Pages

Jom Kita Berkawan

Monday, 10 February 2014

Penyakit Sifilis

Sifilis: Peniru yang hebat!

SIFILIS merupakan sejenis penyakit jangkitan kelamin - sexually transmitted infections (STI) yang disebarkan, terutama melalui hubungan seks, berpunca daripada sejenis bakteria spirocete iaitu Treponema Pallidum.

Sifilis juga terkenal dengan gelaran ‘Peniru Yang Hebat’ (Great Imitator) kerana mempunyai simptom yang pelbagai menyerupai penyakit-penyakit kulit lain.

Antara penyakit-penyakit STI biasa yang lain seperti gonorrhea, chlamydia, genital herpes, genital wart, hepatitis B dan HIV.

Peringkat pertama (primary syphilis) penyakit ini berlaku pada hari ke-9 hingga 90 selepas jangkitan, iaitu akan timbul satu lepuh (ulser) kemerahan yang biasanya tidak sakit, tidak gatal pada zakar, vagina, dubur atau mulut.

Ulser ini dipanggil primary chancre dan akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam minggu walaupun tanpa rawatan, tetapi kebiasaannya pesakit tidak perasan kehadiran chancre kerana tidak berasa sakit walaupun pada masa sama kelenjar limfa mungkin membengkak.

Manakala, pada peringkat kedua pula, (secondary syphilis) ia berlaku pada minggu keenam hingga enam bulan selepas jangkitan.

Ketika ini, ruam akan timbul pada bahagian badan termasuk tapak tangan dan kaki, malah ulser juga boleh timbul pada bibir, mulut, kerongkong, vagina serta dubur selain turut mendapat gejala seperti selesema, demam dan sakit badan yang mungkin berlaku.


Remaja lebih terdedah

Sekiranya pesakit masih tidak melakukan rawatan, penyakit ini akan melarat hingga ke peringkat paling serius (tertiary syphilis).

Pada peringkat ini, kuman sifilis telah merebak ke seluruh badan dan pada masa sama akan menyerang otak, jantung, saraf tunjang dan tulang.

Kesan sampingan lain juga berlaku antaranya sukar berjalan atau lumpuh, kebas, buta secara beransur, sawan, nyanyuk dan boleh menyebabkan kematian dengan kadar mortaliti sebanyak lapan hingga 58 peratus.

Kebiasaannya penyakit ini berlaku kepada golongan remaja dan belia iaitu antara umur 15 hingga 40 tahun kerana mereka lebih terdedah kepada seks bebas, bertukar-tukar pasangan serta tidak mengamalkan seks secara selamat.

Dalam soal ini, nisbah golongan lelaki dua hingga enam kali lebih ramai dijangkiti berbanding perempuan kerana ada di antaranya melakukan seks sesama lelaki (homoseksual) yang mendorong kepada risiko tinggi dijangkiti sifilis.


Saringan awal

Dalam usaha rawatan, tidak dinafikan sifilis adalah penyakit yang boleh diubati dengan mengambil antibiotik yang paling berkesan iaitu suntikan penisilin kepada pesakit sifilis yang didiagnosis.

Namun terdapat beberapa jenis antibiotik oral alternatif bagi pesakit yang mempunyai sejarah alergi terhadap penisilin atau pesakit yang tidak mahu menerima suntikan.

Bagaimanapun, sebagai langkah pencegahan, cara paling baik adalah dengan mengelakkan diri daripada hubungan seks, tetapi sekiranya masih aktif melakukan seks, amalkan hubungan seks yang selamat, setia pada seorang pasangan yang tidak dijangkiti, menggunakan kondom setiap kali melakukan seks serta elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah.

Sehubungan dengan itu, saringan awal perlu dilakukan terhadap beberapa golongan berisiko untuk mengesan sifilis. Antaranya, ibu mengandung pada lawatan kali pertama dan minggu ke-28 kehamilan, homoseksual, penghidap HIV, kes konteks (pasangan pesakit), bayi dilahirkan ibu yang dijangkiti sifilis serta golongan yang berisiko tinggi lain seperti pekerja seks dan penagih dadah. Kaunseling dan pendidikan juga sangat penting bagi mendedahkan kepada segenap lapisan masyarakat berhubung penyakit sifilis.


PENGAKUAN

Jangkit daripada suami


Pertama kali mendapati alat kelamin menjadi semakin serius dengan kesan luka (lepuh) dan kemerahan serta bernanah, saya mula mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada diri saya.

Ketika itu suami mula menjauhkan diri daripada saya walaupun dia seorang yang aktif seks sehingga kerap kali kami ‘bersama’ ketika saya datang bulan.

Pada mulanya saya berasa amat malu untuk berjumpa doktor, tetapi apabila luka yang disertakan nanah semakin teruk pada kemaluan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor dan mengesahkan saya mengidap sifilis.

Ketika doktor menjelaskan punca-punca penyakit ini dan mendapatkan maklumat melalui internet, saya mula bertanyakan kepada diri, adakah semua itu melibatkan suami yang sering bertukar pasangan.

Saya memberanikan diri bertanyakan kepada suami dan jawapan yang saya terima cukup menyedihkan apabila suami sendiri membuat pengakuan bahawa dia memang curang di belakang saya dan disebabkan sikapnya yang suka bertukar pasangan serta bersama saya ketika dalam keadaan ‘kotor’, penyakit ini terkena pada saya.

Mujurlah, saya cepat melakukan pemeriksaan dan kini saya bebas daripada segala-galanya termasuk suami yang menceraikan saya kerana saya tidak sanggup lagi hidup bersamanya ekoran kecurangan itu.

Di sini, saya ingin menasihati wanita di luar sana, supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup, carilah yang boleh dipercayai serta setia. - Nani, 31.



Bersama pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, Dr Puteri Wan Seribani Mat Daud.

SUMBER: SINAR HARIAN

Sunday, 2 February 2014

Pemain bola ke jururawat

ARKIB : 02/06/2013

 HAFIZ dibantu seorang lagi jururawat merawat seorang pesakit yang menjalani hemodialisis.
MELIHAT layanan mesra yang diberikan Mohamad Hafiz Mustafaa, 27, kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Wad Hemodialisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) pasti membuatkan pesakit lebih tenang.

Wajah Hafiz yang sudah menjadi jururawat selama enam tahun di sana sentiasa tidak lekang dengan senyuman serta sentiasa menyapa pesakit dengan ramahnya.

Malah, tidak kurang juga ada pesakit yang begitu menyukai layanan baik yang diberikan jururawat lelaki ini sehingga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

Malah ada juga yang mahu menjodohkan Hafiz dengan anak mereka!

Di sebalik sifatnya yang mesra dengan pesakit, Hafiz tidak memulakan kariernya sebagai seorang jururawat atas cita-cita dari zaman sekolah.

Tidak pernah terfikir di benaknya untuk bergelar jururawat yang semestinya lebih sinonim sebagai pekerjaan wanita.

Hafiz pada asalnya adalah seorang pemain bola sepak, malah kehebatannya beraksi di padang membuatkan dia terpilih menyertai Pasukan Belia Bola Sepak Perak selepas menghabiskan persekolahannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Ketika itu, dia sudah merangka perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan agak cerah di Malaysia dan ia kerjaya yang paling diidamkan Hafiz kerana dapat membina hidup atas hobi iaitu bermain bola sepak.

Namun, langit tidak sentiasa cerah. Baru saja rancak di dalam pasukannya, Hafiz mengalami kecederaan pada buku lali membuatkan dia tidak lagi boleh terlalu aktif, apa lagi bermain bola sepak.
Ketika itu, lelaki berasal dari Ipoh, Perak ini berasa amat sedih umpama dunianya telah berakhir.

Hafiz yang amat mementingkan masa depan yang elok terus merancang untuk mengatur kembali perjalanan hidupnya dan akhirnya memilih untuk menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Pantai atas nasihat pakciknya.

“Pada mulanya, ibu (Sara Bee Abdul Rahman) agak terkejut dengan keputusan saya kerana kejururawatan dan bola sepak merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

“Tetapi dia dapat menerimanya malah bersifat terbuka atas pilihan saya," ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Jururawat PHKL, baru-baru ini.

Lagipun, tambah Hafiz, dia sudah biasa menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal di hospital atau di rumah sewaktu ibunya terlantar sakit akibat masalah rahim.

Pengalaman menyertai pertubuhan amal ke beberapa buah rumah anak yatim ketika zaman persekolahan turut membuka hatinya untuk menyertai bidang kejururawatan.

Baran

Setelah tiga tahun berada di dalam kolej kejururawatan, Hafiz terus diserap menyertai tenaga kerja PHKL di Wad Hemodialisis.

Ceritanya, dia merasakan agak janggal sewaktu berada di dalam kolej kerana majoriti pelajar merupakan wanita.

Tetapi dia tidak lagi berasa keseorangan apabila mula bekerja kerana semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan dan ia bukan lagi perkara yang pelik berbanding dulu.

Mengakui ketika di zaman bermain bola sepak ada tersimpan sedikit sifat baran, ujar Hafiz, sifat buruk tersebut kini hilang sebaik saja mengenali dunia kejururawatan.

“Masa bersukan dulu biasalah ada sifat baran ditambah dengan usia muda.

“Namun, sifat negatif itu tidak ada apabila sudah mula melibatkan diri dengan dunia kejururawatan.

“Malah, saya amat berpuas hati apabila melihat mereka (pesakit) semakin sihat," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Di tempat kerjanya, mereka mengadakan sistem anak angkat dan ia amat menyeronokkan memandangkan Hafiz berada jauh dari ibunya.

Sedih

Ceritanya, pernah sekali dia menitiskan air mata kerana seorang pesakit meninggal dunia.

“Saya mendapat tahu daripada anak pesakit tersebut, sebelum dia (pesakit) menghembuskan nafas terakhir, dia menyebut nama-nama jururawat yang baik dengannya, bukan nama anak-anaknya.

“Antara nama yang disebut ialah nama saya membuatkan saya berasa amat hiba.

“Pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis sememangnya akan menghabiskan hampir setiap hari di wad membuatkan kami seperti sebuah keluarga," ujarnya.

Di sebalik kesedihan, Hafiz turut gembira terutama bila ada pesakit akhirnya dapat bantuan pemindahan buah pinggang membuatkan mereka tidak perlu lagi menjalani rawatan hemodialisis.

Walaupun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, pesakit tersebut sering datang menjenguk mereka dan keluar makan bersama-sama.

“Kepuasan utama jururawat seperti kami apabila dapat melihat mereka semakin pulih," ujar Hafiz.

 Gambar Hiasan

SUMBER: Utusan Malaysia

Thursday, 2 January 2014

Si jururawat berjiwa murni


Anda mungkin mempunyai pengalaman berkunjung ke hospital sama ada untuk melawat atau mahupun menerima rawatan kesihatan. Selama berada di sana, pandangan mata pasti tidak terlepas daripada melihat insan beruniform bertugas untuk membantu pesakit dalam tempoh rawatan.

Sekiranya tiada jururawat pasti doktor pening kepala kerana tidak cukup kaki dan tangan menguruskan pesakit yang pelbagai ragam dan ramai pada satu-satu masa. Kehadiran jururawat banyak membantu urusan hospital terutama menjaga pesakit dan membantu doktor ketika pembedahan berjalan lancar.

Berkesempatan menghadiri sambutan Hari Jururawat di KPJ Selangor baru-baru ini memberi kesempatan kepada penulis menemui Ketua Pegawai Jururawatnya, Nor 'Aini Shaarani untuk berkongsi pengalamannya berkecimpung dalam dunia jururawat selama 31 tahun.

Nor Aini berkata, minat menjadi jururawat bermula apabila dia dan adik-beradiknya yang ketika itu masih kecil kehilangan kedua ibu bapa akibat serangan penyakit. Bapa Nor Aini meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun disebabkan serangan jantung. Manakala ibunya pula meninggal dunia dua tahun kemudian kerana kanser rahim.

“Disebabkan kami ditinggalkan pada usia masih mentah, saya memasang azam untuk menjadi jururawat agar boleh merawat orang sakit supaya tiada lagi orang yang meninggal kerana sakitnya tidak dapat diubati.

“Saya mahu melihat orang yang saya rawat akan berasa gembira dan balik dengan keadaan sihat,” katanya kepada penulis pada majlis berkenaan.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, menjadi seorang jururawat perlu miliki hati yang mulia bila berhadapan dengan pesakit dan perlu 'menganggap pesakit seperti ahli keluarga agar segala tugas dijalankan sentiasa baik.

“Apabila perkhidmatan yang dilakukan ke atas pesakit dengan ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab, pesakit akan menghargai khidmat diberikan dan menyenangi jururawat tersebut.

“Ada ketikanya, keadaan pesakit tidak stabil dan mudah naik angin jika berlaku kesilapan jururawat ketika merawatnya. Justeru fahami dahulu kondisi pesakit sebelum menegurnya,” katanya yang berasal dari Perak.


Halwa telinga

Nor 'Aini berkata, setiap jururawat perlu pandai mengambil hati pesakit dan berikan penerangan mengenai apa hendak dilakukan ke atas diri pesakit. Daripada penerangan itu dapat memuaskan hati pesakit dan mengurangkan tekanan dihadapi. Pengalaman berhadapan dengan pesakit selama 31 tahun membuatkan Nor Aini bijak berkomunikasi dengan pesakit.

“Komunikasi yang baik kadang-kadang dapat meredakan kesakitan pesakit dan memberikan keceriaan kepada mereka terutama ketika dalam keadaan murung dan berhadapan dengan masalah peribadi.

“Tambahan di hospital pesakit akan sendirian tanpa keluarga dan teman untuk berbual. Justeru peranan jururawat yang menjaga di bilik wad berkenaan amat penting sebagai peneman dan ambil berat kesakitan dialami,” katanya.

Kata Nor 'Aini, mendengar jerit pekik pesakit pada seorang jururawat seakan halwa telinga sahaja. Ia situasi normal yang memerlukan kesabaran jururawat untuk menghadapinya.

“Setiap pekerjaan pasti ada tekanan. Begitu juga dengan bidang jururawat menghadapi pesakit yang pelbagai karenah. Justeru kesabaran dalam menjalankan tanggungjawab tersebut amat penting.

“Tetapi dalam kelembutan jururawat memberi rawatan, ada ketikanya perlu juga tegas agar tidak dipermainkan pesakit yang ada kalanya hanya mahu mengambil kesempatan,” katanya.


Pemberi semangat

Ibu kepada seorang anak ini berkata, ketabahan dalam mengharungi dunia kejururawatan ini didorong keluarganya terutama suami dan anak yang tidak banyak merungut dengan minatnya selama ini.

“Sejak berkhidmat dalam jururawat ini ada ketikanya tidak menentu waktu kerja dan urusan rumah tangga agak terabai. Tetapi suami faham dengan kerjaya saya dan sentiasa beri motivasi tatkala luntur semangat saya.

“Anak saya juga tidak kurang penting dalam memberi keceriaan serta motivasi kepada saya untuk terus mencari rezeki dan membantu masyarakat untuk hidup sihat,” katanya yang menghargai kerjasama pihak atasannya.

Ditanya harapannya kepada bakal jururawat dan yang berkhidmat agar pupuk diri mencintai bidang yang diceburi agar ikhlas melakukan segala kerja tanpa tekanan besar bakal dihadapi.

“Dunia yang kini semakin mencabar dan teknologi terkini, jururawat perlu menambah ilmu di dada dengan mencari pengetahuan baru terutama dalam dunia perubatan.

“Pastikan juga diri memiliki sikap yang baik kepada pesakit, kawan dan persekitaran serta bersedia memberi perkhidmatan sehingga 24 jam pada satu-satu masa,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian

Jururawat lelaki kerjaya maskulin

ARKIB : 28/12/2013



LELAKI dalam dunia kejururawatan? Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa si jejaka masa kini memilih kerjaya kejururawatan yang dikuasai kaum hawa.

Seperti diketahui ramai, profesion kejururawatan masa kini tidak lagi dibezakan mengikut jantina.
Stereotaip bidang kerjaya jururawat yang hanya menjadi pilihan si feminin tidak lagi benar kerana si maskulin juga tidak ketinggalan memilihnya.

Maklumlah keadaan dalam dunia pencarian kerja yang tidak menentu menjadikan pasaran kerja sesetengah sektor semakin kritikal.

Itulah profesion kejururawatan yang bakal memberikan ganjaran, namun cabarannya membuatkan si jejaka terus melihat bidang tersebut sebagai kerjaya yang menarik
untuk diceburi.
- SYAHRIL/DJOHAN SHAHRIN SHAH

sumber: utusan.com.my

Sunday, 13 October 2013

Pesakit cabul jururawat

SEGAMAT - Seorang jururawat di sebuah klinik swasta di sini, mendakwa dia dicabul seorang pesakit yang mahu mendapatkan rawatan, petang kelmarin.

Mangsa, Nora (bukan nama sebenar), 29, berkata, ketika kejadian, pesakit lelaki berumur 40-an itu mahu mendapatkan rawatan lanjut kerana sakit di bahagian telapak tangan kanannya.

Menurutnya, lelaki tersebut kemudian dibawa berjumpa pegawai perubatan dan kelihatan tangannya seperti membengkak.

“Kebetulan, saya yang masuk ke bilik rawatan lalu di sebelahnya dan tiba-tiba terasa objek keras seperti tangan di punggung saya.

“Saya sangka seluar yang saya pakai tersangkut pada bucu meja sebelum tersedar lelaki itu meraba punggung saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menyedari kejadian tersebut, dia segera menepis tangan lelaki berkenaan dan memarahinya disebabkan malu dengan insiden kurang sopan itu.

Doktor juga bertindak memarahi lelaki itu kerana melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap kakitangannya.

Menurutnya, atas nasihat majikan dan rakan sekerjanya, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat selepas kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak kami sedang giat mengesan lelaki tersebut untuk membantu siasatan dan saya nasihatkan kepada setiap klinik swasta supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN

Wednesday, 2 October 2013

Wani pilih jururawat

ARKIB : 18/09/2013

Noor Zawani Che Shop atau lebih mesra disapa wani. 
 
KERJAYANYA tidak sekadar menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi tetapi perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit.

Kesabaran yang ada kadangkala diuji tetapi memikirkan semula kerjaya yang disandangnya kini adalah pilihannya sendiri, maka anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang, ini terus menanam niat untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Kini setelah lima bulan menjalani kehidupan sebagai seorang jururawat di Wad Bersalin sebuah hospital swasta di ibu negara, Noor Zawani Che Shopi teruja dan gembira kerana dia sememangnya gemarkan kanak-kanak.

Mengakui pada awal pengajian dia sememangnya takut kepada darah, tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa' kini Noor Zawani atau lebih mesra disapa Wani sudah lali dengan situasi tersebut.

Baru mencecah usia 22 tahun, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan kerjaya pilihan malah mampu membuatkan dirinya insaf apabila melihat ibu-ibu bertarung nyawa melahirkan anak.

Begitu tersentuh dengan pengorbanan seorang ibu serta 'penderitaan' yang ditanggung seorang wanita hamil, Wani memberitahu bahawa pengalaman yang paling bermakna sepanjang lima bulan kerjayanya bermula, apabila dia berpeluang menyambut kelahiran seorang bayi bersama seorang jururawat kanan.

Menceritakan detik tersebut, Wani berkata, ketika itu doktor dalam perjalanan untuk melihat keadaan ibu tersebut tetapi kuasa tuhan, ibu tersebut telah melahirkan anaknya tanpa sempat doktor sampai. dia yang bertugas ketika itu bersama seorang jururawat kanan telah menyambut bayi tersebut.

"Alhamdulillah, kenangan tersebut tidak mungkin akan luput dari ingatan kerana itulah kali pertama saya menghadapi situasi seperti itu (menyambut kelahiran bayi tanpa doktor) walaupun pada hakikatnya gemuruh dalam dada tuhan sahaja yang tahu.

"Ini kerana sebelum ini saya hanya membantu doktor yang menyambut kelahiran bayi dan tidak pernah pula menyambut bayi yang baru lahir.

"Bagaimanapun ia satu memori sungguh indah untuk diingati selama-lamanya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Atas alasan tersebut juga, gadis yang memiliki ketinggian 151 sentimeter ini berazam untuk lebih berdedikasi dalam kerjayanya hari ini.

Begitupun, dia yang masih bujang mengakui sedikit fobia melihat ibu-ibu bersalin dan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengembalikan semangat apabila tiba harinya kelak.

Yang pasti, setiap kali selesai menjalankan tugas (menyambut kelahiran bayi), dia pasti menghubungi ibunya untuk berbual dan secara tidak langsung melepaskan sayu di hati.

Wani yang juga bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, bagaimanapun terpaksa menangguhkan dahulu keinginannya kerana syarat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah memerlukan seorang jururawat itu memiliki pengalaman sekurang-kurangnya setahun.

Untuk itu, Wani berazam untuk mencari pengalaman sejauh mungkin dan pasti akan mengotakan janji kepada dirinya satu hari nanti.

Juga amat berterima kasih kepada keluarga yang cukup menyokong dan menjadi pendorong utama dalam menentukan masa depannya, Wani memberitahu bahawa dia tidak akan menghampakan harapan mereka untuk melihat kejayaan dirinya.

Kegigihan serta kesanggupannya untuk menjadi seorang jururawat seharusnya diberi pujian kerana hari ini generasi muda kurang berminat menceburi bidang tersebut dan menjadikannya sebagai pilihan terakhir.

Namun jelasnya, kerjaya tersebut telah berjaya merubah dirinya menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab dan menghargai pengorbanan seorang ibu.

Perkembangan fesyen

Selain bercerita tentang kerjaya, seperti remaja lain, Wani juga gemar mengikuti perkembangan fesyen.

Seorang individu yang gemar mengumpul beg tangan, kasut, dan aksesori, dia turut memasang keinginan untuk bergelar seorang pelakon satu hari nanti.

Gadis yang murah dengan senyuman ini sememangnya kini bergelar model sambilan dan kerjaya tersebut telah bermula sejak berada dalam semester dua pengajian kejururawatannya.

Turut mengakui suka mengambil gambar sendiri, Wani juga pernah menyertai peraduan Gadis iPad melalui laman sosial Facebook pada tahun 2011.

Bermula daripada situ dia mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan, malah pernah berlakon sebagai pelakon tambahan dalam drama bersiri Si Capik dan Cahaya Cinta.

Yang pasti, anak sulung daripada dua beradik ini pandai membahagikan masa agar ia tidak bertembung dengan tugasnya.

"Saya hanya menerima tawaran untuk memperagakan fesyen hanya pada hari minggu kerana pada hari itu saya tidak bekerja.

"Seboleh-bolehnya saya tidak akan mencampur-aduk kerjaya peragaan dengan kerjaya tetap dan disebabkan itulah saya hanya menerima tawaran peragaan pada hari minggu.

"Saya sayangkan kedua-dua kerjaya ini dan kalau boleh biarlah ia seiring," katanya lagi.

Berbicara pula mengenai rutin hariannya dalam penjagaan kulit wajah, Wani menjelaskan dia tidak pernah berpeluang untuk ke salon atau spa bagi memanjakan diri.

Ini kerana jadual kerjanya yang tidak menentu, membuatkan dia hanya berpeluang mengamalkan penggunaan bahan-bahan asas dalam penjagaan kulit.

"Setakat ini saya amat bersyukur kerana kulit wajah tidak mempunyai masalah serius.

"Jadi buat masa sekarang saya memang tidak mengamalkan apa-apa petua dalam penjagaan kecantikan malah menggunakan bahan-bahan asas seperti orang lain," tuturnya menutup bicara.

sumber: utusan.com.my

Sunday, 9 June 2013

Pemain bola ke jururawat


Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto WAHIDIN SALIM

HAFIZ dibantu seorang lagi jururawat merawat seorang pesakit yang menjalani hemodialisis.

MELIHAT layanan mesra yang diberikan Mohamad Hafiz Mustafaa, 27, kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Wad Hemodialisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) pasti membuatkan pesakit lebih tenang.

Wajah Hafiz yang sudah menjadi jururawat selama enam tahun di sana sentiasa tidak lekang dengan senyuman serta sentiasa menyapa pesakit dengan ramahnya.

Malah, tidak kurang juga ada pesakit yang begitu menyukai layanan baik yang diberikan jururawat lelaki ini sehingga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

Malah ada juga yang mahu menjodohkan Hafiz dengan anak mereka!

Di sebalik sifatnya yang mesra dengan pesakit, Hafiz tidak memulakan kariernya sebagai seorang jururawat atas cita-cita dari zaman sekolah.

Tidak pernah terfikir di benaknya untuk bergelar jururawat yang semestinya lebih sinonim sebagai pekerjaan wanita.

Hafiz pada asalnya adalah seorang pemain bola sepak, malah kehebatannya beraksi di padang membuatkan dia terpilih menyertai Pasukan Belia Bola Sepak Perak selepas menghabiskan persekolahannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Ketika itu, dia sudah merangka perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan agak cerah di Malaysia dan ia kerjaya yang paling diidamkan Hafiz kerana dapat membina hidup atas hobi iaitu bermain bola sepak.

Namun, langit tidak sentiasa cerah. Baru saja rancak di dalam pasukannya, Hafiz mengalami kecederaan pada buku lali membuatkan dia tidak lagi boleh terlalu aktif, apa lagi bermain bola sepak.

Ketika itu, lelaki berasal dari Ipoh, Perak ini berasa amat sedih umpama dunianya telah berakhir.

Hafiz yang amat mementingkan masa depan yang elok terus merancang untuk mengatur kembali perjalanan hidupnya dan akhirnya memilih untuk menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Pantai atas nasihat pakciknya.

“Pada mulanya, ibu (Sara Bee Abdul Rahman) agak terkejut dengan keputusan saya kerana kejururawatan dan bola sepak merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

“Tetapi dia dapat menerimanya malah bersifat terbuka atas pilihan saya," ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Jururawat PHKL, baru-baru ini.

Lagipun, tambah Hafiz, dia sudah biasa menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal di hospital atau di rumah sewaktu ibunya terlantar sakit akibat masalah rahim.

Pengalaman menyertai pertubuhan amal ke beberapa buah rumah anak yatim ketika zaman persekolahan turut membuka hatinya untuk menyertai bidang kejururawatan.

Baran

Setelah tiga tahun berada di dalam kolej kejururawatan, Hafiz terus diserap menyertai tenaga kerja PHKL di Wad Hemodialisis.

Ceritanya, dia merasakan agak janggal sewaktu berada di dalam kolej kerana majoriti pelajar merupakan wanita.

Tetapi dia tidak lagi berasa keseorangan apabila mula bekerja kerana semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan dan ia bukan lagi perkara yang pelik berbanding dulu.

Mengakui ketika di zaman bermain bola sepak ada tersimpan sedikit sifat baran, ujar Hafiz, sifat buruk tersebut kini hilang sebaik saja mengenali dunia kejururawatan.

“Masa bersukan dulu biasalah ada sifat baran ditambah dengan usia muda.

“Namun, sifat negatif itu tidak ada apabila sudah mula melibatkan diri dengan dunia kejururawatan.

“Malah, saya amat berpuas hati apabila melihat mereka (pesakit) semakin sihat," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Di tempat kerjanya, mereka mengadakan sistem anak angkat dan ia amat menyeronokkan memandangkan Hafiz berada jauh dari ibunya.

Sedih

Ceritanya, pernah sekali dia menitiskan air mata kerana seorang pesakit meninggal dunia.

“Saya mendapat tahu daripada anak pesakit tersebut, sebelum dia (pesakit) menghembuskan nafas terakhir, dia menyebut nama-nama jururawat yang baik dengannya, bukan nama anak-anaknya.

“Antara nama yang disebut ialah nama saya membuatkan saya berasa amat hiba.

“Pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis sememangnya akan menghabiskan hampir setiap hari di wad membuatkan kami seperti sebuah keluarga," ujarnya.

Di sebalik kesedihan, Hafiz turut gembira terutama bila ada pesakit akhirnya dapat bantuan pemindahan buah pinggang membuatkan mereka tidak perlu lagi menjalani rawatan hemodialisis.

Walaupun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, pesakit tersebut sering datang menjenguk mereka dan keluar makan bersama-sama.

“Kepuasan utama jururawat seperti kami apabila dapat melihat mereka semakin pulih," ujar Hafiz.

- UTUSAN MALAYSIA