Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday 17 October 2017

Pasukan perubatan bersedia ke Kutupalong


Oleh Amir Mamat
bhnews@bh.com.my

Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mengadakan sidang media pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Deepavali Kepada Golongan yang Kurang Berkemampuan di Sekolah Tamil Kubu, Jalan Ong Keng Hoon. - Foto Rasul Azli Samad

______________________________________________-

MELAKA: Kementerian Kesihatan sudah menyediakan sepasukan pegawai perubatan untuk berkhidmat di hospital medan yang akan dibina di kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Bangladesh.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pasukan itu terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan dan pembantu kesihatan, selain daripada beberapa doktor Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita (kementerian) sudah bersiap sedia dengan kakitangan dan pakar, cuma tunggu waktu yang sesuai serta 'lampu hijau' daripada kerajaan Bangladesh untuk membolehkan kita pergi ke sana.

"Ini misi kemanusiaan dan kerajaan Malaysia terpanggil untuk membantu etnik Rohingya mengikut kemampuan," katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali anjuran MIC negeri di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kubu di sini, hari ini.

Subramaniam mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini bahawa sebuah hospital medan bernilai RM3.5 juta akan dibina di kem pelarian Kutupalong bagi memberi rawatan kesihatan kepada pelarian Rohingya.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Malaysia sedang menunggu prosedur yang ditetapkan kerajaan Bangladesh walaupun kebenaran sudah diperoleh daripada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang diserahkan menerusi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Kementerian Kesihatan akan bersama-sama untuk membantu dari segi menyediakan 35 kepakaran merangkumi doktor, jururawat serta pembantu perubatan yang akan berada di kem pelarian terbabit.

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan individu sama ada jururawat, doktor, pembantu hospital untuk berdaftar dengan Majlis Keselamatan Negara yang akan menyelaras misi ke Cox's Bazar untuk membantu di hospital medan berkenaan.


--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment