TEMERLOH - Ahli keluarga kepada jururawat yang cedera parah akibat
terhidu asap dalam kejadian kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor
Bahru kini dalam keadaan stabil.
Dia dikatakan terjatuh ketika sedang berusaha menyelamatkan salah seorang pesakit dalam kejadian itu.
Jururawat terbabit Nurul Ain Zulkalnain 24, terjatuh atas lantai ketika
sedang menolak katil seorang pesakit untuk dibawa ke tempat selamat.
Adik mangsa, Nurul Nabila Zulkalnain 23, berkata, dia dimaklumkan
perkara itu oleh bapanya yang kini berada di Johor Bahru melihat keadaan
kakaknya yang berada dalam keadaan stabil ketika ini.
“Kami sekeluarga rasa syukur sangat apabila tahu kakak selamat sebab
dalam media sosial macam-macam maklumat tidak betul ditulis.
“Saya dimaklumkan dia sedang menolak katil seorang pesakit dan dalam
keadaan kelam kabut itu dia terjatuh tanpa disedari orang lain, katanya
sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Bangau Tanjung di sini semalam.
Nurul Nabila berkata, kakak sulungnya itu bekerja di Hospital Sultanah
Aminah sejak empat tahun lalu sebaik sahaja tamat pengajian bidang
kejururawatan di Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, dia mempunyai 10 adik beradik bukannya 12 atau tujuh seperti yang disebarkan dalam media sosial.
Nurul Nabila berkata, bapanya Zulkalnain Abdul Razak 50, dan ibunya Norayati Mohd Nor 45, kini berada di Johor Bahru.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment