Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Penggiat industri penjagaan kesihatan
 tempatan mungkin perlu mengkaji kemungkinan menaikkan gaji pekerja 
masing-masing bagi mengelak kehilangan pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd Ahmad Shahizam Mohd 
Shariff  berkata permintaan dunia ke atas modal insan berkualiti dalam 
industri penjagaan kesihatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, dengan gaji tinggi yang ditawarkan oleh hospital di luar
 negara, beliau berkata kebanyakan bakat tempatan kini memilih untuk 
berhijrah.
"Realitinya, kita memiliki sistem yang sangat baik, yang membolehkan 
kita melatih dan melahirkan profesional penjagaan kesihatan berkelas 
tinggi, bukan sahaja doktor malah jururawat dan anggota penjagaan 
kesihatan yang lain.
"Isunya ialah apabila ada tempat di pasaran global yang memerlukan 
keperluan yang sama (diukur secara objektif), pendapatan atau gaji akan 
menjadi faktor yang mewujudkan kekurangan tenaga manusia," katanya 
kepada Bernama.
Sebagai contoh, Ahmad Shahizam berkata jururawat baharu di hospital 
kerajaan atau swasta tempatan, pada puratanya memperoleh gaji sekitar 
RM3,000-RM4,000, manakala di negara asing, mereka boleh meraih 
pendapatan dua atau tiga kali lebih tinggi.
"Ada banyak penggiat industri antarabansga yang memang mencari golongan
 seperti ini di negara mereka, namun mereka tidak mempunyai sumber.
"Tahap pendapatan di luar negara lebih tinggi berbanding di Malaysia. 
Di negara Asia Barat, pendapatan mereka bebas cukai. Ini mewujudkan 
masalah kepada kami kerana kami sentiasa kehilangan pekerja yang 
berhijrah ke sana," katanya.
Turut berkongsi pandangan ialah Presiden Persatuan Doktor-doktor Islam
 Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang menyuarakan 
kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja dalam industri kesihatan.
"Memang kami menghadapi masalah berkenaan tenaga kerja yag mahir bagi 
kategori jururawat, kerana mereka mendapat peluang yang lebih baik di 
negara Asia Barat, khususnya Arab Saudi dan Oman.
"Masalah yang sama turut dialami bagi kumpulan doktor pakar, khususnya
 di  pantai timur, berikutan terdapat persepsi bahawa kawasan berkenaan 
kurang berpotensi," katanya.
Walaupun ditawarkan gaji yang lebih lumayan, Shukri berkata 
tanggungjawab yang dipikul lebih besar memandangkan kesedaran dan 
pengetahuan pesakit di sana lebih tinggi, di samping perbezaan budaya 
yang ketara.
Sambil mengakui bahawa agak mustahil untuk industri tempatan membayar 
gaji seperti di luar negara, Ahmad Shahizam berkata penggiat industri 
itu boleh mula mencerminkan hakikat bahawa industri penjagaan kesihatan 
sebenarnya merupakan satu perkhidmatan.
"Kita mesti terus mencerminkan kos semasa (industri) dalam harga 
pasaran global. Kita tidak dapat mencapai tahap yang sepadan 
serta-merta. Namun kita mesti memastikan standard yang tinggi setiap 
tahun. Kos penjagaan kesihatan secara kelak akan meningkat.
"Antara faktor utama yang menaikkan kos tidak melibatkan peralatan dan
 bangunan hospital. Ya, ia hanya sebahagiannya, malah kos terbesar 
mengurus hospital ialah kos pekerja," katanya.
Pada tahap gaji semasa, beliau berkata industri tempatan kehilangan 
pekerja memandangkan mereka mendapat peluang yang lebih baik di tempat 
lain.
Perbelanjaan industri penjagaan kesihatan tempatan berjumlah US$11.73 
bilion (US$1=RM3.917) tahun lepas. Angka ini dijangkakan meningkat 
kepada US$20 bilion menjelang 2020, antara lain didorong oleh 
peningkatan penyakit koronik dan kos urbanisasi yang semakin tinggi.
Ahmad Shahizam turut menekankan mengenai kualiti pusat latihan yang melatih jururawat bertaraf antarabangsa.
"Malangnya, kita lihat banyak kolej ditubuhkan tanpa keupayaan sebenar dalam melatih jururawat.
"Tiba-tiba jumlah jururawat berkelayakan meningkat mendadak tetapi 
tidak mempunyai pekerjaan. Ini tidak baik untuk profesion kejururawatan 
secara umumnya memandangkan tugas jururawat bukalah mudah," katanya.
-- BERNAMA