Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday, 12 May 2020

Patuh SOP semasa raya - KP Kesihatan

foto bekazon



11/05/2020 06:57 PM

PUTRAJAYA, 11 Mei -- Umat Islam yang dijangka akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei ini perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berhari raya termasuk mengehadkan jumlah pelawat pada satu-satu masa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah 20 orang yang disaran oleh kerajaan sebelum ini hanya terhad kepada keluarga dan saudara-mara sahaja, di samping perlu mengambil kira faktor keluasan rumah.

"Kalau ‘apartment’ kecil, bukan 20 orang dalam satu masa tapi mungkin boleh gunakan cara lain seperti janji temu secara berperingkat dan kita tak galakkan aktiviti perhimpunan atau pelawat datang ke rumah.

"Apa yang pasti ikut SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), amalkan penjarakan sosial dan lindungi warga emas contohnya tiada salam, tiada cium, kita amalkan kebersihan diri, mencuci tangan dan penggunaan pensanitasi tangan," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Jelasnya, jumlah kes kematian bagi kes COVID-19 bagi individu 60 tahun ke atas adalah lebih 50 peratus, manakala bagi pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, kes kematian adalah 85 peratus ke atas.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia agar mengehadkan aktiviti ziarah sesama ahli keluarga semasa musim perayaan ini atau balik kampung, sekiranya merasakan sukar untuk mengamalkan penjarakan sosial.

"Kita tak tahu, tak nampak virus tersebut, mungkin kita ada virus tersebut tetapi kita telah mendedahkan virus itu pada ibu bapa serta datuk dan nenek," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata tiada sebarang kes jangkitan COVID-19 melalui makanan mentah dilaporkan setakat ini. 

Katanya KKM juga sedang menunggu keputusan laporan makmal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengetahui sama ada virus itu terdapat dalam haiwan.

"Tapi setakat ini belum tahu ada virus ke tak... jika ada virus (dalam makanan, virus) akan mati bila kita masak,"  katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan orang ramai mengenai kes sporadik COVID-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh dua minggu, hanya tiga kes sahaja dicatatkan iaitu dua kes sindrom akut pernafasan teruk (SARI) dan satu kes penyakit seperti influenza (ILI).

"Ini menunjukkan virus dalam komuniti semakin berkurang tetapi masih ada. Kalau kawalan kita baik, kita boleh putuskan rantaian jangkitan. 

"Kita bergantung pada rakyat Malaysia untuk patuh pada SOP. Kalau nak berjaya, rakyat Malaysia kena bersatu dan bersama KKM untuk putuskan jangkitan COVID-19," katanya.

Ditanya keperluan untuk menjalankan saringan kesihatan kepada semua sektor pekerjaan sebelum dibenarkan bekerja semula, Dr Noor Hisham berkata KKM kekal dengan pelaksanaan saringan berdasarkan pendekatan bersasar,  lokaliti dan mereka yang baru pulang dari luar negara. 

"Apabila kita lakukan saringan untuk pekerja untuk kali pertama, boleh bekerja, tapi esok dan minggu depan mereka akan terdedah lagi, persoalannya, berapa kali kita nak uji?" katanya. 

Beliau turut menegaskan pelaksanaan saringan yang sedang dijalankan KKM setakat ini dilihat  membuahkan hasil dalam mengawal penularan COVID-19 dalam negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment