Perbincangan tentang keadaan pesakit sering dilakukan oleh Noorjan bersama doktor (dua, kanan) dan jururawat lain.
KETIKA usianya 12 tahun, Noorjan M.K.M Hameed sering
kali berulang alik ke hospital yang berhampiran dengan rumahnya. Ulang
alik tersebut bukanlah disebabkan dia sakit sebaliknya perlu menjaga
anak saudara kakaknya yang telah dimasukkan ke unit ICU.
Dek sering menjaga pesakit, Noorjan mula berasa seronok dengan apa yang dilakukan itu. Kadang-kadang terlintas di fikiran untuk menjadi jururawat, namun dipendamkan dulu hasrat tersebut kerana usia masih lagi muda.
"Kerjaya sebagai jururawat membolehkan kita berbakti dan membantu orang ramai. Sebab itu, saya minat dengan bidang ini dan nekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi jururawat bila dewasa nanti," imbau Noorjan ketika ditemui Citra di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Ceritanya lagi, sewaktu tamat belajar tingkatan lima dahulu, beliau telah memohon banyak pekerjaan.
"Ayah mahu salah seorang anaknya bekerja sebagai jururawat. Beliau telah minta saya pohon kerja tersebut. Kebetulan saya memang meminati kerjaya ini dan memohon serta terus lulus ujian.
"Kemudiannya saya dipanggil untuk mendaftarkan diri di Hospital Universiti Malaya, Kuala Lumpur dari tahun 1973 hinggalah 1976,” kata Noorjan kemudian bertugas sebagai jururawat terlatih di wad Perawatan Surgeri dan Perawatan Perubatan di hospital yang sama.
Ketika bertugas di sini, wanita gigih ini kemudiannya ditawarkan melanjutkan pelajaran di Scotland dalam kursus kebidanan.
"Dek alasan-alasan tertentu, saya terpaksa lepaskan peluang sambung belajar di Scotland. Sedih memang sedih, namun saya anggapnya bukan rezeki. Mungkin berkat kesabaran, saya akhirnya mendapat peluang mengikuti kursus kebidanan di HKL dan Kursus Perawatan Rapi pada 1993. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Syukur pada ALLAH," katanya.
Tamat kursus, Noorjan ditawarkan pangkat sebagai Penyelia Jururawat pada 2008 dan akhirnya menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Penyelia Jururawat (Matron) HKL 2011. Beliau ditempatkan untuk menyelia Kawasan Perawatan Khas iaitu unit-unit seperti general ICU, Coronary Care Unit (CCU) Unit Kecemasan dan Traumatologi dan lain-lain lagi.
Di bawah seliaannya terdapat 400 jururawat dan 33 matron. Setiap pagi beliau bertanggungjawab memantau tugas jururawat dan ketua jururawat di wad. Beliau juga harus menyediakan jadual kerja kepada ketua jururawat dan melihat sama ada jururawat yang bertugas cukup atau tidak. Peranan penting lain juga, Noorjan harus mengurus masalah dalaman jururawat, pesakit yang timbul.
Aspek kebersihan
Noorjan yang merupakan bekas timbalan Ketua Penyelia Jururawat atau Matron selama enam tahun di HKL dan sekarang ini baru dipertangungjawab sebagai Pengauditan Casemeix HKL secara kontrak berkongsi cerita lagi dengan Citra.
"Jururawat ini banyak tugasnya. Bukan setakat memantau keadaan pesakit sahaja sebaliknya perlu memastikan pesakit sentiasa dalam keadaan bersih.
"Saya masih ingat, ketika dipertanggungjawab menjaga pesakit yang ditempatkan di wad rawatan rapi dan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan koma, kami sebagai jururawat perlu memastikan pesakit sentiasa bersih sepanjang masa.
"Sama ada pesakit ada darah, nanah, najis, muntah dan apa sahaja yang kelihatan kotor, kami perlu membersihkannya dan harus membuang segala perasaan jijik tersebut. Kami bagaikan bertanding dalam memastikan pesakit dalam keadaan bersih.
"Namun jika masih ada jururawat seakan-akan enggan melakukan tugas sebegini, nasihat saya fikirlah masak-masak kerjaya jururawat ini kerana mana mungkin seorang jururawat mengelak untuk tidak melakukan perkara-perkara sedemikian," ujarnya yang telah menerima Anugerah Tokoh Jururawat dari Ketua Jabatan Neurosurger pada 2009.
Coretan manis
Ibu kepada tiga anak yang fasih bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Tamil, Kantonis dan Arab itu ingin berkongsi pengalaman manisnya sepanjang menjadi jururawat.
"Kisah ini berlaku ketika saya bertugas di unit neuro ICU. Seorang pesakit dari Jepun tenat dan perlu dihantar pulang. Pihak hospital ketika itu perlukan seorang jururawat dan doktor bagi memantau keadaan pesakit di dalam kapal terbang. Kebetulan saya teringin untuk bertugas di atas kapal, dan peluang yang diberikan memang tidak disia-siakan," katanya.
Setiba Noorjan di Jepun, pihak syarikat menghargai jasa yang diberikan oleh krew perubatan dan mereka menawarkan apa sahaja kehendak krew untuk dipenuhi.
"Saya memasang angan-angan untuk ke Disneyland. Tak sangka pihak syarikat pesakit itu penuhi angan-angan saya. Memang gembira tak terkata," katanya.
Ketika disoal perasaannya meninggalkan jawatan yang dipegangnya selama ini, Noorjan berkata, perasaan sedih sudah tentu masih bersarang dalam dirinya.
"Kerjaya ini sudah sebati. Layanan daripada kakitangan di HKL kepada saya juga sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Namun tawaran sebagai Pengauditan Casemeix HKL sedikit sebanyak tidak membuat diri terasa kehilangan," akhirinya.
SUMBER: SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment