GARA-GARA membunuh jururawat yang menjaganya di sebuah hospital psikiatri, seorang lelaki warga emas terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di sebalik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Menurut laporan Mirror, Ryan Matthews, 62, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah membunuh Sharon Wall, 53, di Hospital Wotton Lawn di Gloucester, England, pada 9 Julai tahun lalu.

Ketika kejadian, Wall yang telah bekerja selama lebih 20 tahun dengan pesakit mental dipercayai baru selesai bertugas syif malam selepas dia melakukan rutin pemeriksaan pusingan keadaan pesakit sebelum pulang.

Polis percaya, suspek hanya mengambil masa beberapa minit untuk menyerang dan menikam mangsa dengan pisau dapur di laluan kaki lima di Unit Montpellier hospital itu.

Serangan yang berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) itu, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dirawat.

Kira-kira seminit sebelum insiden serangan, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek sempat menghisap rokok sebelum menyerang dan membunuh mangsa dengan kejam.

Dalam video pembunuhan selama beberapa minit itu, suspek kelihatan tenang dan selesa sambil bersandar di dinding hospital berkenaan. Bagaimanapun, ketenangannya itu dilihat berbeza ketika dia memulakan serangan terhadap Wall.

SUMBER: Sinar Harian