30 Disember 2015 
BERKECIMPUNG dalam bidang kejururawatan sememangnya 
menjadi idaman bagi mereka yang meminati profesion ini. Selain proses 
pembelajarannya yang mencabar, faktor mudahnya mendapat pekerjaan 
menjadi sebab kerjaya ini disukai oleh ramai orang.
 Kerjaya jururawat kini membuka peluang kepada golongan lelaki untuk 
menceburinya. Fenomena ini dilihat sebagai satu perkembangan yang baik 
dalam memberi pekerjaan kepada golongan Adam yang masih tercari-cari 
kerjaya bersesuaian buat mereka.
 Daripada mereka tidak buat apa-apa, lebih baik ikuti kursus 
kejururawatan di mana-mana universiti tempatan dan kolej kejururawatan, 
tamat pengajian, akan terus dapat pekerjaan.
 Selain berkhidmat di hospital atau klinik, mereka boleh menjadi 
jururawat persendirian untuk menjaga pesakit, sama ada di rumah atau di 
lokasi yang diinginkan oleh keluarga pesakit.
 Selain itu, bagi mereka yang berminat untuk menjadi pensyarah, boleh 
memohon untuk menjadi pengajar atau pensyarah kejururawatan di 
universiti dan kolej yang menawarkan program kejururawatan.
 Permintaan dari negara luar yang inginkan khidmat jururawat Malaysia 
juga terbuka luas. Kini ramai jururawat tempatan bekerja di negara Timur
 Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Abu Dhabi, Dubai dan Bahrain.
 Berita ini sememangnya amat membanggakan kita kerana bukan mudah bagi 
negara luar mahu mengiktiraf kepakaran dan kemahiran yang ada pada 
jururawat Malaysia.
 Kursus jururawat tetap diminati
 Bidang kejururawatan merupakan bidang yang mencabar kerana mencurahkan bakti kepada pelbagai latar belakang pesakit.
 Namun, bidang ini masih menjadi pilihan utama generasi muda sekarang. 
Ini terbukti apabila institusi yang menawarkan kursus ini mendapati 
pertambahan bilangan anak muda sertainya dari masa ke masa.
 Ketua Program Kejururawatan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi 
(Picoms), Patimah Abdul Hamid berkata, permintaan penuntut terhadap 
program ini di Picoms, sering meningkat setiap tahun.
 Dahulu, hanya sekitar 70 penuntut, tetapi setelah penjenamaan semula 
Picoms pada 2010, bilangan tersebut meningkat dan yang terkini seramai 
550 orang.
 Selain mendapat permintaan yang berterusan dalam kalangan penuntut, 
peluang pekerjaan yang terbuka luas, antara faktor mengapa program ini 
kian diminati.
 Hospital atau klinik kesihatan kerajaan, sedang menanti khidmat anak muda lulusan kejururawatan.
 Sektor swasta yang telah membuka hospital sendiri juga menunggu 
mana-mana individu yang layak untuk bekerja dengan mereka. Jadi, inilah 
sebab mengapa mudahnya mendapat kerja kalangan mereka yang berkelulusan 
dalam dunia perubatan.
 Bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan bidang kejururawatan, Isu Kampus
 membawakan pembaca Sinar Harian berkenaan mengapa program kejururawatan
 menjadi pilihan warga kampus.
 Turut disertakan perkongsian dan pandangan beberapa penuntut lelaki dan perempuan berkenaan minat mereka terhadap kursus ini.
 Jangan tidak tahu, jururawat sekarang bukan hanya tertumpu kepada 
golongan wanita sahaja, sebaliknya makin ramai jururawat kini terdiri 
daripada lelaki.
 Dapat tempat di hati penuntut
 Kerjaya sebagai jururawat merupakan kerjaya mulia dan dihormati 
masyarakat kita. Ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia meminati
 kursus ini dan ada antaranya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam 
bidang kejururawatan, bermula peringkat diploma hinggalah ke peringkat 
ijazah kedoktoran di Malaysia.
 Mereka yang mengikuti pengajian ini dilihat mudah untuk menembusi 
pasaran kerjaya. Mereka boleh memohon untuk bekerja di sektor awam 
seperti di hospital kendalian Kementerian Kesihatan, Kementerian 
Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi seperti di Pusat Perubatan UM 
dan Pusat Perubatan UKM.
 Graduan tersebut boleh memohon untuk bertugas di sektor swasta di mana 
lebih ramai keperluan jururawat terlatih diperlukan jika dibandingkan 
dengan hospital kerajaan.
 Pusat perubatan dan kesihatan kendalian pihak swasta banyak menawarkan 
perkhidmatan seperti hemodialisis untuk pesakit renal, penjagaan 
geriatrik/rumah orang tua, perkhidmatan rumah ke rumah dan penjagaan ibu
 dan anak yang baru dilahirkan. Ini bermakna peluang kerja kejururawatan
 ada di mana-mana.
 Ketua Program Kejururawatan, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi
 (Picoms), Patimah Abdul Hamid berkata, tugas jururawat sangat luas 
kerana perkhidmatan kesihatan diperlukan oleh individu, keluarga dan 
masyarakat yang memerlukan perkhidmatan bukan sahaja semasa mereka 
sakit, tetapi semasa mereka sihat di mana tugas jururawat lebih kepada 
preventive/mengelakkan daripada mendapat sakit dengan memberi pendidikan
 kesihatan kepada golongan sasaran.
 Picoms kini menawarkan program Diploma Sains Kejururawatan bagi tempoh 
tiga tahun pengajian. Kemudahan disediakan termasuk asrama dan 
pengangkutan. Penuntut mendapat bantuan berupa wang saku sebanyak RM300 -
 RM500 sebulan dari Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
 Bagaimanapun bantuan itu tertakluk kepada terma dan syarat Baitulmal 
itu sendiri. Satu kursus pos basik iaitu Sijil Pos Basik Renal akan 
ditawarkan tahun hadapan dan Program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan 
akan ditawarkan dalam masa terdekat.  
 Patimah berkata, sekitar 10 peratus jumlah lelaki di Malaysia dan 
bilangan ini harus dipertingkatkan kerana dunia perubatan memerlukan 
khidmat mereka dalam banyak aspek.
 "Kita mahukan lebih ramai jururawat lelaki kerana bertambah permintaan kalangan pesakit lelaki yang memerlukan penjagaan.
 Ada juga unit yang memerlukan tenaga lelaki seperti di unit kemalangan 
dan kecemasan bagi memindahkan pesakit dalam masa kecemasan misalnya 
dari kereta ke troli," katanya.
 Jadi pilihan ramai sejak dahulu
 Sekitar 1970-an dan lewat 1980-an, kursus kejururawatan mendapat tempat
 kalangan ibu bapa. Ini disebabkan ia adalah profesion murni dan 
menjamin pekerjaan dalam kerajaan dan juga pilihan kedua yang hampir 
dengan program kedoktoran.
 Dekan Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan Unisel, Prof Madya Dr 
Mohd Nazil Salleh, 43, berkata, ibu bapa melihat, program kejururawatan 
dapat menjamin masa depan anak melalui peluang pekerjaan yang tersedia 
untuk mereka.  
 Menurut beliau, program kejururawatan kini tidak lagi dimonopoli 
penuntut perempuan sebaliknya penuntut lelaki dilihat mula cenderung 
untuk mengikuti kursus berkenaan di pusat pengajian tinggi.
 "Di Unisel sendiri, lebih kurang lima hingga lapan penuntut lelaki yang mengikuti kursus kejururawatan pada setiap pengambilan.
 "Ini cukup membanggakan di saat kita sememangnya memerlukan tenaga 
lelaki dalam kerjaya ini," katanya yang merupakan Saintis Pertama Negara
 yang dianugerahkan Chartered Scientist (CSci).
 Dr Nazil berkata, ibu bapa perlu beri sokongan padu kepada anak yang 
meminati bidang kejururawatan, seterusnya melanjutkan pengajian ke 
peringkat diploma, ijazah, sarjana atau doktor falsafah.
 Kata Dr Nazil, program kejururawatan boleh dimohon oleh sesiapa sahaja 
yang berminat, cuma mereka mestilah mempunyai perawatan yang baik 
termasuk sahsiah dan bebas daripada rabun warna.
 Perkara ini amat penting kerana rabun warna boleh menyebabkan kesilapan
 dalam pemberian ubat. Cabaran dalam pekerjaan kejururawatan sememangnya
 berisiko kerana ia membabitkan nyawa manusia ketika menjalani rawatan.
 Bagi menjalankan kursus kejururawatan, setiap pusat pengajian tinggi 
tertakluk kepada kelulusan Malaysia Qualifying Agency (MQA) dan Lembaga 
Jururawat Malaysia (LJM). Kemudahan bagi kursus ini di setiap pusat 
pengajian tinggi, mestilah mempunyai wad simulasi seperti wad perubatan,
 surgeri, pediatrik, ortopedik, dan makmal anatomi.
 Di Unisel, program kejururawatan yang ditawarkan adalah di peringkat 
diploma. Antara subjek yang ditetapkan seperti klinikal kejururawatan, 
epidemiologi dan penyakit berjangkit dan kesihatan kejururawatan setiap 
sistem badan.
 Kursus kejururawatan  sentiasa pemberi penekanan skil pengetahuan dan 
bertindak cepat serta betul dalam membuat keputusan terutamanya perkara 
yang melibatkan nyawa.
 Cabaran ada di mana-mana
 "Saya berpegang kepada konsep IT untuk saya melakukan apa-apa kerja 
atau tugasan. Konsep ini dapat diamati dan diamalkan oleh sesiapapun, 
terutamanya jururawat.
 Saya yakin dia akan menjadi jururawat cemerlang di sudut kerjaya 
mahupun individu," kata Pensyarah Perubatan Pelatih DU51P, Fakulti 
Perubatan dan Sains Kesihatan, Usim, Dr Miqdad Danial.
 Beliau berkata, huruf I yang dimaksudkan ialah ilmu. Setiap pekerjaan 
yang kita lakukan perlu berlandaskan ilmu yang sahih. Kita tidak akan 
tersimpang jauh sekiranya berlaku kesilapan atau kerosakan.
 Bahkan, jika berlaku kesilapan ia akan dapat dicegah dan dirawat 
sebelum merebak menjadi lebih teruk. Tanpa ilmu tidak mungkin seseorang 
itu mampu untuk melaksanakan tugasnya dengan betul dan berkesan.
 Huruf T pula ialah takwa. Konsep takwa ini sangat penting untuk 
dihayati setiap daripada kita. Ia merupakan teras kepada segala-galanya.
 Jika seseorang itu bertakwa kepada ALLAH SWT, secara automatik dia akan
 melakukan pekerjaannya dengan sehabis baik, kerana dia sedar setiap apa
 yang dilakukan sedang diperhatikan dan akan dihitung di akhirat kelak.
 Lantas tindak-tanduk dan prestasi individu itu akan lebih menyerlah dan cemerlang.
 Dr Miqdad berkata, setiap pekerjaan pasti ada cabarannya, sama ada dari
 kerja itu sendiri, persekitaran atau luarannya. Kadangkala cabaran yang
 dihadapi itu seperti tidak masuk akal. Mahu tidak mahu perlu untuk 
dihadapi dan diselesaikan.
 "Jika pekerja itu memahami konsep IT, dia lebih mudah mengharungi 
cabaran dalam kerjayanya. Dia tahu hakikat sebenar kehidupan ini ialah 
untuk mendapatkan keredaan ALLAH. Semestinya kesabaran dan kecekalan 
perlu ketika mana ditimpa musibah dan cabaran," ujarnya.
 Mudah dapat kerja
 Penuntut, Muhammad Fiqri Firdaus Ali, 19, berkata, peluang pekerjaan 
yang terbuka luas adalah faktor utama mengapa dia mengikuti kursus 
kejururawatan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of 
Medicine, Perak.
 Fiqri berkata, zaman yang makin mencabar kini sememangnya menyukarkan 
mana-mana mahasiswa mendapatkan kerja mengikut kelayakan yang ada. Namun
 tidak bagi penuntut kejururawatan. Selain di hospital kerajaan, mereka 
boleh bekerja di hospital swasta atau menjadi jururawat peribadi.
 "Saya tidak berasa malu mengikuti program ini sebaliknya bangga kerana 
berpeluang berbakti pada masyarakat kelak. Memang benar, jururawat 
perempuan sudah sinonim dengan pesakit kerana golongan itu lebih 
bersifat lembut, prihatin dan penyayang. Namun begitu, jururawat lelaki 
juga turut bersikap demikian kerana tugas kami tetap sama iaitu merawat 
pesakit," katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 
 



 
