Petugas di barisan hadapan terdiri dari doktor dan jururawat memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melakukan saringan COVID-19. - Foto fail NSTP
SEREMBAN: “Yang paling sedih apabila sampai ke rumah (pulang dari kerja), Affan, anak bongsu berumur lapan bulan merangkak ke arah saya, minta didukung. Begitu juga kalau isteri saya balik, Affan akan buat yang sama.
“Kami terpaksa ‘melarikan diri’ terlebih dahulu kerana perlu mandi dan memastikan semuanya selamat supaya tidak merisikokan anak-anak.
“Tapi selalunya kami balik (sampai rumah) mereka dah tidur pun... cuma kadang-kadang mereka sengaja tidur lewat semata-mata nak tunggu kami. Paling terasa bila anak yang sulung, Jannah, 8, dan kedua, Aiman, 6, merungut, Abi dengan Umi asyik balik lambat, asyik tak dapat jumpa,” demikian luahan Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Mohd Aizuddin Bahrun.
Mohd Aizuddin, 34, berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan bertugas di Unit Isolasi Jabatan Kecemasan Dan Trauma HTJS.
Beliau bertanggungjawab membantu pegawai perubatan membuat saringan dan mengambil sampel Individu Dalam Siasatan (PUI) COVID-19..
Isteri beliau, Dr Wan Jamilah Wan Ismail, 36, adalah Pegawai Perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dan bertugas sebagai first responder bagi rawatan awal pengurusan pesakit COVID-19 termasuk urusan perjalanan petugas kesihatan yang terbabit untuk mengambil pesakit.
Disebabkan tuntutan tugas, anak-anak mereka dijaga anak saudara Dr Wan Jamilah memandangkan sekolah dan taska ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac sehingga 14 April nanti.
Menurut Mohd Aizuddin, sepanjang ‘musim COVID-19’, anak-anak seakan terabai kerana beliau dan isteri, ada ketikanya perlu bekerja lebih masa.
Meskipun guru anak pasangan ini ada menyediakan kerja rumah dan latihan untuk dibuat sepanjang PKP, namun kerana kekangan masa dan keletihan, sukar untuk Mohd Aizuddin ‘mencuri masa’ untuk mengajar anak-anak mereka, mahupun melakukan aktiviti lain.
Masa untuk berbual-bual dengan isteri juga agak kurang kerana masing-masing sibuk dengan tugas.
Mohd Aizuddin bukanlah mahu merungut jauh sekali meraih simpati masyarakat. Namun itulah antara pengorbanan petugas barisan hadapan atau Frontliners seperti beliau dan isterinya dalam berjuang membantu masyarakat serta negara menangani krisis pandemik COVID-19.
Dalam media sosial juga ramai yang berkongsi gambar dan video doktor dan petugas kesihatan yang emosi, mental dan fizikal mereka turut terkesan.
Antaranya termasuklah video bertajuk ‘Doktor Menangis Terlalu Penat’yang tular di Facebook baru-baru ini.
Video berdurasi 4.35 saat itu antaranya menyebut apa yang paling ditakuti ialah pasukan frontliners mula berasa burn out, kepenatan, hilang semangat dan keletihan melampau.
Ini kerana ada antara mereka yang perlu bekerja sehingga 18 jam sehari, terpaksa tidur di tempat kerja dan ada pasangan yang menghantar bekalan makanan menangis kerana melihat keadaan pasangan mereka yang terlalu penat.
Video itu juga turut menyeru agar rakyat Malaysia menghargai pengorbanan frontliners dengan mematuhi arahan serta saranan pihak berkuasa untuk duduk di rumah selain berlaku jujur apabila menjalani saringan kesihatan agar tidak merisikokan petugas kesihatan.
Dalam video berasingan bertajuk ‘Nurse Menangis Tinggal Keluarga Bertugas Perangi COVID-19’ pula, kelihatan seorang wanita dengan pakaian jururawat menangis di luar rumah kerana tidak boleh mendekati ahli keluarganya.
Video yang berdurasi 1.40 saat itu menunjukkan jururawat berkenaan mengesat air mata apabila dinasihati ibunya agar berhati-hati semasa bertugas dan sentiasa berserah kepada Allah.
“Tiap kali keluar rumah cakap kerana Allah Taala kerana cari rezeki… Jangan nangislah nak,” pesan ibunya di dalam video itu.
Di saat kebanyakan kita boleh duduk di rumah, meluangkan masa bersama ahli keluarga, frontliners perlu meninggalkan insan tersayang demi melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
Mohd Aizuddin antara lain turut ditanya bagaimana beliau memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat selepas selesai bertugas dan pulang ke rumah?
“Apabila sampai di rumah, saya akan menanggalkan pakaian kerja terlebih dahulu di luar rumah sebelum terus masuk ke bilik air dan membersihkan diri. Saya akan letakkan pakaian kerja di tempat berasingan daripada pakaian kotor yang lain. Biasanya saya terus mencuci sendiri pakaian kerja saya. Saya juga mencuci tangan dengan kerap dan perkara itu saya memang ajar anak-anak saya.
“Memang kami risau, bimbang dan takut. Setiap hari kami berhadapan dengan mereka yang berisiko (positif COVID-19). Yang paling merisaukan, sekiranya kami membawa ‘pulang’ virus ini ke rumah dan menjangkiti anak-anak serta ahli keluarga yang lain.
“Namun demi tugas dan amanah, kami redha melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat dan negara. Selebihnya kami hanya berserah kepada Allah SWT,” katanya.
Mohd Aizuddin turut berharap agar rakyat di negara ini dapat bekerjasama dengan mereka yang berada di barisan hadapan.
“Kami bukanlah wira... ada ketikanya kami juga menangis apabila terpaksa meninggalkan orang tersayang. Patuhilah arahan dan saranan kerajaan untuk duduk di rumah, bantulah kami berjuang ‘menentang’ wabak ini.
“Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan mengambil langkah terbaik dalam mengekang penularan wabak, namun usaha ini akan jadi sia-sia tanpa kerjasama semua pihak. Bantulah kami untuk bantu anda semua. Stay at home. Duduklah di rumah. Kita sama-sama berdoa semoga pandemik COVID-19 ini segera berakhir,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Isolasi Jabatan Kecemasan Dan Trauma HTJS yang mahu dikenali sebagai Dr Zulaikha berkata, beliau meninggalkan bayi yang berusia lapan bulan dan masih menyusu badan dalam jagaan suami.
“Namun, jika suami juga perlu bekerja, anak terpaksa diletakkan di taska hospital.
“Mujurlah taska hospital dibuka 24 jam, lega sikit hati untuk menjalankan tugas. Kadang-kadang hantar malam esok paginya baru ambil (jemput anak),” katanya.
Dr Zulaikha berkata semasa bertugas, mereka diwajibkan memakai baju skrub (baju khas petugas kesihatan) dan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) apabila berjumpa PUI.
“Selain terus mandi dan menyalin pakaian baru apabila selesai bertugas, saya juga turut membersihkan barangan seperti tag nama dan telefon bimbit menggunakan tisu lembab pembasmi kuman .
“Sama-samalah kita menjaga kebersihan diri dan banyakkan berdoa agar negara kita cepat bebas daripada wabak ini. Tolonglah berlaku jujur kepada petugas kesihatan semasa pemeriksaan dijalankan agar tidak memberi masalah kepada mereka dan seterusnya kesan yang lebih besar kepada orang lain,” katanya. – BERNAMA