Pages

Jom Kita Berkawan

Monday 21 April 2014

Suami isteri dakwa jururawat cuai



Murni menunjukkan bahagian luka pembedahan di perut Hafizzikry. Gambar kecil: Luka pembedahan yang terbuka.
KUALA LIPIS - Sepasang suami isteri mendakwa seorang kakitangan Hospital Lipis melakukan kecuaian terhadap anak mereka yang ketika itu menerima rawatan pembedahan apendiks 26 Mac lalu.

Hafizzikry Muhamad Ariza, 8, telah menjalani pembedahan apendiks di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 16 April lalu dan telah dibenarkan pulang pada 20 April.

Menurut bapa kanak-kanak itu, Muhamad Ariza Talib, 42, dia telah membawa anaknya ke Hospital Lipis bagi rawatan susulan untuk buka jahitan.

"Ketika membuka jahitan, saya melihat jururawat terbabit melakukan rawatan dengan cara agak kasar sehingga menyebabkan Hafizzikry mengadu kesakitan.

"Saya kemudiannya menegur tindakan jururawat berkenaan memintanya melakukan dengan secara berhalus," katanya di Kampung Sungai Damar, Mukin Gua di sini, semalam.

Setelah ditegur, jururawat terbabit kemudiannya bertindak memanggil seorang lagi petugas bagi menyambung rawatan tersebut dan dia terus menyambung tugasan dengan memeriksa pesakit lain.

Katanya, selepas rawatan terbabit siap Hafizzikry yang juga anak kelima dari enam beradik itu dibenarkan pulang ke rumah.

“Namun pada keesokan harinya (27 Mac) anak saya mengadu sakit dan didapati bahagian jahitan pembedahan di perutnya terbuka sehingga darah mengalir keluar.

“Saya kemudiannya bertindak menghantar Hafizzikry ke Hospital Lipis untuk rawatan,” katanya.

Muhamad Ariza berkata, pada 28 Mac luka jahitan anaknya semakin banyak terbuka, namun tiada usaha dilakukan untuk menjahit semula tempat pembedahan yang terbuka atau membuat pemeriksaan lanjut terhadap bekas pembedahan.

“Anak saya menderita kesakitan ekoran luka di tempat pembedahannya terbuka semula sehingga menampakkan isi perut tetapi pihak hospital hanya membersihkan luka tersebut serta memberi alasan ia proses biasa untuk pulih,” katanya.

Isteri Muhamad Ariza, Murni Abdullah, 38, berkata, selepas selesai mencuci luka anaknya, mereka terkejut apabila pihak hospital arahkan mereka pulang ke rumah serta cuci luka seperti biasa.

“Pada 29 Mac ketika cuci luka Hafizzikry, kami terkejut apabila mendapati benang sepanjang dua inci keluar dari tempat luka.

“Kami bertindak memanggil doktor pakar untuk membuat pemeriksaan dan pakar berkenaan tidak membenarkan kami pulang ke rumah,” katanya.

Murni berkata, pada 30 Mac dia merayu untuk keluar dari Hospital Lipis dan berhasrat hantar anaknya ke Hoshas untuk rawatan selanjutnya dan pada 31 Mac luka anak saya dijahit semula,” katanya.

Murni berkata, dia melahirkan rasa kesal dengan kejadian berlaku dan menganggap kakitangan di Hospital Lipis tidak menjalankan pemeriksaan dengan teliti.

Sementara itu, pihak Hospital Lipis akan membuat siasatan terperinci mengenai kes aduan sepasang suami isteri yang mendakwa kecuaian seorang kakitangan hospital itu ketika anak mereka menerima rawatan susulan pembedahan apendiks 26 Mac lalu.

Pengarah Hospital Lipis, Dr Sharifuddin Saad berkata, pihak hospital mempunyai prosedur rawatan susulan terhadap pesakit, Hafizzikry dan cuba memberi layanan serta keselesaan kepadanya.

“Ini kemungkinan berpunca masalah komunikasi keluarga pesakit dengan petugas hospital.

"Walaupun begitu kita akan buat siasatan terperinci dan hasilnya akan dilaporkan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN

Monday 14 April 2014

Elaun kerja lebih masa K1M RM1.39 juta

KUALA LUMPUR - Kekurangan penjawat tetap di Klinik 1Malaysia (K1M) mengakibatkan bayaran elaun lebih masa berjumlah RM1.39 juta dicatatkan untuk tempoh 2011 hingga 2013.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini, bayaran elaun lebih masa untuk petugas K1M bagi tahun 2013 berjumlah RM579,320; RM631,280 (2012) dan RM179,754 bagi tahun 2011.

Kekurangan tersebut menyebabkan petugas daripada Klinik Kesihatan atau klinik induk dan Pejabat Kesihatan Daerah/Bahagian berdekatan dipinjamkan ke K1M berkaitan dan terpaksa bertugas lebih masa.

Selain itu, laporan itu menyebut petugas yang terpaksa bekerja lebih masa boleh mengakibatkan keletihan dan terdedah kepada kecuaian perubatan.

Justeru, laporan itu mengesyorkan kepada Kementerian Kesihatan  supaya segera mengisi jawatan tetap bagi K1M agar dapat mengurangkan beban kerja serta meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan K1M.

Sementara itu maklum balas Kementerian Kesihatan yang turut dimuat dalam laporan audit yang sama menyebut sehingga 20 Feb lepas, pihak kementerian telah mengisi 508 jawatan jururawat di 254 buah K1M.

Bagi jawatan Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan dan Kesihatan, 444 perjawatan telah diisi manakala 64 lagi perjawatan telah diberi dalam Anggaran Belanja Mengurus 2014.

Laporan itu juga mengesyorkan supaya penempatan K1M adalah berpandukan kriteria yang ditetapkan iaitu di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan akses kenderaan yang mudah.

Ini kerana, K1M Pulau Tuba di Langkawi mencatatkan kedatangan pesakit yang rendah, iaitu purata hanya lapan orang sehari pada tahun lalu, dan terdapat sebuah klinik desa dalam jarak dua kilometer.

Selain itu, laporan itu juga menyentuh kelewatan memuktamadkan perjanjian sewaan premis untuk lima K1M di Sarawak iaitu di Padawan; Matang Jaya; Bintawa; Senadin dan Samarindah di antara 12 hingga 26 bulan walaupun semua klinik itu telah beroperasi dan sewa dibayar.

Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa masalah itu berlaku kerana terdapat pemilik bangunan enggan menggunakan perjanjian seragam yang disediakan Peguam Negara dan kementerian akan berusaha bekerjasama dengan pemilik bangunan untuk mempercepatkan urusan memuktamadkan perjanjian itu. - Bernama


SUMBER: SINAR HARIAN

Friday 11 April 2014

Doktor kekal dipenjara tujuh tahun cabul pesakit


SHAH ALAM - Mahkamah tinggi di sini semalam mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang doktor atas dua tuduhan mencabul pesakitnya, di sebuah Hospital Kajang, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Noor Azian Shaari berkata, mahkamah menolak rayuan perayu berhubung sabitan dan hukuman tersebut setelah mendapati permohonan tiada merit.

Menurut hakim berkenaan, sebagai seorang doktor yang mempunyai akses merawat pesakit berlainan jantina, dia sepatutnya ditemani oleh orang ketiga.

Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dihadapi Dr Ahmad Hisham Ahsan, 44.

Dia didakwa mencabul pesakit berumur 19 tahun pada ketika itu sebanyak empat kali di katil pesakit, Wad 4, hospital tersebut antara jam 3.15 sehingga 4 pagi, 25 Disember 2011.

Sebelum kejadian, mangsa dihantar ke hospital oleh ibu bapanya kerana sakit perut dan tertuduh didakwa memeriksanya tanpa ditemani oleh jururawat dan melakukan perbuatan itu tanpa keizinan.

Dalam kes ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suzanna Abd Latif dan Zuraida Wan Nawan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan manakala Dr Ahmad Hisham diwakili peguam, Ahmad Khusyairi Mohamed Tansi.

SUMBER: Sinar Harian