Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday 19 April 2015

Isu Semakan Gaji Penjawat Awam : Kerajaan perlu tubuh Suruhanjaya Semakan Gaji

Tubuh Suruhanjaya Tetap Bagi Semakan Gaji Penjawat Awam - Navaratnam


Tan Sri Ramon Navaratnam 
 
 
 
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya tetap perlu ditubuhkan bagi membuat semakan gaji dalam perkhidmatan awam setiap lima tahun, kata Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam terutama mereka yang berpendapatan rendah sambil menambah kali terakhir semakan gaji dilakukan adalah pada 1991.

"Saya yakin terdapat rasa tidak puas hati dan kecewa kerana mereka bergelut setiap hari untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan rendah purata antara RM805 dan RM820 sebulan bagi gaji pokok.

"Ini malah di bawah garis kemiskinan yang menetapkan pendapatan RM880 sebulan," beliau menulis dalam ruangan "Letters to the Editor" yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Star, hari ini.

Beliau membuat komen itu susulan pendedahan oleh Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda bahawa kira-kira 800,000 penjawat awam memperoleh pendapatan rendah pada purata RM850 sebulan.

Beliau berkata gaji rendah telah menjejaskan moral penjawat awam dan bersikap negatif dalam melakukan kerja mereka.

Navaratnam berkata orang ramai, khususnya pembayar cukai, yang mendakwa bahawa tidak harus menaikkan gaji walaupun penjawat awam berpendapatan rendah kerana produktiviti mereka rendah, perlu faham bahawa mungkin terdapat hubung kait antara gaji rendah dan produktiviti merosot.

"Justeru, kerajaan perlu melakukan penambahbaikan bagi kakitangan dalam perkhidmatan awam, terutama kumpulan berpendapatan rendah dengan memberi tawaran yang lebih adil," katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan menaikkan gaji minimum purata golongan yang terjejas itu supaya berada di atas garis kemiskinan RM880 sebulan kepada kira-kira RM1,200 sebulan.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta kerajaan mencapai persetujuan dengan Cuepacs dan meminta mereka meningkatkan produktiviti, melaksanakan disiplin yang lebih ketat dan meningkatkan dedikasi supaya perkhidmatan awam dapat memberi perkhidmatan lebih cekap kepada orang ramai.

"Jadi tolong beri tawaran yang lebih baik dengan membayar gaji melepasi paras kemiskinan kepada penjawat awam yang bergaji rendah. Berikanlah maruah dan mereka akan respons dengan komitmen yang lebih besar untuk berkhidmat kepada negara," katanya.

Navaratnam berkata, menaikkan gaji mereka juga akan membantu untuk mengurangkan ketidaksamarataan dan meningkatkan agihan pendapatan.

"Lagipun, anggota Parlimen dengan sebulat suara menyokong bagi kenaikan gaji lebih tinggi untuk diri mereka. Ini berlaku, walaupun ramai daripada mereka menunjukkan prestasi yang baik hanya dalam politiking dan penyebaran skandal dan pada masa yang sama mereka memperoleh pendaparan daripada sumber lain dan terlepas," katanya.

Beliau berkata secara alternatif, kerajaan perlu menswastakan lebih banyak perkhidmatan awam dan mendesak bagi produktiviti lebih tinggi daripada entiti swasta yang perlu bersaing untuk kontrak.

Beliau menambah ini boleh mengurangkan saiz penjawat awam yang sekarang berjumlah 1.4 juta orang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment