NAIMAH MUHAMMAD | | 17 Julai 2019
SOALAN
DOKTOR, saya baru membuat pemeriksaan kesihatan. Terkejutnya saya apabila doktor memberitahu paras kolesterol saya sangat tinggi. Bolehkah doktor terangkan apakah sebabnya? Apakah panduan untuk saya menurunkan paras kolesterol saya?
- BIMBANG KESIHATAN DIRI,
ASMARIZAL FADLI, 32,
RANTAU ABANG, TERENGGANU.
Kolestrol yang tinggi boleh menyebabkan arteri |
JAWAPAN:
KOLESTEROL ialah bahan semula jadi yang dihasilkan oleh tubuh. Ia mempunyai pelbagai 'tugas' seperti penghasilan hormon, fungsi otak, saraf, penghasilan vitamin D, keanjalan kulit dan fungsi-fungsi sel yang lain.
Kolesterol tidak berbahaya jika tidak berlaku keradangan kronik. Keradangan merupakan punca utama masalah arteriosklerosis yang mana saluran darah menjadi keras dan tidak lagi elastik.
Berdasarkan kajian terkini, keradangan merupakan ‘akar kepada pelbagai penyakit’ termasuklah penyakit jantung koronari.
Tuan, kita selalu ditakutkan dengan makanan berminyak atau berlemak dan makanan kolesterol tinggi sebagai punca kepada peningkatan paras kolesterol dan penyakit jantung.
Pun begitu, makanan yang menyebabkan risiko penyakit kardiovaskular adalah disebabkan peningkatan keradangan dalam tubuh seperti lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.
Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong fakta bahawa makanan berkolesterol dan berlemak bukan punca kepada kolesterol tinggi dan risiko penyakit kardiovaskular.
Makanan yang menyebabkan peningkatan keradangan itu disebabkan lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.
Malahan kajian juga menunjukkan pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa, minyak ikan, minyak habbatus sauda, avocado, minyak kelapa sawit meningkatkan paras HDL (kolesterol baik). Ia menurunkan paras LDL (kolesterol tidak baik) dan mengurangkan radang dalam tubuh.
Selain itu, terdapat beberapa faktor seperti genetik, kurang aktiviti fizikal, stres yang tidak terkawal dan hormon tiroid yang rendah memberikan kesan kepada paras kolesterol.
Cara mudah menurunkan paras kolesterol adalah dengan mengambil sayur-sayuran hijau. Bayam, kangkung dan sawi setiap hari membantu menurunkan kolesterol dan keradangan dalam tubuh.
Buah-buahan juga boleh membantu mencegah pengoksidaan kolesterol LDL. Buah-buahan juga bersifat antikeradangan kerana khasiatnya yang lengkap dengan vitamin, mineral, antioksidan dan serat tinggi.
Tuan perlu memastikan makanan yang diambil seimbang dan mengelak makanan yang tinggi gula, lemak trans dan makanan karbohidrat halus seperti tepung gandum termasuklah makanan proses secara berlebihan.
Jangan lupa untuk bergerak secara aktif dan bersenam selalu di samping mengawal stres dan mendapatkan tidur yang secukupnya.
-- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment