Pages

Jom Kita Berkawan

Wednesday 17 September 2014

Bersalin Dalam Air

Kaedah radikal kini popular

Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Proses kelahiran dalam air yang dilakukan di hospital swasta di Pulau Pinang pada 14 Februari 2008 itu bukan saja berjalan lancar berikutan ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang komplikasi, malah mencatat sejarah apabila Wang dipercayai wanita pertama melahirkan bayi de­ngan kaedah itu di negara ini.

Sejak itu, ramai wanita hamil di negara ini memilih kaedah berkenaan sebagai bagi mengurangkan kesakitan melahirkan anak, di samping menempuh sendiri pengalaman berbeza teknik kelahiran berbanding bersalin secara normal di atas katil atau pembedahan ‘Caesarean’.

Kaedah ini bermula pada 1960-an apabila penyelidik Russia, Igor Tjarkovsky, melakukan eksperimen kaitan air dengan kelahiran apabila melatih bayi yang baru saja dilahirkan berenang.
 

PENYELIA jururawat Siaw Seow Sin menunjukkan peralatan dan kolam air khas untuk wanita hamil bersalin dalam air di PHKL.
 
Beliau percaya air dapat mengurangkan kesan kelenyapan graviti pada sel otak bayi ketika dilahirkan dan dengan itu meningkatkan keupayaan psikik bayi berkenaan.

Eksperimennya itu diang­gap radikal terutama kaedahnya meletakkan bayi dalam air beberapa minit selepas dilahirkan. Namun, beliau terus melatih bayi dalam air dengan pengawasan ibu bapa bertujuan membantu bayi membina kesihatan, kekuatan, keseimba­ngan, keyakinan, fleksibiliti dan daya tahan.

Kemudian, pakar perbidanan Perancis, Frederick Leboyer, memperkenalkan kaedah meletakkan bayi yang baru saja dilahirkan dalam air suam kononnya untuk mengurangkan kesan trauma ke dunia luar.

Bagaimanapun, beliau tidak membidankan ibu bersalin dalam air atau menggunakan air untuk mengurangkan kesakitan ibu berkenaan.

Bersalin dalam air benar-benar direalisasikan oleh seorang lagi pakar perbidanan Perancis, Michel Odent, apabila beliau yang membuka Pusat Kelahiran Keluarga menyediakan bilik dengan persekitaran seperti di rumah termasuk kolam mandi khas untuk menenangkan ibu hamil dan mengurangkan kesakitan bersalin.

Beliau secara tidak sengaja menyambut kelahiran bayi dalam air apabila seorang wanita yang berendam dalam kolam khas selepas berjam-jam menanggung kesakitan enggan keluar walaupun tiba masa untuk bersalin.

Odent kemudian percaya kaedah itu dapat membantu ibu mengurangkan kesakitan bersalin terutama mereka yang mengalami masalah kontraksi berpanjangan.

Selepas menyambut 100 kelahiran dalam air, Odent menerbitkan kertas kerja kajian perubatan kaedah berkenaan yang tidak mendatangkan komplikasi kepada ibu dan bayi pada 1983.

Pada 1990-an, kaedah bersalin dalam air menjadi popular dan banyak kajian mengenainya dilakukan di Australia, Britain, Eropah dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) menjadi hospital pertama menawarkan kaedah bersalin dalam air di Lembah Klang.

Pihak hospital membuat penyelidikan dan membentuk kumpulan perubatan khusus serta menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk menyambut proses kelahiran dalam air termasuk menyediakan bilik bersalin bersama kolam khas.

Sehingga bulan lalu, seramai 151 bayi dilahirkan dalam air di PHKL sejak perkhidmatan bersalin dalam air diperkenalkan di hospital berkenaan pada 2009.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan PHKL, Dr Idora Mohamed berkata, penggunaan air suam dalam kolam untuk bersalin mampu memberi keselesaan, kelegaan dan mengurangkan kesakitan ketika bersalin, sekali gus mengurangkan pengambilan suntikan ubat penahan sakit epidural.

Air adalah penahan sakit yang berkesan dan di Britain, dilaporkan hanya 10 peratus wanita hamil yang bersalin dalam air mengambil suntikan epidural.

Malah, wanita yang memilih untuk bersalin dengan kaedah ini juga dikatakan tidak memerlukan episiotomi iaitu bahagian organ sulit yang perlu digunting bagi melancarkan kelahiran.

“Air secara semula jadinya menenangkan, memberi keselesaan, keapungan, memudahkan pergerakan, privasi dan kawalan. Oleh itu, bersalin dalam air mampu melancarkan kelahiran. Apabila terapung dalam air, wanita yang ingin melahirkan akan mudah bergerak dan menukar posisi mereka mengikut keselesaan.

“Bagi mengawal kesakitan, wanita hamil akan berendam dalam air separuh badan sehingga berasa selesa dan lega. Mereka boleh terus berendam dalam kolam sehingga tiba masa untuk bersalin tetapi ada juga yang hanya mahu berendam saja untuk mengurangkan kesakitan, sebaliknya bersalin atas katil.

“Biasanya, wanita hamil digalakkan masuk ke dalam kolam selepas me­ngalami kontraksi yang betul untuk bersalin dengan bukaan serviks empat hingga lima sentimeter. Kesakitan untuk bersalin yang berkurang dapat mengelakkan daripada mengambil suntikan epidural,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Idora, sebelum wanita hamil masuk ke dalam kolam, doktor akan memeriksa keadaannya serta denyutan jantung bayinya sama ada normal dan boleh meneruskan proses kelahiran dengan kaedah berkenaan.

“Ketika tiba masa bersalin, air akan diisi paras dada atau kurang sedikit pada paras perut wanita hamil. Selepas bersalin, bayi akan didakap ibunya sebentar sebelum kedua-duanya dibersihkan dengan bantuan jururawat.

“Walaupun kaedah bersalin dalam air tidak ada had umur, wanita yang memilih proses sebegini mesti mempunyai kesihatan yang baik dan tidak mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis supaya tidak membawa risiko pada ibu dan bayi,” katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment