BOTA – Gelagat seorang konstabel yang ‘takut’ disuntik bagi menderma 
darah buat kali pertama menggelikan hati sebahagian pesakit, jururawat 
dan anggota polis lain di Hospital Changkat Melintang di sini semalam.
Hasmi Abdul Razak, 23, yang bertugas di Cawangan Am, Balai Polis Seri
 Iskandar di sini kelihatan cemas dan pucat sambil mencengkam gigi serta
 menutup muka dengan tangan ketika jururawat mencucuk jarum di tangan 
kirinya bagi mengambil darah.
“Saya memang takut lihat saiz jarum yang agak besar itu dan minta agar dipercepatkan proses pengambilan darah dari badan saya.
“Pada 2004 ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis di 
Kuching, Sarawak, saya pernah disenaraikan untuk menderma darah, tetapi 
bertindak melarikan diri semata-mata mahu mengelak daripada dicucuk 
jarum suntikan,” katanya dengan reaksi muka yang cemas.
 



 
