Pages

Jom Kita Berkawan

Monday, 23 March 2015

Cuepacs Minta Kerajaan Percepat Kaji Kenaikan Gaji Penjawat Awam



TEMERLOH, 21 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan segera mengkaji semula 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, isu kenaikan elaun dan gaji kakitangan awam telah tertangguh sejak 15 tahun lepas walaupun kenaikan sepatutnya berlaku lima tahun sekali.

"Cuepacs meminta agar gaji serta elaun sedia ada dinaikkan sehingga 35 peratus dan berdasarkan perbincangan awal sebelum ini kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji kakitangan awam dalam tempoh lima tahun sekali.

"Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kakitangan berpendapatan rendah berada di bawah paras kemiskinan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada 430 mangsa banjir di sini Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah.

Azih berkata bebanan kerja ditanggung kakitangan awam juga semakin meningkat setiap hari dan penangguhan kajian skim gaji akan mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti dan produktiviti kerja mereka.

Katanya antara elaun yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberikan serendah RM180 kerana kadar itu tidak munasabah bagi mereka yang bekerja di bandar.

Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera bagi membantu meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam terutama yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata bagi membantu kakitangan awam memiliki rumah di kawasan bandar, Angkasa dan Cuepacs akan bekerjasama membina 600 unit rumah pelbagai jenis dilengkapi perabot dan kemudahan insurans di Putrajaya.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas dengan pemaju akan diadakan April ini bagi membincangkan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan penjawat awam.

"Rumah yang akan dibina itu akan dijual kepada penjawat awam dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, 18 March 2015

Adun kesal tindakan jururawat dikasari


Mohd Iskandar menziarahi keluarga jururawat terbabit di Kampung Apal, Jabi.
 
 
KAMPUNG APAL - Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar kesal terhadap pihak yang mengasari seorang jururawat di Unit Kecemasan Hospital Besut dalam kejadian di hospital berkenaan pada 9 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan seorang bapa pesakit yang melakukan kekerasan terhadap jururawat terbabit ketika memberi rawatan terhadap anak lelaki itu sepatutnya tidak berlaku.

“Kita menolak sebarang kelakuan tidak sopan dan kasar terhadap petugas di mana-mana hospital sekalipun kerana ia tidak sesuai dengan adat masyarakat kita,” katanya ketika menziarahi keluarga jururawat terbabit di sini.

Mohd Iskandar berkata, tindakan kasar itu bukan sahaja tidak manis sebaliknya boleh menjadi kes polis dan berdepan tindakan undang-undang.

Menurutnya, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan dengan cara yang sewajanya agar siasatan dan tindakan dapat dilakukan terhadap pihak berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Iskandar meminta pihak hospital juga perlu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bagi membendung ketidakpuasan hati dalam kalangan pesakit.

“Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik antara keluarga pesakit dan pihak hospital,” katanya.

Sinar Harian pada 11 Mac lalu, menyiarkan kisah seorang jururawat berusia 28 tahun membuat laporan polis mendakwa ditampar seorang lelaki yang memarahi jururawat terbabit merawat bayinya yang berusia empat bulan.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, jururawat itu turut mendakwa dimarahi dan diugut lelaki berkenaan agar tidak membuat laporan polis.


SUMBER: SINAR HARIAN

Monday, 16 March 2015

Cuepacs minta naik gaji tidak tangguh lagi

REMBAU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan semakan kenaikan gaji 252 skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan isu kejatuhan harga minyak dunia dan nilai ringgit untuk menangguhkan perlaksanaan skim gaji berkenaan memandangkan nilai rizab kerajaan masih mampu menampung perbelanjaan sedia ada.

"Sekiranya ia ditangguhkan, Cuepacs akan membuat bantahan kerana 1.5 juta penjawat awam sudah lama bersabar sedangkan kos sara hidup semakin tinggi.

“Penjawat awam ialah ‘enjin’ dan denyut nadi kerajaan. Tangga gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana 1 dan 11 masing-masing RM805 dan RM820 dan jumlah ini di bawah garis kemiskinan," katanya.

Justeru katanya, Cuepacs meminta kerajaan menyegerakan semakan gaji dan elaun lama yang tidak selaras dengan negara maju.
Azih berkata, Cuepacs juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali nasib 60,000 pekerja kontrak sektor awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Menurut Azih, Cuepacs menerima aduan daripada pekerja kontrak yang risau sekiranya perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan atau diserap ke jawatan tetap walaupun sudah berkhidmat hampir lima tahun.

"Kebanyakan mereka mempunyai tanggungan dan kita membawa harapan mereka ini untuk diserapkan dalam perkhidmatan awam. Kita faham jika jawatan kontrak perkhidmatan projek tidak diteruskan, tetapi bagi jawatan frontliner, kerajaan perlu meneliti semula hasrat untuk menamatkan perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke pejabat sementara, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, dekat sini, semalam.

Azih berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan langkah penamatan pekerja kontrak, ia seolah-olah tidak memberi peluang kepada orang muda berkhidmat dalam kerajaan.

“Sebagai contohnya, terdapat kira-kira 1,200 kakitangan KPDNKK berstatuskan pekerja kontrak walaupun mereka memiliki ijazah.

“Bila tamatkan kontrak, ia umpama tutup pintu untuk orang muda bekerja dengan kerajaan dan tidak bersimpati dengan lepasan universiti," katanya.

SUMBER: Sinar Harian

Thursday, 12 March 2015

Hospital di Sarawak perlu lebih ramai jururawat terlatih


09 Mac 2015 12:03 AM


DR. JERIP SUSIL (tengah) disambut untuk merasmikan Forum Pelajar Kejururawatan Antarabangsa Keenam dan Persidangan Pelajar Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kuching, kelmarin.

KOTA SAMARAHAN 8 Mac – Hospital di negeri ini masih memerlukan lebih ramai jururawat terlatih bagi memberikan perkhidmatan penjagaan kepada pesakit.

Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil, keperluan tersebut diharap dapat diatasi dengan adanya graduan ijazah dan diploma yang bakal tamat latihan tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan dan pihak swasta melatih jururawat memastikan mereka mempunyai kelayakan diiktiraf agar perkhidmatan diberikan kepada rakyat berada pada tahap yang cemerlang.

“Jururawat mahir ini boleh dilatih sama ada mereka dalam Unit Penjagaan Rapi (ICU) atau di wad ortopedik kerana dua bahagian ini amat memerlukan jururawat terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pelajar Kejururawatan Antarabangsa Keenam dan Persidangan Pelajar Kejururawatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Keenam di universiti tersebut semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pengerusi penganjur, Rose Nanju, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit dan Ketua Penolong Jururawat Unimas, Prof. Dr. Zabidah Putit.

Forum dua hari yang bermula semalam itu dihadiri 800 peserta yang terdiri daripada pelajar tempatan, Thailand, Indonesia, China, Singapura dan Maldives.

Tambahnya, penggunaan tek­no­logi baharu juga merupakan cabaran kepada jururawat.

“Sehubungan itu latihan secara berterusan adalah amat penting agar dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Jururawat harus bersedia menghadapi cabaran ini agar pesakit yang memerlukan dapat dirawat dengan baik,” jelasnya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, 4 March 2015

Jururawat berhati mulia

Sunday, 1 March 2015

Cuepacs Tidak Setuju Cadangan Pengasingan Klinik Dan Farmasi


KLANG, 26 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS membantah cadangan kerajaan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi kerana ia dilihat akan meningkatkan kos perubatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pengasingan itu dilihat akan memberi bebanan kepada rakyat termasuk penjawat awam kerana mereka terpaksa menampung kos perubatan yang mahal.

"Ekonomi rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam belum mantap...bila adanya pengasingan, mereka terpaksa membayar caj konsultasi doktor dan kemudian terpaksa pula bergegas ke farmasi untuk membeli ubat...bukankah ini melibatkan banyak kos?,"

"Sebab itu kita tidak bersetuju sekiranya kerajaan mahu melaksanakan dasar pengasingan antara klinik dan farmasi ini...kita sebagai rakyat juga tidak mahu wujud sebarang masalah di kemudian hari," katanya pada sidang media berkaitan isu itu di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan seharusnya mengekalkan kaedah sedia ada dengan menempatkan farmasi di dalam klinik bagi memudahkan rakyat terutamanya mereka yang berhadapan dengan penyakit kronik mendapatkan rawatan.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa malahan mengurangkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung pesakit.

Jumaat lepas, Kelab Doktor-doktor Malaysia yang menaungi lebih 8,000 doktor klinik swasta dan badan bukan kerajaan dalam bidang perubatan telah mengemukakan bantahan terhadap cadangan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi.

Bantahan itu dibuat berikutan kerajaan sedang meneliti untuk melaksanakan cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Sementara itu, Azih berkata CUEPACS memohon kerajaan untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan penjawat awam bagi membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti berikutan pendapatan penjawat awam terutama bagi mereka yang menyandang jawatan gred U11 masih rendah.

"Kita tidak mahu lagi ada penjawat awam yang masih memegang gred ini kerana dengan tangga gaji maksimum RM2,600 mereka tidak mampu menampung sara hidup yang lebih besar pada masa kini termasuk tidak mampu untuk membeli rumah.

"Kita mahu skim perkhidmatan penjawat awam betul-betul memberi manfaat kepada penjawat awam supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya.



-- BERNAMA

Wednesday, 25 February 2015

Cuepacs Mohon Pencen Dibayar Sebaik Pesara Tamat Perkhidmatan



KOTA BAHARU, 14 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon supaya pembayaran wang pencen dibayar sebaik sahaja pesara menamatkan perkhidmatan berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pesara memerlukan wang pencen kerana mempunyai pelbagai komitmen termasuk membayar pinjaman perumahan.

"Sebaiknya seminggu selepas bersara terus dapat wang itu (pencen) kerana pesara memerlukan wang berkenaan untuk membayar pinjaman rumah dan lain-lain.

"Kami minta tindakan proaktif diambil oleh pihak berwajib dan kita harap proses ini dapat disegerakan dan diambil perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan bencana banjir kepada kakitangan awam di sini, Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Azih berkata pesara pada masa ini hanya menerima wang pencen selepas tiga bulan menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

Justeru, beliau memohon kerajaan supaya melihat semula kaedah pembayaran wang pencen berkenaan bagi mengurangkan beban dihadapi penjawat awam yang telah kehilangan pendapatan selepas bersara.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan dapat memanjangkan lagi tempoh penurunan tarif elektrik kepada setahun.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini mengumumkan, pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj).

Sementara purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20/kWj berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

-- BERNAMA