Tarikh kemaskini: 29/09/2017
KEPALA BATAS, 29 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan tuntutan yang dikemukakannya demi memelihara kebajikan dan integriti penjawat awam.
Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam, elaun, bonus dan kenaikan gred untuk diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.
"Kami menuntut semakan gaji dapat dibuat dengan mempertimbangkan kenaikan gaji tahunan, menyelaraskan beberapa elaun, bonus sebulan gaji dan tempoh kenaikan gred daripada 13 tahun kepada 10 tahun.
"Permohonan ini diharap dapat dipertimbangkan supaya penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali ke-14 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Malaysia di sini hari ini.
Katanya tuntutan itu juga seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan mutu perkhidmatan awam berkelas dunia dan pihaknya sangat berharap kerajaan dapat menunaikannya bagi memberi inspirasi kepada penjawat awam.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment