Pages

Jom Kita Berkawan

Sunday, 3 May 2020

'COVID-19 Frontliners Thank You' dipancarkan di Istana Negara



03/05/2020 01:12 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mei  -- 'COVID-19 Frontliners Thank You' dipancarkan di Dataran Kawad sempena kempen Limpahan Lampu Biru atau ‘Light It Blue’ di Istana Negara, malam ini.

Ia sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara memerangi wabak COVID-19.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda berkenan meluangkan masa 45 minit menyaksikan penyalaan cahaya biru berkenaan di pekarangan Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong dan keluarga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan atas komitmen dan ketabahan menjalankan tanggungjawab dalam membendung wabak COVID-19.

Baginda bertitah agar rakyat Malaysia bersama-sama menghargai semua petugas barisan hadapan, bekerjasama dan membantu kerajaan untuk memerangi wabak tersebut serta terus bersabar menempuh keadaan semasa.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan, saya harap kita semua bersabar dengan kesusahan yang dilalui.

"Saya berharap rakyat Malaysia kena bersabar macam mana pun (keadaannya), ini untuk kebaikan anda" titah Tunku Hajah Azizah yang turut memaklumkan biru merupakan warna kesukaan baginda.

Penyalaan lampu biru dibuat di tiga lokasi strategik sekitar Istana Negara iaitu Dataran Kawad, Kubah Anjung Utama dan Pintu Gerbang Utama mulai 30 April sehingga 3 Mei.

Berkongsi suasana Ramadan tahun ini, Tunku Hajah Azizah memaklumkan baginda dan keluarga sudah membiasakan diri dan beribadah dalam normal baharu.

Titah baginda, Perintah Kawalan Pergerakan membolehkan seluruh istana mengaji tiap-tiap hari.

“… dah banyak juzuk dan sudah nak khatam. Saya dan anak-anak juga tiap-tiap hari memasak untuk Tuanku (Agong)," titah baginda.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment