12/05/2020 06:47 PM
Oleh Erda Khursyiah Basir
Artikel ini sempena Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei. Tema sambutan tahun ini "A Voice to Lead : Nursing The World To Health"
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Jururawat Sedunia 2020 pastinya mencatat sejarah baharu dalam profesion kejururawatan termasuklah di Malaysia.
Ini kerana seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik COVID-19 dan golongan jururawat merupakan antara wira barisan hadapan yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak penyakit ‘pembunuh’ ini.
Mereka sebenarnya bukan sahaja berkorban masa, tenaga serta perasaan, bahkan ramai yang terpaksa berjauhan, meninggalkan anak isteri/suami serta insan-insan tersayang yang lainnya, demi menunaikan tugas untuk negara.
TUNTUTAN TUGAS
“Kali terakhir saya pulang ke Perlis berjumpa isteri dan anak-anak ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
“Selalunya setiap minggu saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis, tetapi kini sudah dua bulan saya tak dapat balik bertemu keluarga kerana tuntutan tugas selain arahan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rakyat merentas negeri kecuali atas urusan tertentu.
Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya, Mohd Erwan Juslin bersama isterinya Zurina Hamdan yang juga merupakan seorang jururawat dan bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
“Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu… Walaupun sedih, saya perlu tabah dan kuat demi tugas dan tanggungjawab,” demikian luahan hati Mohd Erwan Juslin, Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Mohd Erwan adalah antara ribuan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertugas menjalankan ujian saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, termasuk dalam bulan Ramadan ini.
Beliau yang sudah berkahwin berasal dari Beaufort Sabah. Isterinya, Zurina Hamdan yang berasal dari Perlis juga adalah seorang jururawat, kini bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pasangan ini yang sudah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu dua orang putera dan seorang puteri, berusia dua hingga 10 tahun.
PALING MENCABAR
Berhadapan krisis COVID-19 adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun bekerja sebagai jururawat. Berkorban masa, tenaga dan perasaan bahkan Mohd Erwan Juslin juga sudah dua bulan tidak bertemu anak-anak dan isteri yang menetap di Perlis demi tugas dan tanggungjawab kepada negara.
Berhadapan krisis COVID-19, Mohd Erwan berkata ia adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun beliau bertugas sebagai jururawat.
“Kerinduan terhadap keluarga di samping tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan termasuk pada bulan Ramadan memandangkan masih ada kes kluster baharu yang direkodkan.
“Memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) semasa berpuasa amatlah mencabar, peluh mencurah-curah dan basah lencun! Jika bukan pada bulan puasa memakai PPE selama satu jam pun sudah kepanasan, dahaga dan bermandi peluh, apatah lagi pada bulan puasa.
“Namun begitu, mungkin keberkatan bulan Ramadan, penat tu terasa tetapi Alllah beri kekuatan untuk terus bertugas. Alhamdulillah setakat hari ini saringan dapat dijalankan dengan lancar. Saya juga sebenarnya turut menjalani ujian saringan kerana contact dengan pesakit yang positif namun syukur kesemua ujian yang dijalani menunjukkan saya negatif,” kata Mohd Erwan berkongsi pengalamannya dengan Bernama menerusi perbualan telefon.
SALING MENYOKONG
Kekangan tidak boleh bertemu anak-anak serta isteri, Mohd Erwan berkata hanya doa dan kata-kata semangat sering diucapkan bagi memberi kekuatan antara satu sama lain.
“Selain kasihan terhadap isteri kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian, saya juga sedikit bimbang kerana Zurina secara tidak langsung turut terlibat dengan COVID-19 kerana ada pesakit COVID-19 yang diarahkan untuk melakukan rawatan dialisis.
“Saya sentiasa mengingatkannya (isteri) agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan tugas bagi mengelak dari terkena jangkitan virus. Seluruh masyarakat juga perlu sama-sama menjaga diri dan mengamalkan normal baharu seperti lebih menitikberatkan soal kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan amalan penjarakan sosial dalam membendung penularan virus ini,” katanya.
Ditanya berhubung pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa keluarga, beliau berkata ia ibarat satu rahmat buat dirinya sekeluarga.
“Di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pastinya pengumuman ini sesuatu yang amat kami nanti-nantikan,” katanya.
Kelmarin (10 Mei), dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen, Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran berkenaan kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.
Perdana Menteri turut memohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak agar dapat memberikan kelonggaran yang sama dan menambah bahawa permohonan itu boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.
KORBAN TINGGAL BERASINGAN
Siti Zaleha Zahabah berkata beliau mengambil keputusan untuk tinggal berasingan daripada anak-anak serta suami sepanjang bertugas sebagai sukarelawan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Sementara itu, seorang jururawat di sebuah klinik swasta di Damansara, Siti Zaleha Zahabah mengambil keputusan untuk tinggal berasingan daripada anak-anak serta suami, sepanjang bertugas sebagai sukarelawan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Beliau memilih untuk tinggal di asrama Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, Selangor bagi tujuan keselamatan dan untuk mengelakkan ahli keluarganya daripada risiko terkena jangkitan COVID-19.
Ibu kepada tiga orang puteri yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun ini menzahirkan rasa syukur kerana sokongan suami, keluarga serta keluarga mentua yang tidak berbelah-bahagi untuk beliau meneruskan kerjaya termasuk membantu menguruskan anak-anak.
“Saya bertugas menjalankan ujian saringan COVID-19 dan dihantar bertugas ke lapangan mengikut jadual yang ditetapkan oleh JKNS. Antaranya di pusat kuarantin dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang Baru.
“Berhadapan situasi ini sememangnya memberi sebuah pengalaman baharu buat saya sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai jururawat. Bukan sahaja terdedah kepada risiko, kami juga pada masa sama perlu bijak memainkan peranan dalam membantu mengatasi rasa takut individu dalam pemantauan (PUS).
“Saya berharap agar seluruh pasukan barisan hadapan khususnya jururawat terus cekal berjuang dan berkorban masa, tenaga dan perasaan di medan peperangan COVID-19 demi rakyat dan negara,” katanya.
SEMANGAT JUANG TINGGI
Terdapat pelbagai lagi kisah di sebalik perjuangan dan pengorbanan golongan jururawat.
Siti Zaleha Zahabah (depan sekali) memilih untuk tinggal di asrama Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, Selangor bagi tujuan keselamatan dan untuk mengelakkan ahli keluarganya daripada risiko terkena jangkitan COVID-19.
Antaranya termasuklah kisah jururawat yang sudah bersara tetapi bersedia kembali bertugas sebagai sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan menangani wabak COVID-19.
Biby Maideen, 68, menarik perhatian seluruh rakyat dengan semangat beliau untuk menabur bakti kepada negara.
Warga emas itu dikatakan berbincang dengan anak-anaknya sebelum menghantar permohonan menjadi sukarelawan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon agar doktor dan jururawat bersara kembali berkhidmat.
Antara kisah lain yang tular di media sosial juga ialah video bertajuk ‘Nurse Menangis Tinggal Keluarga Bertugas Perangi COVID-19’.
Video yang berdurasi 1.40 saat itu menunjukkan seorang wanita dengan pakaian jururawat menangis di luar rumah kerana tidak boleh mendekati ahli keluarganya.
Jururawat berkenaan dilihat mengesat air mata apabila dinasihati ibunya agar berhati-hati semasa bertugas dan sentiasa berserah kepada Allah.
“Tiap kali keluar rumah cakap kerana Allah Taala kerana cari rezeki… Jangan nangislah nak,” pesan ibunya di dalam video itu.
Semoga masyarakat terus menghormati serta menghargai jasa, bakti serta pengorbanan insan yang bernama jururawat ini.
Selamat Hari Jururawat Sedunia 2020. #KitaMestiMenang!
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA
No comments:
Post a Comment