Pages

Jom Kita Berkawan

Saturday, 30 September 2017

Cuepacs Minta Kerajaan Pertimbang Insentif Dua Kenaikan Gaji



Tarikh kemaskini: 30/09/2017

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

"Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

"Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs," katanya pada sidang media, di sini malam ini.

Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Okt ini.


--- BERNAMA

No comments:

Post a Comment