Suhaily (kiri) membantu salah seorang pesakit di Hospital Salam.

SENAWANG - Tidak pernah sekali pun terlintas dalam mindanya untuk menjadi seorang jururawat. Namun, demi menurutkan permintaan bapanya, Suhaily Samsudin, 39, sanggup mengorbankan cita-citanya sendiri.

Bagi Suhaily, tindakannya meninggalkan jurusan penyajian dan pengurusan makanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka suatu masa dahulu walaupun sudah menjangkau semester dua, bukanlah pengorbanan sia-sia.

Ternyata, Allahyarham Samsudin Ahmad membuat pilihan tepat apabila meminta anak sulung daripada lima beradik itu menceburi bidang kejururawatan sebagai kerjaya, 20 tahun lalu.

Berkat doa dan keredaan orang tua, kini Suhaily mampu berbangga dengan pencapaiannya selaku Pengurus Unit Kejururawatan di Hospital Pakar Salam, di sini.

Kata Suhaily, sememangnya menjadi harapan bapanya selama ini untuk melihat sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka lima beradik menjadi jururawat.

“Bagi bapa saya, kerja dalam bidang perubatan mempunyai masa depan yang cerah, selain mampu memantau kesihatan keluarga sendiri.

“Kini, dua adik saya turut mengikut jejak langkah saya, di mana salah seorang daripadanya bertugas sebagai ahli fisioterapi,” katanya yang memberitahu berasa sangat gembira dan selamat apabila berada dalam hospital kerana dianggap tidak ubah seperti rumah keduanya.

Sementara itu, menceritakan suka-duka sepanjang bergelar jururawat sehingga mencapai tahap matron, Suhaily berkata, paling tidak dapat dilupakan semasa bertugas di wad kecemasan pada 2000.

“Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah akibat dilibas dengan parang kerana berebut bekalan air yang dicatu. Paru-parunya jelas kelihatan melalui luka dialami di bahagian dada.

“Pengalaman manis pula, apabila salah seorang pesakit yang dijaga mengambil saya sebagai anak angkatnya pada 1994 dan kekal hingga sekarang,” katanya. 

Suhaily yang berkemahiran dalam pengkhususan kejururawatan perioperatif (bahagian dewan bedah) turut berpesan kepada mereka yang berminat menjadi jururawat supaya membuat kajian terlebih dahulu tahap profesionalisme bidang berkenaan.

“Jangan jadikan bidang ini sebagai batu loncatan, kononnya mudah mendapat peluang pekerjaan. Kalau tidak ikhlas, lebih baik berhenti atau jangan libatkan diri langsung dalam dunia kejururawatan memandangkan kita berdepan dengan nyawa pesakit,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN