Oleh Zulkarnain Zakaria
INGATKAH anda, semasa ditemu bual oleh media tentang filem Highland 
Towers, Mikael Andre yang merupakan pengarah filem tersebut ada 
menceritakan beberapa kejadian misteri yang berlaku sepanjang 
penggambaran. Namun paling menyeramkan, kata Mikael adalah ketika 
melihat jelmaan dirinya sendiri muncul dalam rakaman yang telah dirakam,
 sedangkan pada waktu itu beliau sedang memegang kamera!
Masihkah anda ingat juga akan insiden seorang pelagak ngeri yang 
meninggal dunia sewaktu terjun dari tingkat tiga sebuah apartmen di 
Jalan Duta, Kuala Lumpur, untuk filem Jangan Pandang Belakang? 
Kejadian itu berlaku sekitar pukul 5.30 pagi, 24 Ogos, 2006. Pelakon 
lagak ngeri berkenaan gagal terjun ke atas longgokan kotak yang disusun 
lalu terhempas ke atas tanah.
 Untuk pengetahuan anda, sebenarnya sebelum tragedi tersebut, 
beberapa kejadian pelik dan misteri telah berlaku. Salah satunya - yang 
tidak pernah diceritakan oleh media - ialah apabila anak Pengurus 
Produksi filem berkenaan, Fazreen Abd. Wahab, datang ke lokasi mencari 
ibunya.
Sesampainya remaja tersebut di apartmen berkenaan, dia terserempak dengan seorang krew produksi bernama Hafiz. 
"Abang Hafiz, mana mami saya?" tanya remaja tersebut.
Namun Hafiz hanya mendiamkan diri. Wajahnya serius, sepatah pun tidak
 dijawab pertanyaan itu. Pelik dengan reaksi Hafiz, remaja itu memanjat 
tangga untuk mencari ibunya yang diketahui berada di tingkat atas. 
Alangkah terkejutnya remaja berkenaan kerana dia bertemu sekali lagi 
dengan Hafiz, kali ini di tingkat atas! Itulah Hafiz yang sebenar. Jadi,
 Hafiz yang ditemuinya di bawah tadi ialah
?
Siapa sebenarnya dia?
Pernahkah anda mendengar kisah manusia yang berada di dua buah tempat berbeza pada waktu yang sama? Ini bukan cerita rekaan.
Terakhir
Selain dua cerita tersebut, kejadian serupa pernah dialami oleh bekas
 penjaga bilik mayat Hospital Besar Kangar, Perlis, Rasti Saad. Menurut 
Rasti yang saya temui pada awal tahun 2002, suatu pagi, dia didatangi 
oleh seorang jururawat. 
Perkara pertama yang ditanya oleh jururawat itu ialah mayat siapa 
yang dilakukan post-mortem pada pukul 3.00 pagi itu dan apakah punca 
kematiannya. Adakah kerana kes bunuh, sakit, terbakar atau bunuh diri?
Rasti berasa pelik. "Apa yang awak cakap ni?" dia bertanya semula.
Jururawat itu menjelaskan, pukul 3.00 pagi itu, dia melihat Rasti 
mencuci bilik mayat. Itu bermakna, ada mayat yang telah dilakukan 
post-mortem. Apa punca kematiannya?
Mendengar soalan itu, kata Rasti kepada saya, dia terpinga-pinga. 
Manakan tidak, semalam dia tidak bekerja. Pukul 3.00 pagi itu dia sedang
 nyenyak tidur di rumah. Dia baru masuk bekerja pagi ini. Kali terakhir 
dia mencuci bilik mayat pun dua minggu sebelum itu.
Kali ini jururawat tersebut pula terdiam. Ini kerana, dia melihat 
sendiri Rasti mencuci lantai bilik mayat dan tempat pembedahan 
menggunakan cecair dettol serta klorin. Dia juga dapat mendengar bunyi 
air disimbah, baldi diseret dan mop digosok ke lantai. 
Lagipun, jarak tempat mereka bertugas di Wad Tibi dengan bilik mayat 
itu hanya sepuluh meter sahaja. Lampu bilik mayat tersebut terang 
benderang. 
Bagi mendapatkan kepastian, dia memanggil seorang lagi jururawat yang
 melihat kejadian itu. Sah, jururawat kedua itu juga mengatakan yang 
dilihatnya dinihari itu ialah Rasti. Menurut Rasti, kejadian ini berlaku
 ada 1970-an.
Nah, bagaimana? Bolehkah satu orang berada di dua tempat berbeza? Bagaimana boleh wujud jelmaan tersebut?
Pengalaman hampir serupa dialami oleh Abu Bakar Kassim yang tinggal 
di Kampung Tebuk, Simpang Empat, Perlis, pada penghujung 2003. Kata Abu 
Bakar kepada saya, pukul 5.30 pagi itu sewaktu menunggang motosikal 
menuju ke gerai seorang kenalannya di Serdang, dia terserempak dengan 
jiran yang bernama Pak Teh baru keluar dari rumahnya. 
Seperti biasa, Pak Teh memakai baju Melayu, berkain pelekat dan 
kopiah. Orang tua itu menunggang motosikalnya keluar dari halaman sambil
 membawa bakul berisi kuih untuk dihantar ke gerai tersebut, yang 
terletak satu kilometer dari situ.
Abu Bakar mengekori Pak Teh sampailah kelibat orang tua itu hilang di
 sebuah selekoh. Begitulah rutin Pak Teh, dia akan keluar sekitar waktu 
tersebut untuk menghantar kuih ke gerai. 
Namun apabila sampai di gerai tersebut, Abu Bakar terkejut. Dia diberitahu, Pak Teh masih belum datang lagi. 
Abu Bakar segera pergi ke rumah Pak Teh. Sampai di sana dia bertambah
 terkejut kerana dilihatnya Pak Teh sedang bersiap-siap untuk keluar. 
Pakaiannya sama seperti tadi - berbaju Melayu kuning cair, kain pelekat 
dan kopiah serta membawa bakul berisi kuih.
Kata Abu Bakar kepada saya, dalam keadaan pelik itu, dia bertanya 
kepada Pak Teh, ke mana orang tua itu pergi selepas hilang dari selekoh? 
"Aku ada rumah, tak pergi mana-mana. Ni lah baru nak keluar hantar kuih," jawab Pak Teh Mat.
Nah, kalau begitu, `siapakah' yang dilihat oleh Abu Bakar pagi itu? 
Sebenarnya, kisah sebegini agak sering kita dengar berlaku di 
sekeliling kita. Lazimnya, ia dikaitkan dengan jin, qarin dan 'hantu.' 
Ada juga yang berlaku kepada orang alim dan ia dikategorikan sebagai 
karamah. 
Untuk pengetahuan anda, dalam bidang paranormal, fenomena misteri ini
 dipanggil Doppelganger atau Double. Ia bermaksud jelmaan yang 
menyerupai seorang individu, sedangkan individu tersebut berada di 
tempat lain.
Ia merupakan suatu misteri yang berlaku di mana-mana, termasuk di sekeliling kita. Anda pernah mengalaminya?
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA