Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 24 December 2019

Iklan Pemangkuan Jururawat (Perubatan dan Kesihatan Awam) Gred U29 ke Gred U32

TajukIklan Pemangkuan Jururawat (Perubatan dan Kesihatan Awam) Gred U29 ke Gred U32
Tarikh Iklan19-12-2019
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan17-01-2020
LampiranIklan Pemangkuan Jururawat (Perubatan dan Kesihatan Awam) Gred U29 ke Gred U32.pdf

foto: Barita Harian

Monday 23 December 2019

Iklan Urusan Pemangkuan Penolong Pegawai Perubatan Gred U32 ke Gred U36

TajukIklan Urusan Pemangkuan Penolong Pegawai Perubatan Gred U32 ke Gred U36
Tarikh Iklan19-12-2019
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan15-01-2020
LampiranIklan urusan Pemangkuan Penolong Pegawai Perubatan Gred U32 ke Gred U36.pdf

foto rumahkhatan.com

Sunday 22 December 2019

Lebih 900 pengunjung terkandas di Bukit Bendera selamat dibawa turun

Tarikh kemaskini: 22/12/2019

Gambar hiasan (foto: jomjalan.com)

GEORGE TOWN, 22 Dis -- Kesemua 966 pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera, dekat sini selepas perkhidmatan keretapi funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak 8 malam tadi, berjaya dibawa turun ke stesen bawah dengan selamat awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata mangsa dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani sebelum dibawa menggunakan bas ke stesen bawah Bukit Bendera untuk mereka mengambil kenderaan dan pulang ke destinasi masing-masing.

"Secara keseluruhannya seramai 966 pengunjung terjejas membabitkan 793 orang di stesen atas yang tidak boleh turun selepas keretapi funikular itu terkandas di stesen tengah yang mana ketika itu seramai 173 lagi berada di stesen tengah tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula pukul 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.03 pagi serta kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Semalam Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan berkata keretapi funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem.

-- BERNAMA

Kerajaan pertimbang cadangan gaji minimum RM1,800 oleh Cuepacs

Tarikh kemaskini: 21/12/2019

Foto mstar

ALOR SETAR, 21 Dis -- Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta agar gaji minimum penjawat awam ditetapkan RM1,800 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata tuntutan itu merupakan salah satu hak Cuepacs dalam menjamin sesuatu yang lebih baik kepada penjawat awam, bagaimanapun kerajaan juga turut mempunyai hak yang sama sebelum membuat keputusan.

"Kerajaan juga ada hak untuk pertimbangkan sesuatu yang munasabah dengan keperluan lonjakan ekonomi dalam negara kita. Kerajaan mempunyai pandangan 'cermin besar' yang perlu dilihat untuk masa hadapan masyarakat bukan hanya kepada golongan pekerja yang bermajikan dan semua itu harus diambil kira.

"Tuntutan Cuepacs itu menunjukkan sensitiviti mereka dalam membantu pekerja sama ada sektor awam atau swasta tetapi kerajaan sudah tentu ada pertimbangan dari sudut berkemampuan dan keupayaan kerajaan dan mengambil kira keupayaan majikan di peringkat swasta," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Komuniti di Pokok Sena di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya pihak majikan tidak berupaya untuk membayar gaji dan kerajaan memaksa serta meletakkan syarat, pihak majikan mungkin menutup operasi dan itu akan menyebabkan lebih ramai orang akan hilang pekerjaan.

Sementara itu, Mahfuz berkata kerajaan juga memutuskan kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan bermula awal tahun hadapan di kawasan bandar yang terpilih yang dilihat kos sara hidup pekerja lebih tinggi.

"Isu gaji minimum ini memang ramai tidak puas hati. Bermula RM980 naik kepada RM1,100 namun masih ada yang tidak berpuas hati tetapi dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kita telah berjanji untuk naikkan sehingga RM1,500 namun proses itu secara berperingkat dalam tempoh masa lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Presiden Cuepacs Adnan Mat, Khamis lalu yang meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam kerana kos hidup pada hari ini yang terus meningkat.

Adnan berkata keperluan gaji minimum baharu itu dibuat berdasarkan kepada beberapa aspek, antaranya keperluan rumah, nilai harga rumah mampu milik dan kadar potongan bulanan selain dapat mengurangkan masalah tekanan kos sara hidup di samping membentuk generasi yang lebih baik pada masa depan.

-- BERNAMA

Friday 20 December 2019

Adnan Mat dipilih presiden Cuepacs baharu

Tarikh kemaskini: 19/12/2019

Foto: Selangorkini

SHAH ALAM, 19 Dis -- Bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat dipilih sebagai presiden baharu kongres itu bagi penggal 2019-2022.

Adnan memperoleh 676 undi untuk menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Presiden II Cuepacs, Zainal Ismail yang hanya mendapat 381 undi dalam sesi pemilihan sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi, Abdul Rashid Abdullah yang mana sebanyak 1,382 perwakilan mengundi pada sesi pemilihan berkenaan.

Selain Adnan dan Zainal, tiga lagi calon yang turut merebut jawatan presiden Cuepacs adalah setiausaha kewangan kongres itu, Mohd Razali Singah; Presiden Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia (KPHMSM), Datuk Ahmad Shuffir Zakaria dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin.

Penyandang presiden Cuepacs sebelum ini, Datuk Azih Muda tidak mempertahankan jawatan berkenaan berikutan beliau akan bersara daripada perkhidmatan awam hujung bulan ini.

Jawatan nombor dua kongres itu iaitu Timbalan Presiden I diisi oleh Aminuddin Awang apabila memperolehi 766 undi manakala Timbalan Presiden II disandang Zulkifli Mohamed yang meraih 756 undi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman Mohd Nordin yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung Cuepacs, menang tanpa bertanding bagi jawatan Setiausaha Agung.

Pemilihan Cuepacs kali ini turut menyaksikan kemunculan 50 peratus muka-muka baharu bagi mengisi jawatan yang dipertandingkan untuk penggal berkenaan.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui pemberita berkata Cuepacs akan terus menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kenaikan kadar gaji minimum penjawat awam di seluruh negara bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.

Beliau berkata kadar gaji minimum sektor awam pada masa ini dilihat tidak memadai terutamanya bagi pekerja yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita cadangkan gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,800 kerana kajian kita menunjukkan keperluan perbelanjaan seorang individu (yang hidup di bandar) memerlukan sekurang-kurangnya RM2,600 sebulan.

“Sebab itu kita cadangkan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini dikaji semula dan ditetapkan pada RM1,800 dan apabila dicampur elaun termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA) dan perumahan bolehlah sampai sasaran kepada kajian yang kami buat,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai presiden baharu kongres tersebut, Adnan berkata beliau bertekad untuk terus memperjuangkan kebajikan 1.7 juta penjawat awam di negara ini.

Katanya, Cuepacs juga akan memastikan sektor awam terus relevan walaupun negara sedang menuju era Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang menumpukan kepada produktiviti berteraskan teknologi dan inovasi.

-- BERNAMA

Wednesday 18 December 2019

Cuepacs cadang kerajaan semak semula gaji penjawat awam setiap lima tahun

Tarikh kemaskini: 17/12/2019



SHAH ALAM, 17 Dis -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula gaji penjawat awam setiap lima tahun sekali.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini kerana gaji semasa penjawat awam khususnya kumpulan sokongan hanya mampu dibelanja untuk tempoh dua minggu termasuk pembayaran bil-bil utiliti, pembetungan, telefon dan makan minum di rumah.

Katanya kajian Cuepacs menunjukkan seorang pekerja memerlukan pendapatan sebanyak RM2,640 sebulan manakala bagi yang berkeluarga pula RM4,200 untuk menampung kos sara hidup di Lembah Klang pada masa kini.

“Untuk simpan (duit) bagi tujuan pendidikan anak sudah tidak mencukupi. Kalau hantar anak ke nurseri bertambah tanggungannya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu melihat pentingnya gaji penjawat awam disemak setiap lima tahun sekali dan ukur produktiviti mereka.

“Cuepacs harap kerajaan dapat menimbangkan kenaikan gaji kerana ia akan membantu penjawat awam yang ‘lemah’ pendapatannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Tritahunan Cuepacs ke-28 di sini, hari ini.

Berhubung konvensyen selama tiga hari bermula hari ini itu, Azih berkata pelbagai resolusi bakal dikemukakan antaranya berkaitan gaji, kos sara hidup, harga barangan, perumahan, pendidikan dan perubatan.

Katanya, kesemua aspek tersebut merupakan cabaran yang sedang dihadapi oleh penjawat awam masa kini.

-- BERNAMA

Saturday 14 December 2019

Peranan jururawat masih penting di sebalik kecanggihan teknologi

Seramai 129,925 jururawat dan bidan berdaftar di negara ini merupakan enjin penting kepada sistem penyampaian kesihatan terhadap masyarakat. - Bernama

PUTRAJAYA: Peranan jururawat dalam sistem kesihatan tidak pernah terpinggir di sebalik kecanggihan teknologi terutamanya dalam aspek profesionalisme dan kesabaran yang dipamerkan terhadap pesakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Menurutnya, teknologi canggih membolehkan pesakit memantau secara dalam talian dan 'sedikit sebanyak' telah mengalihkan peranan jururawat.
"Walaupun bergantung kepada alat-alat canggih, jangan kita ketepikan peranan jururawat yang asas iaitu 'caring attitude' (sikap mengambil berat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejururawatan 2019 sempena sambutan Hari Jururawat dan Hari Bidan, di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 129,925 jururawat dan bidan berdaftar di negara ini merupakan enjin penting kepada sistem penyampaian kesihatan terhadap masyarakat.
Berikutan perkembangan teknologi, katanya jururawat Kementerian Kesihatan turut melakukan perkembangan yang bersesuaian seperti memberi perkhidmatan penjagaan kejururawatan di rumah selepas pembedahan dan bersalin, serta perkhidmatan bergerak dari rumah ke rumah.

Hari Bidan dan Hari Jururawat disambut pada 5 Mei dan 12 Mei setiap tahun bagi menghargai jasa dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat. Tema Hari Bidan bagi tahun ini adalah 'Midwives: Defenders of Women's Rights', manakala tema Hari Jururawat pula 'Nurse: A Voice to Lead - Health for All'.

-- BERNAMA

Thursday 12 December 2019

Selamat Guna Telefon Bimbit Ketika Ribut Petir

Tarikh kemaskini: 09/12/2019



Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof

KUALA LUMPUR -- Tahukah anda bahawa penggunaan telefon bimbit ketika ribut petir sebenarnya selamat jika dibandingkan dengan penggunaan telefon yang disambung dengan kabel telefon dalam sesebuah bangunan.

Ini kerana telefon yang disambung dengan kabel telefon mampu bertindak sebagai konduktor cas elektrik serta memungkinkannya disambar petir, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, (MetMalaysia) Jailan Simon.

“Namun begitu kebarangkalian telefon bimbit disambar kilat juga boleh berlaku sekiranya telefon bimbit sedang dicas dengan wajar pengecas (ada plak) dan digunakan semasa kejadian ribut petir,” katanya kepada Bernama dalam temuramah, baru-baru ini.

Musim monsun yang sedang melanda negara kini menjadi kerisauan kepada penggunaan telefon bimbit semasa ribut petir yang dikatakan boleh membawa maut.

Berdasarkan kajian MetMalaysia, terdapat kira-kira 16 juta ribut petir berlaku setiap tahun di seluruh dunia dan situasi di Malaysia, bagi tempoh 10 tahun iaitu antara 2008 hingga Ogos 2019, sebanyak 132 kes kematian direkodkan akibat terkena panahan kilat.

Daripada jumlah itu, pantai barat Malaysia merekodkan kematian tertinggi dengan 89 mangsa, diikuti Pantai Timur 22 mangsa dan Sabah dan Sarawak sebanyak 21 mangsa.



BAGAIMANA KILAT TERJADI



Jailan berkata kilat merupakan fenomena semulajadi berlaku terutama di kawasan tropika seperti Malaysia namun ia lebih kerap berlaku semasa tempoh peralihan monsun iaitu April-Mei dan Oktober-November.

Fenomena alam tersebut terjadi apabila proses nyahcas elektrik di ruang atmosfera berlaku dan ketika ini, jumlah tenaga yang amat besar dibebaskan serta suhunya mampu mencapai suhu 30,000 darjah Celsius, cukup panas untuk mencairkan pasir silika, katanya.

“Kilat turut memanaskan udara sekitarnya yang mencecah kira-kira suhu 10,000 darjah Celsius secara serta-merta, iaitu hampir dua kali ganda suhu permukaan matahari. Haba tersebut menghasilkan gelombang kejutan yang mengeluarkan bunyi, dikenali sebagai guruh.

“Proses kejadian kilat berlaku dengan sangat pantas menyebabkan pembentukan libasan kilat yang tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

“Kilat lazimnya terjadi di daratan pada waktu petang dan senja manakala pada waktu malam ia kerap terjadi di lautan,” jelas beliau lagi.



MITOS KILAT TIDAK SAMBAR DI TEMPAT YANG SAMA



Umum mempercayai bahawa kilat tidak akan menyambar tempat yang sama lebih daripada sekali.

Bagaimanapun, Jailan berkata hakikatnya kilat boleh menyambar di mana-mana lokasi lebih daripada sekali.

Keadaan ini boleh berlaku secara kebetulan memandangkan terdapat berjuta ribut petir berlaku setiap tahun, tambahnya.

“Selain itu, antara ciri-ciri suatu kawasan yang cenderung disambar kilat adalah disebabkan faktor ketinggian (objek yang tinggi lebih cenderung dipanah) serta aktiviti yang dijalankan ketika ribut petir berlaku,” katanya.

Jailan menjelaskan mangsa yang disambar kilat boleh mengakibatkan kecederaan parah sehingga membawa maut serta mengalami kelecuran tahap ketiga yang melampaui lapisan bawah kulit termasuk lemak, otot, tulang dan saraf.

“Kilat yang menyambar seseorang mampu menjana voltan elektrik yang amat tinggi sehingga mencecah 120,000 volt, lebih daripada mencukupi untuk menyebabkan kejadian jantung manusia terhenti (cardiac arrest).

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa merujuk ramalan dan amaran cuaca sebelum menjalankan aktiviti luar terutamanya sewaktu tempoh peralihan monsun dengan ribut petir sering berlaku pada waktu petang dan senja,” katanya.



MANFAAT KILAT TERHADAP ALAM SEKITAR



Meskipun berbahaya kepada manusia, Jailan berkata, kilat bermanfaat kepada persekitaran dan fenomena semulajadi ini penting untuk bumi mencapai keseimbangan elektrik kerana bumi akan menerima cas elektrik setiap kali berlaku ribut petir.

Permukaan bumi dan atmosfera boleh mengalirkan elektrik dengan baik melalui nyahcas negatif di permukaan bumi dengan cas positif di atmosfera. Justeru, elektron dari permukaan bumi sentiasa mengalir ke atmosfera, katanya.

“Sekiranya kilat dari ribut petir tidak berlaku, ketidakseimbangan cas elektrik antara bumi dengan atmosfera bumi boleh terjadi.

“Selain itu, kilat juga menghasilkan sejenis bahan kimia yang membantu pembentukan lapisan ozon. Seperti mana diketahui, lapisan ozon sangat penting untuk melindungi bumi daripada sinaran ultraungu yang kuat akibat dari sinaran matahari,” katanya.

Selain risiko terhadap manusia, panahan kilat turut mampu mencetuskan kebakaran hutan secara semulajadi pada skala yang besar terutamanya semasa musim kering, ujarnya lagi.



CARA-CARA ELAK DISAMBAR PETIR



Pensyarah Pusat Elektromagnet dan Penyelidikan Perlindungan Kilat (CELP) Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata antara langkah keselamatan yang boleh diambil ketika ribut petir ialah dengan menjauhi wayar telefon, komputer, peralatan serta objek yang boleh mengalirkan arus elektrik seperti paip tembaga dan paip yang diperbuat dari besi.

“Ketika seseorang berada di kawasan terbuka, segera masuk ke dalam bangunan atau kereta yang berhampiran dan elak daripada berteduh di bawah pokok.

“Jika dalam keadaan terdesak dan tiada tempat berlindung, langkah terakhir bagi mengurangkan risiko dipanah petir adalah duduk dalam keadaan mencangkung ke tanah dengan meletakkan tangan di lutut serta kepala diletakkan di celah kedua-dua lutut,” jelasnya.

Beliau yang juga profesor lantikan strategik Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional, Universiti Tenaga Nasional berkata posisi sedemikian mampu membantu menjadikan badan seseorang sekecil mungkin dan meminimumkan sentuhan dengan tanah.



BANTU MANGSA DISAMBAR PETIR



Mohd Zainal berkata sekiranya berdepan dengan mangsa yang disambar petir, usah bimbang untuk menghulurkan bantuan kerana mangsa tidak menyimpan cas elektrik di badannya.

“Hubungi talian kecemasan dan laporkan kepada pihak berkuasa dan hospital. Kebiasaannya jantung mangsa akan terhenti secara tiba-tiba dan ketika ini, rawatan kecemasan penting bagi menyelamatkan mangsa.

“Berikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sekiranya tahu dan tutup kulit yang melecur dengan kain bersih, pastikan tidak membalut kulit melecur tersebut,” katanya.

Sekiranya mangsa sedar tetapi mengalami gejala kejutan, baringkan mangsa dalam keadaan kepala lebih rendah daripada tubuh dan kaki, tambahnya.

Yang pasti, seseorang seharusnya terlebih dahulu memastikan keselamatan diri sendiri dan tiada risiko disambar petir sebelum menyelamatkan mangsa, katanya.



Disunting oleh Rafe’aton Md. Ali

-- BERNAMA

Wednesday 11 December 2019

Kenaikan Pangkat Pengajar Dari Gred U41/U44 Secara Hakiki/Fleksi U44

TajukUrusan Kenaikan Pangkat Pengajar Dari Gred U41/U44 Secara Hakiki/Fleksi U44
Tarikh Iklan11-12-2019
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan10-01-2020
LampiranUrusan Kenaikan Pangkat Pengajar Dari Gred U41 U44 Secara Hakiki Fleksi U44.pdf

Sumber: web KKM


Jabatan Kesihatan siasat dakwaan kecuaian hingga bayi pramatang meninggal dunia

Tarikh kemaskini: 11/12/2019



KUALA TERENGGANU, 11 Dis -- Jabatan Kesihatan negeri Terengganu melakukan siasatan berhubung kematian seorang bayi kelahiran pramatang yang didakwa akibat kecuaian kakitangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata dalam situasi kes kecemasan, perawatan akan diberikan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran pesakit selesai.

"Penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang telah dimaklumkan semasa perjumpaan bersama bapa mangsa selepas kelahiran iaitu pada pagi 8 Dis (Ahad lepas).

"Penjelasan lebih lanjut juga telah diberikan oleh Pakar Neonatologi kepada kedua-dua ibu bapa bayi tersebut pada 9 Dis selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kisah kematian bayi itu tular di media sosial apabila pemilik akaun Facebook bernama 'Kelana Jagat' melahirkan kekecewaannya dengan layanan kakitangan HSNZ yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anaknya.

Posting bertajuk 'Kematian Mohamed Alauddin Ariff Mohamed Riduan' tersebut dimuat naik 7.19 pagi semalam dan sehingga tengah hari ini menerima 4,400 komen dan 3,100 perkongsian oleh netizen.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata Jabatan Kesihatan negeri mengucapkan takziah kepada beliau dan pasangan atas pemergian cahaya mata mereka.

"Jabatan sekali lagi ingin mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang privasi oleh semua pihak pada masa yang sukar ini.

Beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tanpa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih.

“JKN Terengganu sentiasa mengalu-alukan maklum balas berkaitan perkhidmatan yang diberikan demi penambahbaikan jabatan ini. Sebarang cadangan atau aduan boleh diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia di pautan https://moh.spab.gov.my," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday 10 December 2019

Bayaran bantuan khas kewangan penjawat awam pada 18 Dis

Tarikh kemaskini: 10/12/2019



PUTRAJAYA, 10 Dis-- Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara akan dibuat pada 18 Dis ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata bayaran khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

"Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu," katanya dalam kenyataan.

Lim berkata bantuan RM500 itu akan memberi manfaat kepada 1.5 juta penjawat awam kerajaan Persekutuan merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Bayaran khas sebanyak RM250 pula akan memberi manfaat kepada satu juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenang khidmat bakti mereka, katanya.

Bantuan Khas Kewangan tersebut diumumkan Lim dalam ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Okt lepas.

-- BERNAMA

10 Kursus Anjuran Kementerian Kesihatan bertaraf Diploma


Berikut adalah 10 Kursus Anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia Bertaraf Diploma. Mereka yang ditawarkan untuk mengikuti kursus ini akan ditempatkan di institusi-institusi latihawan di bawah seliaan Bahagian latihan KKM dan perlu menghabiskan kursus selama 3 tahun. Klik nama penjawapan untuk maklumat lanjut.
>Kejururawatan
>Pembantu Perubatan
>Teknologi Makmal Perubatan
>Juru X-Ray (Radiografi / Radioterapi)
>Teknologi Pergigian
>Farmasi
>Kesihatan Persekitaran
>Jurupulih Perubatan Anggota (Fisioterapi)
>Jurupulih Perubatan (Carakerja)
>Jururawat Pergigian

Urusan Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U41/U42 Ke Gred U44

TajukUrusan Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U41/U42 Ke Gred U44
Tarikh Iklan09-12-2019
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan06-01-2020
LampiranUrusan Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U41U42 Ke Gred U44.pdf

Sumber: Web KKM

Gambar Harian Metro - Gambar Hiasan

Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Jururawat Gred U41/U42 Ke Gred U44

TajukUrusan Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Jururawat Gred U41/U42 Ke Gred U44
Tarikh Iklan09-12-2019
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan06-01-2020
LampiranUrusan Kenaikan Pangkat Skim Perkhidmatan Jururawat Gred U41U42 Ke Gred U44.pdf

Sumber: Web KKM

Foto Utusan Borneo

Thursday 5 December 2019

Jangkitan HIV / AIDS : Lapan kematian di Penjara Kajang dicatatkan sehingga Okt

Tarikh kemaskini: 04/12/2019



KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Sebanyak lapan kematian direkodkan melibatkan banduan lelaki disebabkan jangkitan HIV atau AIDS di Penjara Kajang dari Januari hingga hari ini, kata Timbalan Penguasanya, Shollehin Dahari.

Beliau berkata jumlah tersebut merangkumi seramai 107 banduan lelaki yang merupakan pesakit HIV di pusat berkenaan sehingga hari ini.

“Secara puratanya, setiap tahun, dianggarkan kira-kira lapan hingga 10 banduan lelaki meninggal setiap tahun di penjara berkenaan akibat jangkitan penyakit itu.

"Kami menerima seramai 120 orang banduan yang menghidap jangkitan HIV atau AIDS secara purata setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Penghuni Penjara Kajang dekat sini, hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penjara Kajang M. Basakaran.

Shollehin menjelaskan, setiap banduan telah mengetahui diri mereka positif HIV atau diketahui melalui ujian saringan yang wajib dilakukan sebelum menjalani hukuman di pusat ini.

Tegasnya, banduan-banduan tersebut ditempatkan di blok khas untuk diasingkan daripada banduan lain dan akan menerima rawatan sepanjang di Klinik Dalam Penjara (KDP) selain dihantar ke hospital berdekatan jika memerlukan rawatan rapi.

Terdahulu, mengulas mengenai majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Penghuni Penjara Kajang di sini, Shollehin berkata pelbagai aktiviti telah diadakan yang antara lain memberi kesedaran kepada banduan tentang bahayanya penyakit HIV.

Jelasnya, antara aktiviti tersebut adalah ceramah kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, melukis poster, mendeklamasikan sajak serta sesi perkongsian berkumpulan yang dikendalikan pegawai di Penjara Kajang.

Menurutnya, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat amat memberangsangkan dan sangat-sangat diperlukan bagi membantu banduan menyesuaikan diri setelah keluar dari penjara.

-- BERNAMA

Dewan Rakyat lulus pemansuhan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006

Tarikh kemaskini: 04/12/2019



KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan pemansuhan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006 dan berikutan itu lembaga yang berada di bawah akta itu turut dibubarkan.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Pembubaran) 2019 selepas dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata pembubaran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) adalah selaras dengan keputusan dasar kerajaan berhubung pelaksanaan rasionalisasi agensi dalam perkhidmatan awam.

Jelasnya, hasil pengauditan mendapati pencapaian LPKM kurang memuaskan berbanding peruntukan yang diterima selain kos pengurusan yang tinggi, tiada kepakaran teknikal dalam mempromosi kesihatan serta berlaku pertindihan fungsi dengan Kementerian Kesihatan.

“Di samping itu, LPKM tidak memenuhi jangkaan dasar kerajaan terhadap badan berkanun Persekutuan, iaitu bukan merupakan sebuah agensi yang menjana pendapatan dan penguatkuasaan.

“LPKM juga tidak mempunyai kedudukan kewangan yang mampan dan bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan kerajaan,” katanya.

Berikutan pembubaran LPKM, skop fungsi, sumber manusia, kewangan dan aset asal lembaga itu akan dipindahkan kepada Kementerian Kesihatan.

LPKM ditubuhkan pada 1 April 2007 berikutan pewartaan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006 (Akta 651).

Lembaga itu merupakan sebuah badan berkanun yang pertama ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan bertujuan memperluaskan bidang promosi kesihatan dengan penglibatan masyarakat secara intensif yang digerakkan bersama melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2019 melibatkan empat penambahbaikan utama dalam Akta 527 yang telah mencecah hampir satu abad.

Rang Undang-undang itu dibentangkan kali pertama 27 Nov lepas dan ketika membentangkan untuk bacaan kali kedua petang ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata undang-undang yang lama itu telah mengakibatkan kesukaran kepada industri perkapalan untuk menjalankan transaksi pengangkutan barangan melalui laut mengikut kaedah transaksi semasa.

“Elemen Hague Rules dalam Akta 527 adalah lapuk dan tidak mencukupi untuk memenuhi syarat-syarat pengangkutan moden. Oleh itu, Malaysia memerlukan perundangan yang diharmonikan dengan asas-asas liabiliti, tanggungjawab dan pampasan,” katanya.

Pindaan dilakukan bagi mengemas kini standard yang diamalkan dalam transaksi pengangkutan barangan melalui laut semasa berhubung had liabiliti, jenis liabiliti dan pengiktirafan terhadap dokumen-dokumen berkaitan transaksi pengangkutan barangan melalui laut.

Ia juga bertujuan mengekang kelewatan penyerahan barang melibatkan kos yang tinggi dalam perniagaan serta mengurangkan risiko kehilangan pelanggan jika tuntutan melibatkan klausa pembatalan.

Pada masa yang sama, pindaan turut dilakukan bagi menambah baik pengiktirafan borang elektronik bagi ‘sea carriage documentation’ selaras memenuhi keperluan perdagangan moden melibatkan sektor maritim serta mengharmonikan perundangan maritim dengan asas-asas liabiliti, tanggungjawab dan pampasan.

Persidangan dewan disambung esok.

-- BERNAMA

Wednesday 4 December 2019

Mengapa Hospital Guna Baju Hijau?



Mengapa Hospital Guna Baju Hijau? 

Doktor_bedah 

DALAM bilik bedah seringkali kelihatan doktor memakai baju hijau semasa bertugas. Pada mulanya doktor dikatakan memakai warna putih kerana ia warna yang melambangkan kebersihan.

Bagaimanapun, seorang doktor yang berpengaruh telah menggantikan warna putih dengan warna hijau kerana menurutnya warna hijau lebih sejuk.

Walaupun sukar dipastikan mengapa warna hijau memang sesuai bagi doktor untuk melihat lebih baik di ruang pembedahan, kerana hijau adalah warna berlawanan dengan warna merah.

Warna hijau dapat menyegarkan mata ahli bedah semasa melihat benda-benda berwarna merah, termasuk organ-organ tubuh yang berlumuran darah ketika pembedahan.

Melihat warna merah terus menerus menyebabkan sinyal warna merah di otak memudar sensiviti terhadap variasi warna merah.

Alasan lainnya adalah, terus-menerus berfokus pada warna merah akan menyebabkan pakar bedah kurang memberikan tumpuan dan mengganggu penglihatan doktor.

Jika warna baju-baju pakar bedah berwarna hijau, ilusi ini akan memudar dan tidak akan mengganggu penglihatan doktor.

Tuesday 3 December 2019

Melaka perlu hingga 600 kakitangan baharu Kesihatan

Tarikh kemaskini: 03/12/2019

gambar HUSM


MELAKA, 3 Dis -- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memerlukan antara 500 hingga 600 kakitangan baharu bagi menampung peningkatan permintaan rawatan selain mengisi kekosongan khususnya di klinik kesihatan baharu di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Amirullah Mohd Arshad berkata ia juga bagi memastikan kebajikan pesakit dapat diberi keutamaan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan permohonan penambahan itu akan dimohon dalam masa terdekat.

"Sebagai contoh, Klinik Kesihatan Batu Berendam beroperasi awal tahun hadapan dan ia memerlukan kira-kira 325 perjawatan baharu manakala perjawatan bagi Klinik Rembia yang baharu beroperasi pada akhir Ogos lepas juga kita akan mohon kerana waktu mula beroperasi kita tiada peruntukan khas perjawatan.

Situasi ini menyebabkan kita terpaksa meminjam kakitangan dan pegawai perubatan dari klinik kesihatan sedia ada dan ia secara tidak langsung memberi kesan pada kelancaran perkhidmatan kesihatan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Premis Tayar) di Cheng di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan penambahan perjawatan baharu di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Semalam Bernama melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan 10,675 jawatan tetap bagi Kementerian Kesihatan berdasarkan keperluan fasiliti kesihatan yang telah siap dan bakal beroperasi mulai 2019 hingga 2020 dan akan diagihkan secara berfasa.

Ia melibatkan perjawatan pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain jawatan di fasiliti baharu Kementerian Kesihatan melalui kaedah penjajaran jawatan kosong dari semua kementerian.

-- BERNAMA

Urusan Kenaikan Pangkat Jururawat (Perubatan Dan Kesihatan Awam) Gred U29/U32/U36 Ke Gred U42

Tajuk: Iklan Urusan Kenaikan Pangkat Jururawat (Perubatan Dan Kesihatan Awam) Gred U29/U32/U36 Ke Gred U42
Tarikh Iklan: 02-12-2019
Penerangan: Sila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan: 30-12-2019
Lampiran: Iklan kenaikan pangkat Jururawat (Perubatan & Kesihatan Awam) Gred U29.U32.U36 ke Gred U42 (memangku pada 21.05.2019).pdf

Foto NST

Jangan cucuk jarum berulang kali jika tidak jumpa salur darah bayi

Tarikh kemaskini: 01/12/2019



IPOH, 1 Dis -- Doktor atau jururawat yang tidak menjumpai saluran darah pada bayi untuk memasukkan jarum atau pengambilan darah perlu mendapatkan bantuan orang lain atau yang lebih senior.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye tidak dinafikan adalah sukar untuk mencari saluran darah bayi menggunakan jarum kerana ia kecil namun terdapat amalan ditetapkan berhubung perkara itu.

"Jika tidak menjumpai saluran pada bayi untuk memasukkan jarum ketika rawatan perlu dapatkan bantuan orang lain atau mereka yang lebih senior dan bukannya cuba sehingga 10 kali.

"Sekiranya cubaan kali kedua tidak berjaya, mereka tidak boleh cuba mencucuk jarum untuk kali ketiga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Kinta River Walk di sini hari ini.

Dr Lee mengulas tular di Facebook mengenai catatan seorang wanita yang menunjukkan gambar tangan bayi baru dilahirkan dengan kira-kira 10 kesan cucukan jarum didakwa dilakukan oleh doktor pelatih semasa ingin mengambil darah anaknya.

Menjelas lanjut, Dr Lee berkata Kementerian Kesihatan akan menyiasat dakwaan terdapat tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata kementerian akan mengambil tindakan terhadap doktor yang didapati mengenakan caj konsultasi melebihi daripada yang ditetapkan melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.

Beliau berkata orang ramai boleh merujuk laman web kementerian bagi mendapatkan maklumat mengenai akta berkenaan yang menetapkan caj konsultasi doktor.

Katanya caj konsultasi doktor berada di bawah kawalan kementerian, namun caj hospital, makanan, penginapan dan sebagainya berada di luar kawalan dan ditetapkan berdasarkan harga pasaran.

"Kebiasannya ada aturan berkenaan caj hospital dengan syarikat-syarikat insurans," katanya.

Semalam media melaporkan langkah klinik mengenakan caj tambahan sehingga 10 peratus terhadap pemegang polisi insuran menyebabkan kuota perlindungan pesakit cepat habis dan harga ubat mencapai hampir 90 peratus lebih mahal dikenakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata pihaknya memandang serius mengenai amalan klinik dan pusat perubatan swasta yang mengenakan caj rawatan dan kos ubat-ubatan berbeza bagi pesakit yang membayar secara tunai dan pesakit yang menggunakan kad insurans.

-- BERNAMA

JPA lulus 10,675 jawatan untuk Kementerian Kesihatan

Tarikh kemaskini: 03/12/2019



PUTRAJAYA, 2 Dis -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan 10,675 jawatan tetap bagi Kementerian Kesihatan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini.

Mengumumkannya dalam sidang media di sini, beliau berkata kelulusan jawatan itu adalah berdasarkan keperluan fasiliti kesihatan yang telah siap dan bakal beroperasi mulai 2019 hingga 2020 dan akan diagihkan secara berfasa.

Ia melibatkan perjawatan pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain jawatan di fasiliti baharu Kementerian Kesihatan melalui kaedah penjajaran jawatan kosong dari semua kementerian, katanya.

Difahamkan kaedah penjajaran jawatan kosong dari semua kementerian adalah, contohnya mengambil jawatan pegawai gred 41 yang kosong di mana-mana kementerian dan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk jawatan pegawai perubatan UD41. Ia bukanlah perjawatan baharu.

Pada majlis hari ini juga Mohd Khairul Adib menyerahkan waran perjawatan yang mengandungi 385 perjawatan untuk Hospital Rembau kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib mahu kementerian-kementerian kreatif dan inovatif mencari pendekatan yang efektif bagi memenuhi permintaan perkhidmatan kerajaan yang tinggi oleh rakyat dan bukan sahaja melalui pertambahan jawatan.

Beliau berkata perkhidmatan awam kini berhadapan dengan isu permintaan perkhidmatan yang tinggi berikutan penambahan populasi negara dan perlu mengoptimumkan penjawat awam sedia ada.

Menurutnya, banyak kementerian menyatakan mereka memerlukan perjawatan dengan mendesak bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berkualiti.

“Teknologi, alternatif penyampaian perkhidmatan (antara yang dipertimbang) untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa menjejaskan kualiti capaian,” katanya.

“Sudah tentu bila mana permintaan tinggi, kadang-kadang akan terjejas kecekapan dan sebagainya. Tapi perkhidmatan itu masih ada lagi dan kita akan terus menyediakan lebih banyak perkhidmatan sebagaimana dikehendaki rakyat,” katanya.

Pada tahun lepas, kerajaan memutuskan pelaksanaan dasar kawalan saiz perkhidmatan awam dengan menyasarkan pengurangan lima peratus daripada 1.7 juta perjawatan di sektor awam mulai 2019 hingga 2021.

-- BERNAMA