Pages

Jom Kita Berkawan

Wednesday 25 March 2015

Cuepacs Harap Kerajaan Umum Pelaksanaan 252 Skim Perkhidmatan Sebelum 1 Mei


IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan memberi jawapan terhadap gesaannya agar 252 skim gaji dan elaun dikaji semula dan ditambah baik sebelum sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya yakin elaun dan perubahan gaji skim itu tidak melibatkan pertambahan yang besar dalam peruntukan perbelanjaan mengurus kerajaan.

"Kami yakin dengan keupayaan yang kerajaan ada selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tarikh penguatkuasaan untuk skim ini kita minta berkuat kuasa mulai Januari 2015 kepada semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sepetang Bersama Presiden Cuepacs Malaysia di sini hari ini.

Azih berkata kerajaan sepatutnya melakukan semakan gaji yang tertanggguh sejak 15 tahun berikutan peningkatan kos sara hidup yang begitu tinggi ketika ini.

Katanya beliau berharap Cuepacs akan diberi laluan untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi menyampaikan keluh kesah dan luahan penjawat awam dari seluruh negara.

"Kami jumpa kali terakhir untuk semakan gaji SSM pada 2005 manakala pada 2007 tidak ada semakan gaji cuma kenaikan 25 peratus untuk kos sara hidup dan pada 2011 kerana berpindah skim," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday 24 March 2015

Selamatkah bersalin di rumah?



PENGHUJUNG tahun 2013, dunia perbidanan di Malaysia dikejutkan dengan kematian seorang ibu yang juga kaunselor kesihatan selepas bersalin di rumah. Ibu yang berusia 40 tahun tersebut dikatakan telah melahirkan seorang bayi perempuan dengan hanya ditemani suami dan doula (rujuk info), malah selepas bersalin ibu malang ini sempat mengambil beberapa foto kenangan dia dan anaknya.

Tidak lama selepas itu, ibu tersebut dikatakan mengadu teramat letih dan peluh mula keluar di seluruh tubuhnya. Ibu tersebut akhirnya meninggal dunia disebabkan pendarahan (post partum haemorrhage).

Sanggupkah anda menggadaikan nyawa ibu mahupun anak akibat tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul mengenai pilihan bersalin atau melahirkan anak di rumah?

Malah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika berucap pada pelancaran buku Institut Kesihatan Umum (IKU): Preserving Our Heritage 1964-2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangan terhadap kaedah kelahiran semula jadi yang kian popular di negara ini.

Menurut beliau, konsep bersalin di rumah tanpa sebarang ubatan atau prosedur perubatan moden sepatutnya dipantau seorang pembantu perubatan terlatih bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini ketika proses kelahiran.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Rasliza Ramli berkata, statistik seluruh dunia menunjukkan sebenarnya hanya satu peratus kadar kelahiran di rumah dicatatkan terutama di negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Orang Malaysia ini mudah terikut-ikut tanpa mendapatkan maklumat yang betul," ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurut Dr. Rasliza, kelahiran secara semula jadi sebenarnya bukan sahaja boleh dilakukan di rumah, malah di hospital juga dengan beberapa prosedur yang semuanya bertujuan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan nyawa ibu dan anak.

“Definisi kelahiran semula jadi sebenarnya adalah bersalin tanpa penggunaan ubat-ubatan dari segi mengurangkan rasa sakit dan tanpa ubat untuk mempercepatkan bersalin, termasuk potongan episiotomi untuk memudahkan kepala bayi keluar.

“Di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, memang banyak kelahiran yang berlangsung di rumah, namun dilakukan oleh bidan bertauliah.

“Kelahiran bayi di rumah ini memang tanpa sebarang pertolongan. Kehadiran bidan itu untuk memastikan ibu dan anak selamat.

“Semasa proses bersalin apabila nampak akan berlaku komplikasi maka bidan akan cepat menghubungi ambulans atau terus menghantar ibu ke hospital," katanya.

Salah tafsir peranan doula

Menurut Dr. Rasliza, memang terdapat beberapa kes yang berlaku tidak lama dahulu melibatkan kematian ibu dan juga kematian bayi selepas bersalin di rumah.

“Di Malaysia ramai yang menyalah anggap antara bersalin di rumah dengan free birth. Istilah free birth bermaksud hanya ibu, suami dan doula yang berada di sisi ibu yang mahu bersalin.

“Doula ini hanya peneman ibu dan memang tidak mempunyai tauliah untuk membantu ibu bersalin. Doula hanyalah orang yang menemani ibu bersalin secara semula jadi. Dia memang tiada tauliah untuk bantu ibu bersalin mahupun mengenalpasti komplikasi yang berlaku.

“Berbeza dengan bidan, yang juga boleh merangkap sebagai doula. Saya sarankan, kalau mahu bersalin di rumah mesti ada bidan, doula, ibu kepada wanita yang mahu bersalin itu dan orang yang biasa ada di rumah," katanya.

Tambah Dr. Rasliza, sekiranya seseorang ibu mengambil keputusan untuk bersalin di rumah tanpa bidan bertauliah dan hanya doula yang menemani, mereka sebenarnya memang mencari masalah.

Disebabkan tindakan itu, mereka perlu menanggung risiko dan masalah lain pula timbul apabila ia melibatkan undang-undang di negara ini, kerana setiap kelahiran waima di kalangan Orang Asli sekalipun semuanya didaftarkan dan termasuk dalam statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau dilihat kadar kematian ibu bersalin dalam tahun 1970-an memang sangat tinggi iaitu 200 kematian bagi 100,000 kelahiran.

“Namun kini peratusannya menurun dengan kadar yang drastik iaitu hanya 25.6 peratus hasil daripada usaha KKM menggalakkan ibu bersalin di hospital yang sekali gus menurunkan kadar kematian bayi baru lahir.

Walaupun sekitar tahun 1980-an dan 1990-an masih banyak juga kelahiran di rumah dilaporkan, namun kelahiran ini dilakukan oleh bidan bersalin yang bertauliah.

“Sekarang ini ramai ibu sudah salah anggap dengan menyamakan home birth dengan free birth. Golongan ini mengambil keputusan bersalin sendiri tanpa pantauan doktor," tegas Dr. Rasliza. - NOOR FAzlina KAMAL

SAUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Monday 23 March 2015

Cuepacs Minta Kerajaan Percepat Kaji Kenaikan Gaji Penjawat Awam



TEMERLOH, 21 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan segera mengkaji semula 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, isu kenaikan elaun dan gaji kakitangan awam telah tertangguh sejak 15 tahun lepas walaupun kenaikan sepatutnya berlaku lima tahun sekali.

"Cuepacs meminta agar gaji serta elaun sedia ada dinaikkan sehingga 35 peratus dan berdasarkan perbincangan awal sebelum ini kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji kakitangan awam dalam tempoh lima tahun sekali.

"Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kakitangan berpendapatan rendah berada di bawah paras kemiskinan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada 430 mangsa banjir di sini Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah.

Azih berkata bebanan kerja ditanggung kakitangan awam juga semakin meningkat setiap hari dan penangguhan kajian skim gaji akan mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti dan produktiviti kerja mereka.

Katanya antara elaun yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberikan serendah RM180 kerana kadar itu tidak munasabah bagi mereka yang bekerja di bandar.

Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera bagi membantu meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam terutama yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata bagi membantu kakitangan awam memiliki rumah di kawasan bandar, Angkasa dan Cuepacs akan bekerjasama membina 600 unit rumah pelbagai jenis dilengkapi perabot dan kemudahan insurans di Putrajaya.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas dengan pemaju akan diadakan April ini bagi membincangkan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan penjawat awam.

"Rumah yang akan dibina itu akan dijual kepada penjawat awam dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday 18 March 2015

Adun kesal tindakan jururawat dikasari


Mohd Iskandar menziarahi keluarga jururawat terbabit di Kampung Apal, Jabi.
 
 
KAMPUNG APAL - Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar kesal terhadap pihak yang mengasari seorang jururawat di Unit Kecemasan Hospital Besut dalam kejadian di hospital berkenaan pada 9 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan seorang bapa pesakit yang melakukan kekerasan terhadap jururawat terbabit ketika memberi rawatan terhadap anak lelaki itu sepatutnya tidak berlaku.

“Kita menolak sebarang kelakuan tidak sopan dan kasar terhadap petugas di mana-mana hospital sekalipun kerana ia tidak sesuai dengan adat masyarakat kita,” katanya ketika menziarahi keluarga jururawat terbabit di sini.

Mohd Iskandar berkata, tindakan kasar itu bukan sahaja tidak manis sebaliknya boleh menjadi kes polis dan berdepan tindakan undang-undang.

Menurutnya, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan dengan cara yang sewajanya agar siasatan dan tindakan dapat dilakukan terhadap pihak berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Iskandar meminta pihak hospital juga perlu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bagi membendung ketidakpuasan hati dalam kalangan pesakit.

“Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik antara keluarga pesakit dan pihak hospital,” katanya.

Sinar Harian pada 11 Mac lalu, menyiarkan kisah seorang jururawat berusia 28 tahun membuat laporan polis mendakwa ditampar seorang lelaki yang memarahi jururawat terbabit merawat bayinya yang berusia empat bulan.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, jururawat itu turut mendakwa dimarahi dan diugut lelaki berkenaan agar tidak membuat laporan polis.


SUMBER: SINAR HARIAN

Monday 16 March 2015

Cuepacs minta naik gaji tidak tangguh lagi

REMBAU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan semakan kenaikan gaji 252 skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan isu kejatuhan harga minyak dunia dan nilai ringgit untuk menangguhkan perlaksanaan skim gaji berkenaan memandangkan nilai rizab kerajaan masih mampu menampung perbelanjaan sedia ada.

"Sekiranya ia ditangguhkan, Cuepacs akan membuat bantahan kerana 1.5 juta penjawat awam sudah lama bersabar sedangkan kos sara hidup semakin tinggi.

“Penjawat awam ialah ‘enjin’ dan denyut nadi kerajaan. Tangga gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana 1 dan 11 masing-masing RM805 dan RM820 dan jumlah ini di bawah garis kemiskinan," katanya.

Justeru katanya, Cuepacs meminta kerajaan menyegerakan semakan gaji dan elaun lama yang tidak selaras dengan negara maju.
Azih berkata, Cuepacs juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali nasib 60,000 pekerja kontrak sektor awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Menurut Azih, Cuepacs menerima aduan daripada pekerja kontrak yang risau sekiranya perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan atau diserap ke jawatan tetap walaupun sudah berkhidmat hampir lima tahun.

"Kebanyakan mereka mempunyai tanggungan dan kita membawa harapan mereka ini untuk diserapkan dalam perkhidmatan awam. Kita faham jika jawatan kontrak perkhidmatan projek tidak diteruskan, tetapi bagi jawatan frontliner, kerajaan perlu meneliti semula hasrat untuk menamatkan perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke pejabat sementara, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, dekat sini, semalam.

Azih berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan langkah penamatan pekerja kontrak, ia seolah-olah tidak memberi peluang kepada orang muda berkhidmat dalam kerajaan.

“Sebagai contohnya, terdapat kira-kira 1,200 kakitangan KPDNKK berstatuskan pekerja kontrak walaupun mereka memiliki ijazah.

“Bila tamatkan kontrak, ia umpama tutup pintu untuk orang muda bekerja dengan kerajaan dan tidak bersimpati dengan lepasan universiti," katanya.

SUMBER: Sinar Harian

Thursday 12 March 2015

Hospital di Sarawak perlu lebih ramai jururawat terlatih


09 Mac 2015 12:03 AM


DR. JERIP SUSIL (tengah) disambut untuk merasmikan Forum Pelajar Kejururawatan Antarabangsa Keenam dan Persidangan Pelajar Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kuching, kelmarin.

KOTA SAMARAHAN 8 Mac – Hospital di negeri ini masih memerlukan lebih ramai jururawat terlatih bagi memberikan perkhidmatan penjagaan kepada pesakit.

Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil, keperluan tersebut diharap dapat diatasi dengan adanya graduan ijazah dan diploma yang bakal tamat latihan tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan dan pihak swasta melatih jururawat memastikan mereka mempunyai kelayakan diiktiraf agar perkhidmatan diberikan kepada rakyat berada pada tahap yang cemerlang.

“Jururawat mahir ini boleh dilatih sama ada mereka dalam Unit Penjagaan Rapi (ICU) atau di wad ortopedik kerana dua bahagian ini amat memerlukan jururawat terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pelajar Kejururawatan Antarabangsa Keenam dan Persidangan Pelajar Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Keenam di universiti tersebut semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pengerusi penganjur, Rose Nanju, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit dan Ketua Penolong Jururawat Unimas, Prof. Dr. Zabidah Putit.

Forum dua hari yang bermula semalam itu dihadiri 800 peserta yang terdiri daripada pelajar tempatan, Thailand, Indonesia, China, Singapura dan Maldives.

Tambahnya, penggunaan tek­no­logi baharu juga merupakan cabaran kepada jururawat.

“Sehubungan itu latihan secara berterusan adalah amat penting agar dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Jururawat harus bersedia menghadapi cabaran ini agar pesakit yang memerlukan dapat dirawat dengan baik,” jelasnya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Wednesday 4 March 2015

Jururawat berhati mulia

Sunday 1 March 2015

Cuepacs Tidak Setuju Cadangan Pengasingan Klinik Dan Farmasi


KLANG, 26 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS membantah cadangan kerajaan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi kerana ia dilihat akan meningkatkan kos perubatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pengasingan itu dilihat akan memberi bebanan kepada rakyat termasuk penjawat awam kerana mereka terpaksa menampung kos perubatan yang mahal.

"Ekonomi rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam belum mantap...bila adanya pengasingan, mereka terpaksa membayar caj konsultasi doktor dan kemudian terpaksa pula bergegas ke farmasi untuk membeli ubat...bukankah ini melibatkan banyak kos?,"

"Sebab itu kita tidak bersetuju sekiranya kerajaan mahu melaksanakan dasar pengasingan antara klinik dan farmasi ini...kita sebagai rakyat juga tidak mahu wujud sebarang masalah di kemudian hari," katanya pada sidang media berkaitan isu itu di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan seharusnya mengekalkan kaedah sedia ada dengan menempatkan farmasi di dalam klinik bagi memudahkan rakyat terutamanya mereka yang berhadapan dengan penyakit kronik mendapatkan rawatan.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa malahan mengurangkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung pesakit.

Jumaat lepas, Kelab Doktor-doktor Malaysia yang menaungi lebih 8,000 doktor klinik swasta dan badan bukan kerajaan dalam bidang perubatan telah mengemukakan bantahan terhadap cadangan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi.

Bantahan itu dibuat berikutan kerajaan sedang meneliti untuk melaksanakan cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Sementara itu, Azih berkata CUEPACS memohon kerajaan untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan penjawat awam bagi membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti berikutan pendapatan penjawat awam terutama bagi mereka yang menyandang jawatan gred U11 masih rendah.

"Kita tidak mahu lagi ada penjawat awam yang masih memegang gred ini kerana dengan tangga gaji maksimum RM2,600 mereka tidak mampu menampung sara hidup yang lebih besar pada masa kini termasuk tidak mampu untuk membeli rumah.

"Kita mahu skim perkhidmatan penjawat awam betul-betul memberi manfaat kepada penjawat awam supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya.



-- BERNAMA