PENGHUJUNG tahun 2013, dunia perbidanan di Malaysia dikejutkan dengan kematian seorang ibu yang juga kaunselor kesihatan selepas bersalin di rumah. Ibu yang berusia 40 tahun tersebut dikatakan telah melahirkan seorang bayi perempuan dengan hanya ditemani suami dan doula (rujuk info), malah selepas bersalin ibu malang ini sempat mengambil beberapa foto kenangan dia dan anaknya.
Tidak lama selepas itu, ibu tersebut dikatakan mengadu teramat letih dan peluh mula keluar di seluruh tubuhnya. Ibu tersebut akhirnya meninggal dunia disebabkan pendarahan (post partum haemorrhage).
Sanggupkah anda menggadaikan nyawa ibu mahupun anak akibat tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul mengenai pilihan bersalin atau melahirkan anak di rumah?
Malah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika berucap pada pelancaran buku Institut Kesihatan Umum (IKU): Preserving Our Heritage 1964-2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangan terhadap kaedah kelahiran semula jadi yang kian popular di negara ini.
Menurut beliau, konsep bersalin di rumah tanpa sebarang ubatan atau prosedur perubatan moden sepatutnya dipantau seorang pembantu perubatan terlatih bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini ketika proses kelahiran.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Rasliza Ramli berkata, statistik seluruh dunia menunjukkan sebenarnya hanya satu peratus kadar kelahiran di rumah dicatatkan terutama di negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Orang Malaysia ini mudah terikut-ikut tanpa mendapatkan maklumat yang betul," ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Menurut Dr. Rasliza, kelahiran secara semula jadi sebenarnya bukan sahaja boleh dilakukan di rumah, malah di hospital juga dengan beberapa prosedur yang semuanya bertujuan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan nyawa ibu dan anak.
Definisi kelahiran semula jadi sebenarnya adalah bersalin tanpa penggunaan ubat-ubatan dari segi mengurangkan rasa sakit dan tanpa ubat untuk mempercepatkan bersalin, termasuk potongan episiotomi untuk memudahkan kepala bayi keluar.
Di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, memang banyak kelahiran yang berlangsung di rumah, namun dilakukan oleh bidan bertauliah.
Kelahiran bayi di rumah ini memang tanpa sebarang pertolongan. Kehadiran bidan itu untuk memastikan ibu dan anak selamat.
Semasa proses bersalin apabila nampak akan berlaku komplikasi maka bidan akan cepat menghubungi ambulans atau terus menghantar ibu ke hospital," katanya.
Salah tafsir peranan doula
Menurut Dr. Rasliza, memang terdapat beberapa kes yang berlaku tidak lama dahulu melibatkan kematian ibu dan juga kematian bayi selepas bersalin di rumah.
Di Malaysia ramai yang menyalah anggap antara bersalin di rumah dengan free birth. Istilah free birth bermaksud hanya ibu, suami dan doula yang berada di sisi ibu yang mahu bersalin.
Doula ini hanya peneman ibu dan memang tidak mempunyai tauliah untuk membantu ibu bersalin. Doula hanyalah orang yang menemani ibu bersalin secara semula jadi. Dia memang tiada tauliah untuk bantu ibu bersalin mahupun mengenalpasti komplikasi yang berlaku.
Berbeza dengan bidan, yang juga boleh merangkap sebagai doula. Saya sarankan, kalau mahu bersalin di rumah mesti ada bidan, doula, ibu kepada wanita yang mahu bersalin itu dan orang yang biasa ada di rumah," katanya.
Tambah Dr. Rasliza, sekiranya seseorang ibu mengambil keputusan untuk bersalin di rumah tanpa bidan bertauliah dan hanya doula yang menemani, mereka sebenarnya memang mencari masalah.
Disebabkan tindakan itu, mereka perlu menanggung risiko dan masalah lain pula timbul apabila ia melibatkan undang-undang di negara ini, kerana setiap kelahiran waima di kalangan Orang Asli sekalipun semuanya didaftarkan dan termasuk dalam statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kalau dilihat kadar kematian ibu bersalin dalam tahun 1970-an memang sangat tinggi iaitu 200 kematian bagi 100,000 kelahiran.
Namun kini peratusannya menurun dengan kadar yang drastik iaitu hanya 25.6 peratus hasil daripada usaha KKM menggalakkan ibu bersalin di hospital yang sekali gus menurunkan kadar kematian bayi baru lahir.
Walaupun sekitar tahun 1980-an dan 1990-an masih banyak juga kelahiran di rumah dilaporkan, namun kelahiran ini dilakukan oleh bidan bersalin yang bertauliah.
Sekarang ini ramai ibu sudah salah anggap dengan menyamakan home birth dengan free birth. Golongan ini mengambil keputusan bersalin sendiri tanpa pantauan doktor," tegas Dr. Rasliza. - NOOR FAzlina KAMAL
SAUMBER: UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment