Pages

Jom Kita Berkawan

Thursday, 12 May 2016

Jururawat Perlu Lengkapkan Diri Dengan Pengetahuan, Kemahiran - Dr Subramaniam


KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu jururawat melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta komitmen dalam menggalas skop tugas yang meluas dan kompleks ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jururawat merupakan kerjaya yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

"Namun, pada masa sama juga disarankan supaya jururawat dapat mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi bencana dan pengurusan pesakit di klinik.

"Mereka perlu melatih diri supaya kuat dari segi mental dan fizikal serta memperkasakan tahap ketahanan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam perutusan beliau bersempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2016, di sini hari ini.

Sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok bersempena Hari Jururawat Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 12 Mei.

Tema Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini adalah 'Nurse: A Force for Change: Improving Health System Resilience' (Jururawat: Kuasa untuk Perubahan: Menambah baik Ketahanan Sistem Kesihatan).

Dr Subramaniam berkata jururawat juga perlu bijak mendidik masyarakat melakukan perubahan ke arah gaya hidup lebih sihat demi kesejahteraan bersama.

Katanya golongan itu seharusnya menjadi medium mendidik masyarakat dalam aspek penjagaan kesihatan yang menyeluruh berikutan peningkatan situasi penyakit berjangkit yang serius ketika ini.

Mengimbas perkembangan sistem penjagaan kesihatan yang mula berkembang di negara ini pada 1951, beliau berkata evolusi perkhidmatan kejururawatan berkembang selaras kepesatan pembangunan negara.

"Jururawat merupakan barisan hadapan yang membuat saringan dan menjadi pasukan penyelamat ke tempat kejadian selain penggerak Perkhidmatan Penjagaan Asas di sektor kesihatan awam," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, 11 May 2016

Siti Najiha terima penghargaan

Sikap prihatin penuntut bidang jururawat membantu mangsa kemalangan perlu dicontohi

ABD. RAZAK OSMAN  |  09 Mei 2016 4:00 PM

 
M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah

M. RAVICHANDRAN menyampaikan surat penghargaan kepada Siti Najihah Hamid dalam satu majlis di Universiti Aimst di Bedong, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

SIKAP prihatin seorang penuntut Diploma Jururawat Universiti Aimst, Siti Najihah Hamid, 21, yang membantu seorang mangsa kemalangan telah mendapat penghargaan daripada Naib Canselor universiti itu, Prof. Dr. M. Ravichandran dalam satu majlis di Jalan Bedong, Merbok, Kedah, baru-baru ini.

Surat penghargaan itu diberikan kepada penuntut dari Ambangan Height, Sungai Petani ini setelah dia membantu seorang lelaki yang cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya berhampiran sebuah masjid tidak jauh dari universiti itu pada 30 Mac lalu.

Pelbagai pihak memuji tindakan yang diambil oleh Siti Najihah setelah ia diviralkan melalui laman sosial Facebook.

“Kebetulan saya sampai di tempat itu dan melihat sendiri seorang lelaki India cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan dengan sebuah lori.

“Pada mulanya, rasa takut juga dan memikirkan satu tanggungjawab untuk menolong orang susah, saya terus tampil membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat penghargaan itu.

Menurutnya, sebagai seorang penuntut dalam bidang jururawat, dia perlu melakukan pertolongan seumpama itu di peringkat awal lagi tanpa mengira kedudukan seseorang, termasuk kaum atau agama masing-masing.

“Kerjaya sebagai seorang jururawat akan terus dipandang mulia di mana-mana sahaja jika seseorang itu pandai menyesuaikan diri.

“Sebagai penuntut tahun akhir, saya perlu prihatin dengan setiap masalah yang dihadapi oleh pesakit dan tak sangka pula, pertolongan saya itu rupa-rupanya mendapat perhatian pihak pengurusan Universiti Aimst,” katanya lagi.

Ketika berucap dalam majlis itu, Ravichandran berkata, tindakan diambil oleh Siti Najihah perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar yang lain.

“Inilah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia, membantu mereka yang berada dalam pelbagai keadaan, termasuk kemalangan jalan raya.

“Hanya mereka yang prihatin sahaja mampu membuat kebajikan seumpama ini, sebaliknya mereka yang tidak ada sikap prihatin hanya bersikap lepas pandang begitu sahaja,” katanya.

Sumber--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, 13 April 2016

Perumahan Rakyat 1Malaysia

 


MENGENAI PR1MA

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.

Kediaman PR1MA yang terletak di dalam kawasan berkomuniti mempunyai pelbagai jenis dan saiz. Dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000, anda kini mampu memiliki kediaman di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh negara. Kediaman PR1MA ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000.
 

KELAYAKAN

Berikut merupakan kriteria asas untuk menjadi pemilik kediaman PR1MA.
1. Warga Negara Malaysia
2. Umur 21 tahun ke atas
3. Pendapatan isi rumah antara RM2,500 - RM10,000
4. Tidak memiliki lebih dari 1 hartanah

CARA MEMOHON


Untuk berpeluang menjadi pemilik kediaman PR1MA boleh ke laman web  www.pr1ma.my 
 
*** Seterusnya ikut arahan dalam seb tersebut.....
 
sekian untuk perkongsian kali ni..... harap dapat bantu kawan2 semua memiliki hartanah. 

Tuesday, 12 April 2016

Penggiat Penjagaan Kesihatan Mungkin Perlu Naikkan Gaji Pekerja


Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Penggiat industri penjagaan kesihatan tempatan mungkin perlu mengkaji kemungkinan menaikkan gaji pekerja masing-masing bagi mengelak kehilangan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata permintaan dunia ke atas modal insan berkualiti dalam industri penjagaan kesihatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, dengan gaji tinggi yang ditawarkan oleh hospital di luar negara, beliau berkata kebanyakan bakat tempatan kini memilih untuk berhijrah.

"Realitinya, kita memiliki sistem yang sangat baik, yang membolehkan kita melatih dan melahirkan profesional penjagaan kesihatan berkelas tinggi, bukan sahaja doktor malah jururawat dan anggota penjagaan kesihatan yang lain.

"Isunya ialah apabila ada tempat di pasaran global yang memerlukan keperluan yang sama (diukur secara objektif), pendapatan atau gaji akan menjadi faktor yang mewujudkan kekurangan tenaga manusia," katanya kepada Bernama.

Sebagai contoh, Ahmad Shahizam berkata jururawat baharu di hospital kerajaan atau swasta tempatan, pada puratanya memperoleh gaji sekitar RM3,000-RM4,000, manakala di negara asing, mereka boleh meraih pendapatan dua atau tiga kali lebih tinggi.

"Ada banyak penggiat industri antarabansga yang memang mencari golongan seperti ini di negara mereka, namun mereka tidak mempunyai sumber.

"Tahap pendapatan di luar negara lebih tinggi berbanding di Malaysia. Di negara Asia Barat, pendapatan mereka bebas cukai. Ini mewujudkan masalah kepada kami kerana kami sentiasa kehilangan pekerja yang berhijrah ke sana," katanya.

Turut berkongsi pandangan ialah Presiden Persatuan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja dalam industri kesihatan.

"Memang kami menghadapi masalah berkenaan tenaga kerja yag mahir bagi kategori jururawat, kerana mereka mendapat peluang yang lebih baik di negara Asia Barat, khususnya Arab Saudi dan Oman.

"Masalah yang sama turut dialami bagi kumpulan doktor pakar, khususnya di pantai timur, berikutan terdapat persepsi bahawa kawasan berkenaan kurang berpotensi," katanya.

Walaupun ditawarkan gaji yang lebih lumayan, Shukri berkata tanggungjawab yang dipikul lebih besar memandangkan kesedaran dan pengetahuan pesakit di sana lebih tinggi, di samping perbezaan budaya yang ketara.

Sambil mengakui bahawa agak mustahil untuk industri tempatan membayar gaji seperti di luar negara, Ahmad Shahizam berkata penggiat industri itu boleh mula mencerminkan hakikat bahawa industri penjagaan kesihatan sebenarnya merupakan satu perkhidmatan.

"Kita mesti terus mencerminkan kos semasa (industri) dalam harga pasaran global. Kita tidak dapat mencapai tahap yang sepadan serta-merta. Namun kita mesti memastikan standard yang tinggi setiap tahun. Kos penjagaan kesihatan secara kelak akan meningkat.

"Antara faktor utama yang menaikkan kos tidak melibatkan peralatan dan bangunan hospital. Ya, ia hanya sebahagiannya, malah kos terbesar mengurus hospital ialah kos pekerja," katanya.

Pada tahap gaji semasa, beliau berkata industri tempatan kehilangan pekerja memandangkan mereka mendapat peluang yang lebih baik di tempat lain.

Perbelanjaan industri penjagaan kesihatan tempatan berjumlah US$11.73 bilion (US$1=RM3.917) tahun lepas. Angka ini dijangkakan meningkat kepada US$20 bilion menjelang 2020, antara lain didorong oleh peningkatan penyakit koronik dan kos urbanisasi yang semakin tinggi.

Ahmad Shahizam turut menekankan mengenai kualiti pusat latihan yang melatih jururawat bertaraf antarabangsa.

"Malangnya, kita lihat banyak kolej ditubuhkan tanpa keupayaan sebenar dalam melatih jururawat.

"Tiba-tiba jumlah jururawat berkelayakan meningkat mendadak tetapi tidak mempunyai pekerjaan. Ini tidak baik untuk profesion kejururawatan secara umumnya memandangkan tugas jururawat bukalah mudah," katanya.

-- BERNAMA

JPA Edar Pekeliling Tambah Baik 252 Skim Perkhidmatan Awam 14 April Ini


GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Pekeliling mengenai penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia akan diedarkan pada 14 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu adalah bersifat menyeluruh yang diharap akan disambut baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

"Pekeliling mengenai penambahbaikan skim ini akan didedahkan kepada orang ramai dan dimuat naik ke laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada 14 April ini," katanya semasa menyampaikan syarahan Transformasi Perkhidmatan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan skim itu merupakan usaha baik kerajaan dalam meningkatkan mutu sektor awam yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Katanya, selepas pekeliling itu diumumkan, sesi penerangan mengenai penambahbaikan skim berkenaan akan dilakukan oleh pihak JPA.

Beliau berkata, dalam Malaysia menuju ke arah status menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, penjawat awam berhadapan dengan gelombang cabaran dan realiti baharu.

Mohamad Zabidi berkata peranan perkhidmatan awam dan sumbangan penjawat awam merupakan satu daripada penentu kejayaan agenda besar negara.

"Walaupun tuntutan global dan persekitaran pada masa dahulu dan kini mungkin telah berbeza, namun begitu, akar tanggungjawab perkhidmatan awam tetap tidak berganjak iaitu sebagai pemelihara kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata kerajaan kini bukan sekadar mentadbir untuk rakyat, tetapi juga mentadbir bersama-sama rakyat, membina rangkaian, memudah cara perkhidmatan dan memfokus kepada keberhasilan yang besar serta pantas.

"Era kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu, memasuki era yang meraikan pertembungan idea ini, memerlukan penjawat awam bergerak dalam trajektori yang tidak pernah dilalui oleh mereka sebelumnya," katanya.



-- BERNAMA

41,880 Permohonan Bagi 19,225 Unit Kediaman PPA1M

 
 
PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Sejumlah 41,880 permohonan diterima sehingga kini bagi 19,225 unit kediaman Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang ditawarkan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Terdapat permintaan yang tinggi terhadap unit-unit kediaman PPA1M," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual dan Beli PPA1M Putrajaya Fasa Satu di sini hari ini.

Idea PPA1M Putrajaya dicetuskan oleh Ali pada 2013 dalam memenuhi hasrat penjawat awam membeli rumah yang mampu dimiliki di Putrajaya.

Ali berkata Unit PPA1M dan Perbadanan Putrajaya diharap dapat terus mengorak langkah dalam usaha membangunkan PPA1M bagi memastikan ia siap dalam jangka masa yang disasarkan kerajaan.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat pembangunan PPA1M di Putrajaya siap mengikut jadual, dan beliau sendiri sering memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai status pembangunan PPA1M di Putrajaya dari semasa ke semasa.

Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan dikeluarkan sempena majlis hari ini, menyatakan sebanyak 7,872 pembeli PPA1M Putrajaya Fasa Satu menandatangani perjanjian jual dan beli secara berperingkat bermula pada majlis hari ini sehinggalah proses berkenaan selesai sepenuhnya, akhir bulan ini.

PPA1M Putrajaya Fasa Satu dijangka siap sepenuhnya pada 2017 dan kesemua 7,872 penjawat awam bakal mendiami rumah yang dibeli dengan harga kawalan kerajaan antara RM150,000 dan RM300,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi, kata kenyataan itu.

"Siri cabutan seterusnya bagi PPA1M dijangka diadakan pada Jun 2016 melibatkan pemohon yang belum berjaya sebelum ini," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

Monday, 11 April 2016

Jaminan Kenaikan Satu Tangga Gaji Julai Ini Suntik Semangat Penjawat Awam - Cuepacs


KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini akan memberi motivasi kepada 1.6 juta penjawat awam untuk meningkatkan sistem penyampaian, kata Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Lok Yim Pheng.

Beliau berkata ia juga dapat membantu penjawat awam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Cuepacs pada mulanya bimbang sama ada berlaku kenaikan gaji atau tidak. Dengan janji kerajaan meneruskan kenaikan satu tangga gaji, kami merasa lega dan berterima kasih.

"Kelegaan ini lebih-lebih lagi dirasai kumpulan gred rendah termasuk mereka yang mempunyai kelulusan PMR dan SPM," katanya.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali memberi jaminan kerajaan akan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji pada 1 Julai ini meskipun keadaan ekonomi sukar.

Katanya kerajaan juga berjanji meneruskan penambahbaikan kepada 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406,000 penjawat awam.

Yok berkata keputusan menaikkan satu tangga gaji itu juga adalah hasil kerjasama dan perbincangan antara Cuepacs dan kerajaan.

"Meskipun ada lagi tuntutan lain daripada Cuepacs seperti kadar elaun, ia perlu diputuskan secara berperingkat supaya tidak membebankan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA