NORHASPIDA YATIM 12 MEI 2017
Abaikan gelaran pondan
Jururawat HSNZ bergambar kenangan sempena Sambutan Hari Jururawat yang disambut hari ini.
KUALA TERENGGANU - Menjadi seorang jururawat lelaki mungkin salah satu antara impian bekas penuntut Kolej Islam Sains dan Teknolgi (Kist) walaupun pekerjaan itu kini masih dianggap masih didominasi golongan wanita oleh segelintir pihak.
Jururawat Bius, Dewan Bedah Umum, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Aswardi Mat Zin, 32, berkata, pada mulanya, beliau memang berdepan cabaran dalam kerjaya sebagai jururawat lelaki.
“Dalam tempoh setahun memang banyak juga cabaran yang perlu ditempuhi terutama melibatkan kepercayaan masyarakat terhadap lelaki yang berkecimpung dalam bidang ini.
“Ada yang gelar lelaki lembut, jambu, pondan dan sebagainya. Namun saya abaikan sahaja, lama-kelamaan stigma itu tidak berpanjangan malah timbul penghormatan dan rasa kagum dalam diri mereka terhadap profesion ini,” katanya.
Bercerita lanjut, anak kelahiran Besut ini berkata, jururawat adalah pilihannya yang terakhir setelah gagal memohon beberapa kursus lain melibatkan badan penguat kuasa sebelum memasuki Kolej Islam Sains Teknologi (KIST).
“Sebelum ini, saya ada mohon macam-macam seperti polis dan tentera, namun tidak diterima. Alhamdulillah, saya diterima dan berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan dan kini dah empat tahun dalam bidang ini,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan, katanya, beliau tidak boleh melupakan pengalaman membuat pembedahan pada bahagian kepala pesakit.
“Pembedahan bahagian kepala pesakit adalah antara pengalaman yang saya tidak boleh lupakan. Biasanya, bidang saya ini sentiasa berdepan dengan mangsa-mangsa kemalangan yang kebanyakan mereka mengalami kerosakan pada bahagian organ dalaman.
“Pernah dulu saya selamatkan seorang pesakit dalam keadaan begitu. Alhamdulillah, mungkin ajal masih belum tiba, dia berjaya diselamatkan dan saya rasa ia satu kepuasan yang begitu bermakna,” katanya.
Menyentuh mengenai pembahagian masa disebabkan beliau dan isteri, Norshikin Che Musa, 28, juga seorang jururawat di HSNZ, katanya, ibu bapa yang tinggal berdekatan banyak bantu dalam kerjaya mereka.
“Alhamdulillah, kedua-dua keluarga tinggal berdekatan dengan kami dan ia memudahkan untuk urusan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Sementara itu, Muhd Hazarul Imam Hamzah, 29, yang merupakan jururawat di Wad Ortopedik, HSNZ, berkata, kesabaran amat perlu bagi individu berkecimpung dalam bidang itu.
“Kerjaya ini memerlukan kesabaran dan kepercayaan pesakit. Alhamdulillah, kini, profesion ini semakin diterima malah kewujudan golongan lelaki dalam bidang ini amat dialu-alukan terutama dalam mengendalikan pesakit lelaki.
“Ada pesakit yang memerlukan kita membantu dari segi urusan pergerakan mereka untuk menguruskan diri mereka, alhamdulillah, kita dapat membantu dalam hal-hal sebegini yang mana termasuk dalam bidang tugas kita,” katanya.
Muhd Hazarul berkata, dia yang sudah dua tahun berkhidmat di HSNZ sebelum ini berkhidmat selama tiga tahun di Queen Elizabeth Sabah.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment