 2015

Lima beradik misi

ZURAIDAH (kanan) bersama Zuraina bekerjasama ketika melakukan tugasan di Hospital Pakar Putra (PSH) Melaka.

Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my

Melaka: Kesabaran jururawat menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit menarik minat lima adik-beradik dari Durian Daun, di sini, menceburi bidang berkenaan.

Ramai menganggap jururawat sebagai satu kerjaya yang tiada istimewanya, namun tidak bagi Zurina Ahmad, 37, Zuraidah Ahmad, 36, Zuraina Ahmad, 32, Zuriah Ahmad, 31, dan Zuranita Ahmad, 30, yang meminati bidang itu.

Sokongan daripada ibu bapa menguatkan lagi minat dan tekad lima daripada sembilan beradik terbabit untuk bergelar jururawat.

Ketika ini, empat daripada mereka berkhidmat di Bahagian Wad Pembedahan, Unit Rawatan Rapi (ICU), Bilik Prosedur dan Makmal Cardiac Catheterization Laboratory di Hospital Pakar Putra (PSH), manakala seorang lagi di Bahagian Unit Rawatan Koronari (CCU) di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Lebih menarik, kelima-lima beradik itu lepasan Diploma Kolej Universiti Antarabangsa Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru.

Zuraidah berkata, sokongan ibu dan bapa mendorong dia serta empat lagi adik-beradiknya memilih kerjaya itu hingga kini.

“Sejak kecil, bapa dan ibu menggalakkan kami menjadi jururawat kerana pada mereka jururawat ini kerjaya mulia selain membantu masyarakat yang memerlukan.

“Ditambah dengan minat dalam diri menguatkan lagi usaha untuk merealisasikan impian ibu bapa untuk bergelar jururawat sehinggalah hari ini,” katanya ketika ditemui ketika majlis sambutan hari jururawat peringkat PSH di sini, semalam.

Menurut anak ketujuh dari 10 beradik itu, walaupun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran apabila berhadapan dengan pesakit, dia tetap gembira untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Saya kini bertugas di Bahagian ICU dan bekerja di sini memang sangat mencabar dan memenatkan. Namun, disebabkan minat dan sokongan daripada keluarga, saya bertahan sehingga hari ini selepas 15 tahun berkhidmat,” katanya.

Bagi Zuriah, dia gembira dalam tempoh sembilan tahun berkhidmat sebagai jururawat di PSH.

“Kakak dan adik turut berkhidmat di sini, cuma berlainan bahagian dan jika terdapat masalah boleh berkongsi dengan berbincang sesama kami. Ini adalah satu kelebihan kepada kami adik beradik dan saya sangat gembira memilih kerjaya ini,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Sementara Zuraina pula berkata, dia memang bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat sejak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:09 AM

--- HARIAN METRO