SEREMBAN 12 Mei - Apabila dikaitkan dengan nama Florence Nightingale,
umum terus melihat satu tarikh iaitu 12 Mei setiap tahun yang merupakan
tarikh lahir seorang pengasas kejururawatan moden.
Individu ini dikatakan banyak melakukan pembaharuan kepada
kejururawatan dan penjagaan kesihatan, malah secara drastik
mengurangkan kadar kematian dalam kalangan tentera semasa Perang Krimea
sekali gus pencetus hasil kerja keras, dedikasi dan latihan jururawat
yang lain.
Perang Krimea, juga dikenali di Rusia sebagai Perang Timur
(1853-1856) yang terjadi antara Empayar Rusia melawan sekutu yang
terdiri dari Perancis, United Kingdom, Kerajaan Sardinia dan Empayar
Uthmaniyyah.
Namun begitu, tarikh Hari Jururawat Sedunia ini telah beberapa kali
berubah kerana tidak ada ketetapan yang dibuat sehinggalah pada bulan
Januari 1974, satu badan telah membuat keputusan supaya sambutan itu
diputuskan pada 12 Mei setiap tahun kerana ia adalah tarikh kelahiran
Florence.
Pengurus Unit Materniti Pakar KPJ
Seremban, Nurhidayah Mat Said (empat dari kanan) memberikan taklimat
tugasan harian kepada jururawat di wad Materniti Hospital Pakar KPJ
Seremban.
Di negara ini, sambutan Hari Jururawat juga diadakan dan tentulah
kerjaya jururawat itu cukup murni dan amat terpuji, apatah lagi individu
yang terlibat tidak pernah beranggapan pesakit sebagai satu beban
sebaliknya ia dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Jururawat senior Hospital Pakar KPJ Seremban, N. Bavani, 35, berkata,
pekerjaan ini membuatkan dirinya lebih bermakna kerana dapat menyumbang
bakti membantu insan yang sakit mahupun ditimpa musibah dalam
kesihatan.
Orang yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan tentulah
mereka sedang sakit dan menjadi tanggungjawab kita melayan mereka
dengan baik. Jika ada masalah, kita akan atasi dengan lembut.
Bila kita seronok menjaga pesakit, mengambil tahu hal kesihatan
mereka dan mesra, maka inilah yang akan dinilai oleh pesakit terhadap
kerja yang telah kita lakukan. Apa yang penting pesakit merasa lega
apabila bersama kami," katanya kepada Utusan Malaysia sempena Hari
Jururawat di Hospital Pakar KPJ Seremban, di sini hari ini.
Dia yang telah 11 tahun dalam kerjaya ini berkata, detik paling
menggembirakannya apabila pesakit melafazkan ucapan terima kasih dan itu
adalah tanda kami jururawat dihargai.
Rakannya, Lim Tian Yin, 24 memberitahu, sejarah kejururawatan dunia
jelas menunjukkan betapa kerjaya ini amat dihargai semua pihak.
Saya puas apabila dapat membantu pesakit di hospital dan tiada
istilah penat, tertekan atau hilang sabar dalam kerjaya ini. Bagi saya,
senyuman adalah perkara utama yang dapat meringankan beban pesakit,"
ujarnya yang telah tiga tahun menjadi jururawat.
Kata Tian Yin, dia sentiasa meletakkan dirinya dalam situasi pesakit
dan apabila itu berlaku, ia akan menyedarkan diri kita betapa pesakit
amat perlu dibantu.
Bila pesakit terlantar, saya akan bantu. Begitu juga dengan pemberian ubat, semuanya perlu dibuat berhati-hati," katanya.
Sementara itu dua jururawat lelaki, Arishah Nur Iskandar Abu Bakar,
26, dan Muhammad Nizam Abd. Razak, 23 berkata, mereka juga boleh
melakukan tugas yang dahulunya dimonopoli kaum wanita ini.
Kata Arishah Nur Iskandar, jangan memandang rendah keupayaan lelaki
dalam pekerjaan sebagai jururawat itu kerana sumbangan lelaki juga besar
di wad-wad hospital.
Saya lebih komited untuk berbakti kepada pesakit, malah dalam
keadaan tertentu, jururawat lelaki amat diperlukan untuk mengangkat
pesakit dan sebagainya," katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun
dalam kerjaya ini.
Tambahnya, jururawat pada hari ini juga bukan seperti dahulu kerana
detik ini ia lebih memfokuskan kepada pengkhususan tertentu dan
contohnya dia kini menjadi jururawat dalam wad yang ada kaitan dengan
jantung dan kawannya, Muhammad Nizam dalam wad dialisis.
Kita perlu menambah ilmu dan bermatlamat. Sebab itulah, jangan
pandang rendah kerjaya jururawat ini, apatah lagi lelaki yang berkarier
begini," katanya.
Jelas Muhammad Nizam, dia juga menerima kritikan daripada rakan apabila mereka bertanya kerjayanya pada waktu ini.
Mereka ketawakan saya kerana beranggapan itu kerjaya khusus untuk
wanita. Tetapi hari ini saya berbangga, kerana kerjaya inilah yang
membuatkan saya lebih dekat dengan pesakit dan membantu mereka yang
memerlukannya. Ia kerjaya yang murni," ujarnya.
Di akhir perbualan ini, Bavani, Tian Yin, Arishah Nur Iskandar dan
Muhammad Nizam ada ungkapan ini, 'Selamat Hari Jururawat kepada semua'.
No comments:
Post a Comment