SEGAMAT - Persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa profesion
kejururawatan hanya khusus untuk wanita sahaja, kini ia mungkin boleh
ditepis apabila ramai golongan lelaki mula menceburi kerjaya tersebut.
Ini kerana, ramai golongan Adam di luar sana yang mula menyedari bahawa
khidmat mereka juga amat diperlukan, sekali gus mahu turut serta
bersama golongan Hawa mencurahkan bakti dalam bidang kejururawatan.
Seorang jururawat lelaki, Mohd Thaqib Mohd Khalid, 28, berkata, dia
yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai jururawat tidak menafikan pada
awalnya ramai rakan-rakannya mempersendakan keputusannya untuk menjadi
seorang jururawat.
Menurutnya, selain minat untuk mencuba bidang pekerjaan yang berbeza
dan tidak ramai diceburi oleh golongan lelaki, ibunya, Junaidah Tahar,
58, yang juga pesara jururawat menjadi inspirasi untuk dia yakin
memilih bidang ini.
“Sebenarnya kerjaya jururawat ini tidak pernah ada dalam kamus hidup
saya, bagaimana pun bila dapat tawaran untuk ke Kolej Sains Kesihatan
Bersekutu (KSKB) Sungai Buloh pada 2009, saya enggan mensia-siakannya.
“Ketika itu, ada rakan-rakan yang memerli mengatakan kerjaya jururawat
hanya untuk wanita sahaja dan mereka berjiwa ‘lembut’ serta tidak
sesuai untuk lelaki seperti saya. Namun ia tidak mematahkan semangat
saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri Hospital Daerah
Segamat (HDS) sejak tahun 2012 juga tidak pernah berasa terpinggir dan
malu dengan kerjaya tersebut, malah bangga kerana mampu berkhidmat dan
mencurahkan bakti kepada masyarakat.
Ikut nasihat ibu jadi jururawat
Bagi Arif Amirul Semail, 30, yang hampir sembilan tahun menjadi
jururawat berkata, pada 2008, dia yang sedang mengikuti kursus
pradiploma Sains Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak
sanggup menamatkan pengajiannya selepas ditawarkan menjadi jururawat.
Menurutnya, perasaannya ketika itu berbelah bahagi sama ada mahu
meneruskan pengajian yang berada di semester kedua atau bekerja sebelum
ibunya, Ramlah Ayub, 60, memintanya menjadi jururawat ekoran kesukaran
mendapat kerja ketika itu.
“Tambahan pula, ibu yang menghidap penyakit tiroid berharap sangat saya
menjadi jururawat agar dapat menjaganya ketika sakit dan itu menjadi
penguat kepada saya sewaktu belajar kejururawatan di KSKB Sungai Buloh.
“Saya juga tidak menyesal untuk berhenti belajar di UiTM ketika itu
kerana sewaktu di KSKB saya belajar mengenai ilmu baharu terutamanya
bidang kesihatan dan kejururawatan yang sebelum ini terlalu asing bagi
saya,” katanya.
Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatri HDS sejak tahun 2012
mengakui ‘soft skill’ dan ‘sentuhan’ jururawat lelaki lebih lembut atau
setanding dengan jururawat wanita menguruskan pesakit.
Menurutnya, walaupun jururawat lelaki masih minoriti, dia kini
berbangga dengan uniform putihnya dan menyifatkan penglibatannya dalam
dunia kejururawatan sebagai perkara berharga pernah dilakukan sepanjang
hidupnya.
“Tambah manis, dengan menjadi jururawat saya bertemu jodoh dan
berkahwin dengan isteri saya, Rosmayati A Manan berusia 25 tahun pada 30
Ogos tahun lalu dan dia juga seorang jururawat di HDS,” katanya.
Kerja untuk gaji, pahala
Bagi Abdul Hazam Hafezuddin Abdul Hamid, 25, dia yang merupakan
pemegang Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Islam Selangor
(Kuis) menjadikan kerjaya jururawat sebagai ibadah.
Menurut anak kedua dari lima beradik itu, dia mengaplikasikan
pengetahuannya dalam bidang usrah dan dakwah sebagai kekuatan untuk
dirinya bagi membantu pesakit khususnya beragama Islam.
“Selain melakukan kerja-kerja jururawat, pada masa sama saya turut
mengingatkan pesakit supaya banyak bersabar, menjaga solat serta
hubungan dengan ALLAH walaupun ketika sakit.
“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mula-mula menjadi
jururawat dua tahun lalu apabila saya mengajar pesakit yang sedang nazak
mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir
di pangkuan saya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Aman Rabu berkata, HDS mula menerima
jururawat lelaki sejak tahun 2008 seramai tiga orang sebelum bilangan
tersebut bertambah kepada 23 orang.
Menurutnya, kesemua mereka bertugas secara profesional dan ditempatkan
di wad-wad lelaki dan pihaknya juga tidak pernah membezakan antara
jururawat lelaki dan wanita kerana masing-masing mempunyai kecekapan
tersendiri.
“Bagi saya, jika pesakit rasa selesa dan yakin dengan ciri maskulin
seorang jururawat lelaki, maka tiada masalah bagi pesakit serta pihak
pengamal perubatan menerima kehadiran jururawat lelaki bertugas di
hospital,” katanya.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment