faliq.lajim@nstp.com.my
NYANYIANNYA yang persis Datuk Seri Siti Nurhaliza membuatkan penuntut kejururawatan ini terkenal di media sosial.
Semuanya selepas video dia mendendangkan lagu popular penyanyi tersohor negara itu, tular dan mendapat pujian warganet.
Nur Syafiqah Haniza, 24, mengakui disebabkan itu dia menerima undangan untuk membuat persembahan pada majlis keraian termasuk anjuran kolejnya.
“Mereka kata nak upah (Datuk Seri) Siti Nurhaliza nyanyi mahal. Jadi mereka jemput saya saja untuk membuat persembahan.
“Alhamdulillah, walaupun bukan secara profesional, jemputan menyanyi dapat menampung perbelanjaan saya di kolej selain menjadi model sambilan,” katanya katanya ketika dihubungi, hari ini.
Gadis yang berasal dari Rawang, Selangor itu berkata, video nyanyiannya mula tular pada Mei 2018 apabila menyanyi dengan memakai seragam jururawat ketika menjalani latihan amali di hospital swasta di Kedah.
Katanya, dia sekali lagi menjadi tumpuan apabila video diambil kakitangan hospital itu dimuat naik pada Ogos tahun sama.
“Ketika itu saya sudah selesai latihan amali dan mahu pulang, namun seorang kakitangan meminta saya menyanyikan lagu Siti Nurhaliza.
“Saya tak sangka pula ia tular kembali, baru-baru ini,” katanya yang menyanyikan lagu Comel Pipi Merah.
Menurutnya, dia sememangnya peminat Siti Nurhaliza dan kerap menyanyikan lagu popular penyanyi itu termasuk ketika menyertai pertandingan nyanyian.
Katanya, apabila memasuki kolej, ada rakannya menggelarkan dia sebagai Siti Nurhaliza Junior berikutan kerap menyanyikan lagu Siti Nurhaliza.
Nur Syafiqah berkata, meskipun menerima reaksi positif warganet, ada juga pihak yang mengecam video nyanyiannya tetapi dia enggan memikirkan hal itu.
“Semua komen yang buruk saya ambil positif. Lagipun, video itu diambil oleh orang lain bukan saya sengaja nak buat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 8:00 PM (Harian Metro)
No comments:
Post a Comment