KUALA LIPIS - Sepasang suami isteri mendakwa seorang kakitangan Hospital Lipis melakukan kecuaian terhadap anak mereka yang ketika itu menerima rawatan pembedahan apendiks 26 Mac lalu.

Hafizzikry Muhamad Ariza, 8, telah menjalani pembedahan apendiks di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 16 April lalu dan telah dibenarkan pulang pada 20 April.

Menurut bapa kanak-kanak itu, Muhamad Ariza Talib, 42, dia telah membawa anaknya ke Hospital Lipis bagi rawatan susulan untuk buka jahitan.

"Ketika membuka jahitan, saya melihat jururawat terbabit melakukan rawatan dengan cara agak kasar sehingga menyebabkan Hafizzikry mengadu kesakitan.

"Saya kemudiannya menegur tindakan jururawat berkenaan memintanya melakukan dengan secara berhalus," katanya di Kampung Sungai Damar, Mukin Gua di sini, semalam.

Setelah ditegur, jururawat terbabit kemudiannya bertindak memanggil seorang lagi petugas bagi menyambung rawatan tersebut dan dia terus menyambung tugasan dengan memeriksa pesakit lain.

Katanya, selepas rawatan terbabit siap Hafizzikry yang juga anak kelima dari enam beradik itu dibenarkan pulang ke rumah.

“Namun pada keesokan harinya (27 Mac) anak saya mengadu sakit dan didapati bahagian jahitan pembedahan di perutnya terbuka sehingga darah mengalir keluar.

“Saya kemudiannya bertindak menghantar Hafizzikry ke Hospital Lipis untuk rawatan,” katanya.

Muhamad Ariza berkata, pada 28 Mac luka jahitan anaknya semakin banyak terbuka, namun tiada usaha dilakukan untuk menjahit semula tempat pembedahan yang terbuka atau membuat pemeriksaan lanjut terhadap bekas pembedahan.

“Anak saya menderita kesakitan ekoran luka di tempat pembedahannya terbuka semula sehingga menampakkan isi perut tetapi pihak hospital hanya membersihkan luka tersebut serta memberi alasan ia proses biasa untuk pulih,” katanya.

Isteri Muhamad Ariza, Murni Abdullah, 38, berkata, selepas selesai mencuci luka anaknya, mereka terkejut apabila pihak hospital arahkan mereka pulang ke rumah serta cuci luka seperti biasa.

“Pada 29 Mac ketika cuci luka Hafizzikry, kami terkejut apabila mendapati benang sepanjang dua inci keluar dari tempat luka.

“Kami bertindak memanggil doktor pakar untuk membuat pemeriksaan dan pakar berkenaan tidak membenarkan kami pulang ke rumah,” katanya.

Murni berkata, pada 30 Mac dia merayu untuk keluar dari Hospital Lipis dan berhasrat hantar anaknya ke Hoshas untuk rawatan selanjutnya dan pada 31 Mac luka anak saya dijahit semula,” katanya.

Murni berkata, dia melahirkan rasa kesal dengan kejadian berlaku dan menganggap kakitangan di Hospital Lipis tidak menjalankan pemeriksaan dengan teliti.

Sementara itu, pihak Hospital Lipis akan membuat siasatan terperinci mengenai kes aduan sepasang suami isteri yang mendakwa kecuaian seorang kakitangan hospital itu ketika anak mereka menerima rawatan susulan pembedahan apendiks 26 Mac lalu.

Pengarah Hospital Lipis, Dr Sharifuddin Saad berkata, pihak hospital mempunyai prosedur rawatan susulan terhadap pesakit, Hafizzikry dan cuba memberi layanan serta keselesaan kepadanya.

“Ini kemungkinan berpunca masalah komunikasi keluarga pesakit dengan petugas hospital.

"Walaupun begitu kita akan buat siasatan terperinci dan hasilnya akan dilaporkan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN