Pages

Jom Kita Berkawan

Saturday 16 May 2020

COVID-19: Rakyat Malaysia kongsi pengalaman dirawat di Argentina selama 48 hari



15/05/2020 05:48 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 15 Mei --  "Saya hanya diberitahu dijangkiti COVID-19 selepas 30 hari sedar daripada ditidurkan ketika menerima rawatan di hospital," kata Mohd Zaidy Abdul Rahman, seorang pendakwah bebas yang masih terkandas di Argentina bersama bapa mertuanya.

Menceritakan detik cemas berada selama 48 hari di sebuah hospital di bandar Vicente Lopez di Argentina, sejak mula dimasukkan ke hospital berkenaan 14 Mac lalu,  Mohd Zaidy berkata beliau satu-satunya pesakit kritikal pertama yang dirawat dan pulih sepenuhnya, ketika itu.

“Selepas semalaman berada di hospital saya telah ditidurkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zaiyadal Aquaculture Sdn Bhd itu.

“Selepas sedar baru tahu saya dijangkiti COVID-19 sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk 15 hari lagi dan kemudian tiga hari di wad biasa,” katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.

Mohd Zaidy berkata beliau bersama empat lagi ahli rombongan termasuk bapa mertuanya tiba di Argentina pada 7 Mac untuk misi dakwah. 

Selepas kira-kira seminggu berada di negara itu kesihatannya mula merosot dan dimasukkan ke hospital pada 14 Mac lepas.          “Tiga lagi àhli rombongan pulang ke tanah air ketika saya dirawat di ICU," katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak hospital terutama kepada jururawat dan kakitangan fisioterapi atas layanan baik yang diberikan.  

Lebih terharu apabila petugas hospital turut menyanyikan lagu bertajuk “Resistiré” (dalam Bahasa Sepanyol ataupun dalam Bahasa Inggeris “I will survive”) ketika mengiringi beliau keluar dari wad selepas pulih sepenuhnya. 

“Pada mulanya, pihak hospital seolah-olah hilang harapan ketika merawat saya, tapi Alhamdulillah saya sembuh juga berkat doa keluarga, ulama dan rakan-rakan dari seluruh dunia. Saya bersyukur dan amat berterima kasih atas doa mereka.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Argentina kerana membantu membolehkan isteri saya di Malaysia menerima laporan mengenai perubatan saya ,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang dan mempunyai seorang anak.  

Sementara itu,  Mohd Zaidy memohon kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra membantu menguruskan penerbangan khas secepat mungkin untuk membolehkan beliau dan bapa mertuanya pulang ke tanah air.  

“Buat masa ini, saya bersama bapa mertua menyewa homestay. Saya sangat berharap Wisma Putra boleh menghantar pesawat khas ke (Argentina) untuk bawa kami berdua dan beberapa keluarga yang masih terkandas di sini balik ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment