Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 24 March 2020

Tingkatkan barisan hadapan




Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 23 Mac -- Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan memperuntukkan sebanyak RM730 juta sebagai peruntukan tambahan, dan RM600 juta akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH), agensi barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

Daripada RM600 juta, sebanyak RM500 juta akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan untuk Kementerian Kesihatan bagi melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Suntikan dana tambahan untuk sektor penjagaan kesihatan yang diumumkan hari ini dilakukan selepas kerajaan memperuntukkan sebanyak RM160 juta untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini pada Khamis lepas untuk menangani gelombang kedua wabak COVID-19. 

Langkah itu dipuji berikutan kerajaan mengambil pendekatan langkah demi langkah dalam menilai situasi dan merangka langkah mengikut keperluan sektor masing-masing.

Walaupun mengawal defisit fiskal penting untuk mencapai tahap kesihatan kewangan, semasa menghadapi tempoh mencabar di Malaysia dan di tempat lain, merupakan langkah bijak untuk mengetepikan ukuran tersebut dan memberi tumpuan kepada menangani cabaran semasa. 

Tambahan pula, penjagaan kesihatan dan ekonomi amat berkaitan, ia tidak boleh berjaya tanpa yang lain.

Oleh itu, selain langkah sedemikian, pakej rangsangan ekonomi yang kedua untuk menambah RM20 bilion yang diumumkan pada akhir Februari lepas amat dialu-alukan, berikutan bantuan ekonomi yang pertama itu menumpukan kepada industri yang menerima impak secara langsung daripada COVID-19 iaitu pelancongan dan hospitaliti.

Malangnya, virus tersebut kini "menjangkiti" industri lain. 

Pakej rangsangan yang dibuat secara berturut-turut itu bukanlah sesuatu yang baharu kepada Malaysia memandangkan ia pernah dilaksanakan sebelum ini ketika krisis subprima di Amerika Syarikat.

Dua pakej rangsangan diumumkan dalam jangka pendek lima bulan iaitu pada November 2008 dan Mac 2009 di mana kerajaan mengumumkan suntikan sebanyak RM67 bilion kepada ekonomi tempatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan inisiatif itu hari ini berkata, ini adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang diumumkan pada 30 Mac, 2020.

Setakat hari ini, Malaysia mencatat 1,518 kes COVID-19 dengan 159 pesakit sembuh sepenuhnya manakala 14 lagi meninggal dunia.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas yang telah menjejaskan perniagaan khususnya peniaga kecil, kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM130 juta kepada semua negeri untuk membantu komuniti di negeri masing-masing dalam menangani krisis ini. 

Sebagai langkah menyediakan pendapatan boleh guna kepada rakyat, kerajaan sebelum ini turut mengumumkan pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus berbanding 11 peratus sebelum ini.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari kepada 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion.

Perdana Menteri turut menasihatkan ahli KWSP yang akan menerima manfaat itu agar menggunakan wang yang dikeluarkan sebaik mungkin dan membeli barang-barang yang perlu sahaja dalam tempoh yang agak sukar ini.

Muhyiddin juga berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Sept.

Selain kerajaan pusat, kalangan kerajaan negeri juga telah mengumumkan inisiatif di peringkat masing-masing bagi membantu menangani COVID-19.

Sebagai contoh, kerajaan Selangor melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM128 juta, Kedah (RM21 juta) manakala Perak menyalurkan RM7 juta dalam bentuk bantuan untuk kumpulan bersasar dan kerajaan Melaka memperuntukkan RM6.53 juta bagi membantu mereka yang terjejas.

Selain usaha di peringkat kerajaan pusat dan negeri, kalangan syarikat Malaysia juga turut menghulurkan bantuan bagi membantu negara.

Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) misalnya telah menjalin kerjasama untuk menggalakkan kalangan syarikat korporat di Malaysia berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

Inisiatif ‘Corporate Malaysia Against Covid-19 Action Coalition’ itu antara lainnya menggesa syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain untuk memberi sokongan kewangan kepada Kementerian Kesihatan dari segi membantu menambah bekalan perubatan yang berkurangan bagi membendung wabak itu.

Sebagai peneraju usaha itu, TNB turut berikrar untuk menyalurkan sejumlah RM10 juta kepada kementerian tersebut.

Syarikat petroliam negara, PETRONAS, menerusi cabang Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Yayasan PETRONAS menyumbang pelbagai peralatan dan kelengkapan perubatan bernilai RM20 juta bagi membantu hospital dan petugas barisan hadapan ini mengawal pandemik tersebut.

Selain itu, Maybank juga mengumumkan sumbangan tunai segera sebanyak RM4 juta yang akan disalurkan kepada Dana Pandemik COVID-19 MERCY Malaysia bagi menyokong Pelan Kesiapsiagaan dan Respons Strategik.

Jelas sekali, setiap pihak di negara ini berusaha sedaya upaya bagi membantu Malaysia ‘pulih’ daripada virus yang menjangkiti seramai 292,146 orang di serata dunia serta menular di lebih 160 negara.

Namun, sebelum semua usaha ini sama ada di peringkat kerajaan pusat, negeri dan perbadanan serta syarikat dapat membuahkan hasil, kalangan orang ramai perlu memberi kerjasama sepenuhnya dari segi mengekalkan penjarakan sosial demi memastikan penularan itu dapat ditangani dan diatasi.

Atau ringkasnya, orang ramai hanya perlu berada dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

-- BERNAMA

Sunday 15 March 2020

URUSAN KENAIKAN PAGKAT PPKP GRED U29 KE GRED U32

TajukURUSAN KENAIKAN PAGKAT PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN GRED U29 KE GRED U32 DI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Tarikh Iklan10-03-2020
PeneranganSILA RUJUK LAMPIRAN
Tarikh Tutup Permohonan10-04-2020
LampiranIklan GRED U32.compressed.pdf


KENAIKAN PANGKAT PPKP GRED U29/32/36 KE PKP GRED U42

TajukURUSAN KENAIKAN PANGKAT PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN GRED U29/32/36 KE PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN GRED U42 DI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Tarikh Iklan10-03-2020
PeneranganSILA RUJUK LAMPIRAN
Tarikh Tutup Permohonan10-04-2020
LampiranIKLAN KENAIKAN PANGKAT PPKP KE GRED U42.compressed.pdf


Monday 2 March 2020

Urusan Pemangkuan Penolong Pegawai Perubatan Gred U29U32U36 ke Gred U42

TajukUrusan Pemangkuan Penolong Pegawai Perubatan Gred U29U32U36 ke Gred U42
Tarikh Iklan27-02-2020
PeneranganSila Rujuk Lampiran
Tarikh Tutup Permohonan27-03-2020
LampiranIklan pemangkuan PPP ke Gred U42 - pindaan.pdf


foto nursingcollegemalaysia.com

KKM sedang siasat dua kenamaan dikaitkan kes COVID-19


KUALA LUMPUR, 2 Mac  -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat mengenai maklumat yang tular di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dIkaitkan dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-26 Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu sedang disiasat KKM dan tindakan sedang diambil mengenainya.

"Untuk makluman, kes ke-26 yang dilaporkan pada 1 Mac sedang dirawat dan dipantau di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil. 

"Lima kontak rapat keluarga, seorang pembantu khas kepada kes ke-26 dan seorang kakitangan kesihatan swasta telah disahkan negatif COVID-19. Siasatan dan pengesanan kontak rapat masih terus dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang bekas menteri dan timbalan menteri dipercayai kontak rapat dengan kes ke-26 positif COVID-19 dan berhubung langsung dengan orang lain termasuk petugas media, sehingga mencetuskan kekhuatiran dan kemungkinan mereka perlu melakukan saringan kesihatan. 

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata orang ramai diingatkan tidak menularkan berita-berita mengenai kes jangkitan COVID-19 yang tidak disahkan oleh KKM bagi mengelakkan situasi panik dan salah faham dalam masyarakat. 

“KKM juga ingin menegaskan bahawa siasatan ke atas kes positif COVID-19 serta pengesanan kontak dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Garispanduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.04/2020,” katanya.

Beliau menjelaskan kontak rapat adalah mereka yang berhubung rapat dengan kes yang disahkan positif COVID-19. Ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes positif COVID-19 seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang disarankan atau mereka yang tinggal dalam satu rumah sama.

Hanya mereka dalam kategori kontak rapat kes positif sahaja yang akan disaring dan diambil sampel bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19, katanya.

“Individu yang mempunyai kontak dengan mereka yang sekadar disyaki dijangkiti COVID19 dan belum disahkan melalui ujian makmal bukan dikategorikan sebagai kontak dan tidak diambil sampel,” tegas beliau.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan menggunakan cecair pembasmi kuman.

-- BERNAMA