Pages

Jom Kita Berkawan

Thursday 5 December 2019

Dewan Rakyat lulus pemansuhan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006

Tarikh kemaskini: 04/12/2019



KUALA LUMPUR, 4 Dis -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan pemansuhan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006 dan berikutan itu lembaga yang berada di bawah akta itu turut dibubarkan.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Pembubaran) 2019 selepas dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata pembubaran Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) adalah selaras dengan keputusan dasar kerajaan berhubung pelaksanaan rasionalisasi agensi dalam perkhidmatan awam.

Jelasnya, hasil pengauditan mendapati pencapaian LPKM kurang memuaskan berbanding peruntukan yang diterima selain kos pengurusan yang tinggi, tiada kepakaran teknikal dalam mempromosi kesihatan serta berlaku pertindihan fungsi dengan Kementerian Kesihatan.

“Di samping itu, LPKM tidak memenuhi jangkaan dasar kerajaan terhadap badan berkanun Persekutuan, iaitu bukan merupakan sebuah agensi yang menjana pendapatan dan penguatkuasaan.

“LPKM juga tidak mempunyai kedudukan kewangan yang mampan dan bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan kerajaan,” katanya.

Berikutan pembubaran LPKM, skop fungsi, sumber manusia, kewangan dan aset asal lembaga itu akan dipindahkan kepada Kementerian Kesihatan.

LPKM ditubuhkan pada 1 April 2007 berikutan pewartaan Akta Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia 2006 (Akta 651).

Lembaga itu merupakan sebuah badan berkanun yang pertama ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan bertujuan memperluaskan bidang promosi kesihatan dengan penglibatan masyarakat secara intensif yang digerakkan bersama melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2019 melibatkan empat penambahbaikan utama dalam Akta 527 yang telah mencecah hampir satu abad.

Rang Undang-undang itu dibentangkan kali pertama 27 Nov lepas dan ketika membentangkan untuk bacaan kali kedua petang ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata undang-undang yang lama itu telah mengakibatkan kesukaran kepada industri perkapalan untuk menjalankan transaksi pengangkutan barangan melalui laut mengikut kaedah transaksi semasa.

“Elemen Hague Rules dalam Akta 527 adalah lapuk dan tidak mencukupi untuk memenuhi syarat-syarat pengangkutan moden. Oleh itu, Malaysia memerlukan perundangan yang diharmonikan dengan asas-asas liabiliti, tanggungjawab dan pampasan,” katanya.

Pindaan dilakukan bagi mengemas kini standard yang diamalkan dalam transaksi pengangkutan barangan melalui laut semasa berhubung had liabiliti, jenis liabiliti dan pengiktirafan terhadap dokumen-dokumen berkaitan transaksi pengangkutan barangan melalui laut.

Ia juga bertujuan mengekang kelewatan penyerahan barang melibatkan kos yang tinggi dalam perniagaan serta mengurangkan risiko kehilangan pelanggan jika tuntutan melibatkan klausa pembatalan.

Pada masa yang sama, pindaan turut dilakukan bagi menambah baik pengiktirafan borang elektronik bagi ‘sea carriage documentation’ selaras memenuhi keperluan perdagangan moden melibatkan sektor maritim serta mengharmonikan perundangan maritim dengan asas-asas liabiliti, tanggungjawab dan pampasan.

Persidangan dewan disambung esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment