Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham
KUANTAN, 4 Jun (Bernama) -- Seorang jururawat mendakwa kerugian lebih RM20,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan berganda, menerusi media sosial.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa berusia 44 tahun itu, berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat tawaran menarik di aplikasi TikTok pada 20 Mei lepas.
Beliau berkata wanita berkenaan ditawarkan empat pakej pelaburan dan memilih ‘pakej gold’ yang dikenakan bayaran RM250, dengan dijanjikan pulangan berjumlah RM7,800 dalam masa lapan hingga 12 jam.
“Mangsa melakukan enam transaksi berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun yang diberikan suspek dari 29 Mei hingga Khamis lepas (2 Jun).
“Bagaimanapun, dia berasa ditipu apabila suspek memintanya membayar RM5,620 lagi, sebagai komisen staf pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Yap berkata jururawat tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Temerloh semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment