Pages

Jom Kita Berkawan

Thursday, 4 September 2014

Keluarga jururawat

Oleh NORIAH IDRIS
nori@mediaprima.com.my

Bagi Azizah Ramlee, 56, mengabdikan diri selama 33 tahun sebagai jururawat memberi pengalaman tidak lekang di ingatan.

Malah, Azizah sangat berbangga kerana bidang kejururawatan turut dianggap mulia dalam menaburkan bakti kepada masyarakat.

Bersara pada akhir 2012 kerana mahu ‘berehat’ tetapi dua bulan kemudian Azizah berdepan ujian apabila suaminya Mohd Fauzi Abdullah menghidap strok. Lalu Azizah sendiri yang menjaga dan merawat suaminya selama lapan bulan hingga menghembus nafas terakhir di sisinya.

 
 AZIZAH bangga dengan kerjayanya sebagai jururawat.
 
“Sepanjang persaraan, ada juga tetangga berjumpa saya meminta bantuan, terutama berkaitan perubatan seperti kehilangan kaki akibat kencing manis.

“Pengalaman yang ada saya curahkan dengan melakukan rawatan awal (dressing) sebelum jiran saya itu ke hospital,” katanya.

Menurut Azizah, lebih membanggakan, pengalaman dalam bidang perubatan, terutama kejururawatan, turut mendapat perhatian anak keduanya yang kini bergelar pegawai perubatan siswazah dan bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anak sulung, Faardian mengikut jejak saya kerana memperoleh sarjana dalam pengurusan pejabat dan kini bertugas di syarikat pembuatan sebagai pegawai tadbir dan perolehan.

“Begitu juga anak ketiga, Faarzana, 21, penuntut di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

“Namun, saya tak pernah memaksa anak mengikuti bidang yang pernah saya ceburi. Saya percaya mereka ada minat tersendiri dan sebagai ibu, saya sekadar memberi galakan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh bagi mengecapi impian,” katanya.

Kini, Azizah berharap anak bongsu, Mohamad Faarhan, 11, dapat meneruskan legasinya kerana ada tanda menunjukkan anak itu cenderung mengetahui sesuatu berkaitan bidang perubatan.

Pun begitu, Azizah tersentuh jiwa mengenangkan adiknya, Rosniza, 44, sudah beberapa tahun bertugas sebagai jururawat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kini di hospital Dubai.

Begitu juga adik iparnya, Nor Maheran Abdullah, 43, adalah jururawat di Hospital Baling, Kedah dan sepupu suaminya, Masyuhaida Che Ayub, 24, adalah Pembantu Perubatan di Hospital Ipoh, Perak.

Yang mengharukan, kata Azizah, kerjaya jururawat turut menambat dua anak saudara, Ainun Naim Zulkifli, 26, yang pernah menuntut di Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu dan kini bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.

Manakala seorang lagi anak saudaranya, Nur Afthelyana binti Zolkeply, 20, kini menjalani latihan pergigian di Pusat Pergigian Kanak-kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia di Pulau Pinang.

Bagi wanita ini, anak dan saudara mara mencintai bidang berkenaan, menyebabkan mereka layak digelar ‘keluarga perubatan’ kerana komitmen kerjaya itu menuntut kegigihan serta tanggungjawab menjaga dan merawat pesakit yang tidak ternilai harganya.

Katanya, apabila berkumpul beramai-ramai, terutama dengan anak atau saudara-mara pada Aidilfitri misalnya, topik perbincangan berkisar pengalaman lucu dan sedih pesakit yang ditemui dan dia turut menjadi tempat rujukan.

Mengimbau kerjaya kejururawatan, dia tidak menafikan sepanjang tiga dekad bertugas di wad bersalin di pelbagai hospital termasuk HKL, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dan Hospital Tumpat, Kelantan, banyak pengalaman pahit manis ditempuhinya.

Dia tidak menafikan ada yang mengatakan kerjaya itu nampak senang, sedangkan hakikatnya terpaksa bekerja keras hinggakan pada hari raya harus bertugas walaupun orang lain gembira beraya bersama keluarga.

Pengalaman tidak dapat dilupakan wanita ini adalah ketika merawat seorang ibu hendak bersalin pada Ramadan dan pada masa sama, waktu berbuka sudah tiba.

“Ketika itu saya dan dua lagi jururawat akan membantu bakal ibu hendak melahirkan bayi.

“Saya pernah berdepan pengalaman ketika hendak berbuka puasa dan si ibu hendak bersalin, menyebabkan terpaksa meninggalkan makanan yang hendak disuap.

“Saat membantu ibu itu bersalin, tiba-tiba air ketuban pecah dan saya tertelan air itu hinggakan tidak lalu makan.

“Namun itulah pengalaman yang harus ditempuh kerana lebih kurang 30 minit selepas itu baru saya dapat berbuka puasa. Bila diingat kembali, ia menjadi bahan lucu dalam perbualan,” katanya.

Namun, ada kalanya agak melucukan ketika membantu wanita hendak bersalin anak kedua yang gementar sepanjang di wad bersalin.

“Seminggu selepas itu, kebetulan saya tidak bekerja dan wanita yang saya bantu itu bersama suaminya datang ke hospital memandu lori yang dipenuhi buah- buahan kerana hendak diberi kepada saya sebagai tanda terima kasih.

“Apabila saya dihubungi hospital mengatakan wanita dan suaminya mahu berjumpa semata-mata hendak menyerahkan satu lori buah-buahan, menyebabkan saya terkejut.

“Saya enggan menerimanya kerana terlalu banyak dan meminta pasangan itu memberi buah-buahan kepada semua kakitangan hospital. Walaupun dia sedikit kecewa tapi bila diterangkan kami tidak boleh terima rasuah, mereka memahaminya,” katanya.

Azizah menyimpan kenangan manis sepanjang bertugas di Hospital Tumpat pada 1991 hingga 2012 kerana pada 1994 mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dek komitmennya yang tidak berbelah bahagi pada tugas serta dikenali sebagai jururawat dedikasi.


INFO

NAMA: Azizah Ramlee
USIA: 56 tahun
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
AKADEMIK: Sijil Latihan Jururawat
KERJAYA: Pesara jururawat
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Faardian (30), Mohd Faarzali (28), Faarzana (21) dan Mohamad Faarhan (11)
 
SUMBER: HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment