Bekerja tidak tentu masa yang ada kalanya dalam keadaan tekanan
terutama ketika melayan kerenah pesakit dan pada masa sama perlu
memenuhi segala arahan doktor, membuatkan kerjaya sebagai jururawat
tidak kurang mencabarnya.
Justeru setahun sekali sumbangan mereka dihargai melalui sambutan Hari Jururawat pada 12 Mei setiap tahun.
Tugas mereka bukan terhad kepada menjaga pesakit semata-mata, malah
melalui kemahiran, pengalaman dan nilai empati yang ada dalam diri,
peranan seorang jururwat juga kadang kala bagaikan seorang guru dan
kaunselor kepada pesakit.
Ada masa tertentu, mereka terpaksa bermain dengan emosi sendiri,
gembira, sedih, cemas dan sebagainya, kerana sebahagian daripada tugas
mereka berhadapan dengan 'nyawa' manusia.
Ada ketikanya juga mereka melakukan kerja-kerja yang tidak semua
orang mahu melakukan waima kepada ibu bapa sendiri, seperti membersih
najis, nanah dan darah pesakit.
Sebab itu, tidak semua orang mampu bergelar jururawat kerana kerjaya ini menuntut seribu macam pengorbanan dan cabaran.
Ia juga bukan lagi kerjaya yang dipandang sebelah mata kerana
sumbangan mereka kepada kelangsungan hidup pesakit sangat besar
nilainya.
Bagi Jururawat Diabetik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Suriate
Mohammad, 33, yang berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan
mengakui, menyandang kerjaya jururawat sejak enam tahun lalu menuntut
pengorbanan yang besar.
Jururawat bukan sahaja bertugas untuk menjaga pesakit, malah kami
juga ibarat tulang belakang doktor bagi membantu memudahkan urusan
terutama dalam aspek penjagaan pesakit, menyediakan laporan pesakit,
ubat-ubatan dan sebagainya.
Berkhidmat di Bahagian Perubatan dan Pembedahan sejak enam tahun
lalu, pesakit yang dimasukkan ke sini biasanya kategori mereka yang
mempunyai masalah penyakit kritikal seperti diabetes, penyakit jantung,
jangkitan kuman pada paru-paru dan baru menjalani pembedahan.
Mereka yang dimasukan ke sini datang daripada latar belakang dan
jenis penyakit yang berbeza. Bagi menghadapi situasi ini memerlukan kami
sentiasa bersedia dan mempunyai ilmu untuk menguruskan mereka dengan
baik," jelasnya yang memilih kerjaya jururawat atas dorongan ibu
tercinta.
Ditanya tentang pengalaman, anak kelahiran Melaka ini berkata,
pelbagai pengalaman pahit manis dan sesetengahnya meruntun jiwa dilalui
sepanjang bertugas di bahagian tersebut.
Antara yang masih melekat sampai sekarang, pengalaman menjaga
seorang pesakit yang melalui pembedahan pada bahagian muka selepas
mengalami kemalangan ngeri.
Tugasan tersebut sedikit mencabar kerana luka tersebut perlu dijaga dengan rapi bagi mengelakkan daripada jangkitan kuman.
Dalam pada masa yang sama, pesakit tersebut bukan sahaja perlu
dirawat fizikalnya, tetapi saya juga perlu menjaga emosinya ketika
berhubung.
Kebiasaan pesakit dalam keadaan sedemikian akan mengalami perubahan
dari segi emosi dalam tempoh tertentu. Mereka mudah tersinggung dan
cepat marah apabila apabila emosi tidak stabil.
Waktu inilah, tanggungjawab kami bukan hanya membantu menyembuhkan
luka secara luaran, pada masa yang sama juga berperanan menyuntik
sokongan moral dan nasihat bagi memulihkan kembali semangat dan jiwa
mereka," ujarnya.
Suriate menambah, cabaran yang dihadapi ketika bertugas bukan sahaja
memerlukan kekentalan dan kesabaran untuk menguruskan pesakit, malah
pengalaman itu dapat meningkatkan ilmu dan kecekalan diri dalam
profesional ini.
Menjaga pesakit yang agak berusia memerlukan kesabaran yang tinggi
kerana kebiasaan emosi golongan yang berusia agak susah dikenal pasti.
Dalam situasi ini kami bukan sahaja memberi mereka makanan dan
ubatan, malahan tugasan menukar lampin, bermain dengan nanah dan darah
sudah menjadi sebati dalam diri jururawat.
Bagi golongan yang berusia kami perlu lebih peka dengan emosi mereka
bagi memudahkan pengurusan dan proses merawat menjadi lebih lancar,"
katanya.
Ujar Suriate, yang sedang menyambung pengajian separuh masa dalam
jurusan kejururawatan di sebuah kolej swasta, kepuasannya menabur
khidmat kepada masyarakat melalui profesion kejururawatan adalah suatu
pengalaman yang tidak ada nilainya.
Wujud satu perasaan mendalam apabila jasa dan pengorbanan dihargai
pesakit. Ada beberapa pesakit yang pernah dirawat masih berhubung
sehingga sekarang dan menjadi rakan baik.
Ada antara pesakit yang menganggap kami seperti ahli keluarga mereka
berikutan keakraban dan kemesraan yang dirasai semasa mereka
mendapatkan rawatan di sini," katanya. - Siti Aishah Yusoff
No comments:
Post a Comment