Pages

Jom Kita Berkawan

Tuesday, 20 January 2015

Pesakit mental bunuh jururawat

Sharon Wall
GARA-GARA membunuh jururawat yang menjaganya di sebuah hospital psikiatri, seorang lelaki warga emas terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di sebalik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Menurut laporan Mirror, Ryan Matthews, 62, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah membunuh Sharon Wall, 53, di Hospital Wotton Lawn di Gloucester, England, pada 9 Julai tahun lalu.

Ketika kejadian, Wall yang telah bekerja selama lebih 20 tahun dengan pesakit mental dipercayai baru selesai bertugas syif malam selepas dia melakukan rutin pemeriksaan pusingan keadaan pesakit sebelum pulang.

Polis percaya, suspek hanya mengambil masa beberapa minit untuk menyerang dan menikam mangsa dengan pisau dapur di laluan kaki lima di Unit Montpellier hospital itu.

Serangan yang berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) itu, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dirawat.

Kira-kira seminit sebelum insiden serangan, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek sempat menghisap rokok sebelum menyerang dan membunuh mangsa dengan kejam.

Dalam video pembunuhan selama beberapa minit itu, suspek kelihatan tenang dan selesa sambil bersandar di dinding hospital berkenaan. Bagaimanapun, ketenangannya itu dilihat berbeza ketika dia memulakan serangan terhadap Wall.

SUMBER: Sinar Harian 

Pusat Perubatan Prince Court, Sekali Lagi Hospital Terbaik Dunia Dalam Pelancongan Perubatan


KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pusat Perubatan Prince Court (PPPC) dipilih sebagai hospital terbaik dunia dalam pelancongan perubatan untuk 2014 oleh Medical Travel Quality Alliance (MTQUA).

MTQUA dalam satu kenyataan berkata hospital itu telah mempamirkan penjagaan terbaik di luar protokol klinikal standard dan juga rawatan perubatan yang cemerlang.

Pada tahun sebelumnya, hospital swasta dengan 277 katil itu telah menerima anugerah tahunan antarabangsa itu buat kali pertama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPPC Dr Chong Su Lin dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pihak hospital merasa dihormati untuk menerima pengiktirafan berprestij itu dua tahun berturut-turut dan anugerah ini menjadi satu peristiwa penting dalam perjalanannya ke arah pertumbuhan yang mantap.

"Pengiktirafan ini khusus untuk kesemua doktor, jururawat dan kakitangan yang telah menjadikan hospital ini satu tempat untuk mengubati, menjaga dan memberi harapan serta kami akan terus bekerja keras untuk memberikan kualiti tertinggi dalam penjagaan pesakit sementara menumpukan kepada keselamatan pesakit," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, 4 January 2015

400 Anggota Kesihatan Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan - Dr Subramaniam


MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Lebih 400 anggota dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) telah ditempatkan di Kelantan bagi memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata mereka meliputi doktor pakar, jururawat dan pegawai kesihatan.

"Kesemua mereka ditempatkan di beberapa hospital dan klinik kesihatan di seluruh Kelantan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk dan mereka diarahkan beroperasi sehingga jam 10 malam," katanya kepada pemberita selepas persidangan Hare Krishna Cina Sedunia di Pusat Seni dan Budaya Masyarakat India Krishna Balaram, Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar tambahan 100 pegawai perubatan, 30 penolong pegawai perubatan dan 300 jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia.

Ia bagi menampung pertambahan pesakit berikutan perkhidmatan kesihatan dihentikan di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang dinaiki air banjir pada 24 Dis lepas, katanya.

"Bagi membendung penyakit berjangkit akibat banjir, kita juga akan memastikan semua pengendali makanan mendapatkan suntikan anti tifoid kerana terdapat mangsa di pusat pemindahan yang cirit-cirit selepas membeli makanan dari luar," kata Dr Subramaniam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang menjalankan proses menilai semula kos kerosakan peralatan dan bangunan milik kementerian bagi membolehkan kerja baik pulih dilakukan di klinik dan hospital terjejas.

Beliau berkata sehingga kini kira-kira 30 klinik di Kelantan tidak dapat beroperasi, namun hospital di Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah beroperasi semula menggunakan kemudahan sedia ada.

"Kita sedang menilai anggaran kos baik pulih yang ia mungkin membabitkan nilai yang besar kerana kita bukan sahaja kehilangan aset dan peralatan tetapi juga kerosakan bangunan yang jumlahnya dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi," katanya.



-- BERNAMA

Tuesday, 30 December 2014

Jururawat disyaki bunuh 38 pesakit

SEORANG jururawat yang bertugas di hospital Umberto I di Lugo, Itali ditahan bulan lalu selepas didakwa menyebabkan 38 kematian pesakit secara misteri ketika mereka berada di bawah jagaannya.

Siasatan lanjut pihak polis terhadap Daniela Poggiali, 42, mendapati, sebanyak 38 daripada 68 pesakit di bawah jagaannya dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan.

Dalam beberapa keping gambar yang diambil rakan sekerjanya, Poggiali dilihat gembira bergambar bersama mayat pesakit sambil menunjukkan isyarat bagus.

Difahamkan, polis dihubungi selepas pesakit Rosa Calderoni, 78, yang dimasukkan ke hospital tempat Poggiali bekerja kerana sakit biasa meninggal dunia dipercayai akibat disuntik dengan potasium berlebihan.

Ketua pendakwa yang menyiasat kes tersebut, Alessandro Mancini berkata, pihaknya percaya Poggiali mengalami gangguan mental dan menemui keseronokan serta kepuasan sebenar ketika melakukan pembunuhan.

Kini, sementara menunggu perbicaraan di sebuah penjara di Forli, Poggiali dikatakan mempunyai peminat lelaki yang ramai dan sering menerima surat. Malah, ada juga di antara peminatnya yang mengajaknya berkahwin.

Poggiali bagaimanapun menafikan membunuh mana-mana pesakit dan menganggap dia menjadi mangsa oleh rakan sekerja yang iri hati dengannya. – Mirror

SUMBER: Sinar Harian

Monday, 29 December 2014

Jururawat kongsi cerita terperangkap enam hari


Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama  
Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama
PASIR PUTEH - Seorang jururawat masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang, menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan 'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas.
  
Suzana Bakar, 49, berkata mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
  
"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Suzana bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi.
  
"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.

Suzana berkata untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras.
  
Beliau berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
  
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.
  
Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39, tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
  
"Sebuah kereta Proton Wira dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50 buah rumah penduduk di situ," katanya.
  
Suzana berkata ketika berada di sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam. - Bernama

Tuesday, 4 November 2014

Jururawat Dihukum Penjara Lapan Tahun Guna Duit Palsu


KOTA BAHARU, 2 Nov (Bernama) -- Gara-gara menggunakan wang palsu untuk membeli sebuah iPad, seorang jururawat sebuah hospital awam dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd Yusoff Yunus memerintahkan Nor Aziarina Ismail, 30, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 6 Dis 2013, selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa menggunakan 10 keping wang kertas palsu RM100 (berjumlah RM1,000) dan menyerahkan wang bagi bayaran iPad itu kepada Abdul Mu'iz Ahmad, 20, di hadapan sebuah restoran makanan segera di Wakaf Che Yeh di sini pada 9 malam, 22 Nov tahun lepas.

Nor Aziarina yang bertugas di sebuah hospital awam di negeri ini, didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

Sunday, 2 November 2014

Jururawat redah air galas tanggungjawab

Nik Nor Aisah menaiki perahu untuk ke rumah pesakitnya di Kampung Tersang.
RANTAU PANJANG - Kenaikan paras air di beberapa kampung berikutan limpahan air dari Sungai Golok tidak mematahkan semangat seorang jururawat masyarakat untuk meneruskan tugas seperti biasa.

Jururawat Klinik Kesihatan Gual Periok, Nik Nor Aisah Nik Zul Azhar berkata, rutin tugasnya diteruskan untuk membantu ibu bersalin di kawasan yang dinaiki air.

“Sudah menjadi kebiasaan menjelang musim tengkujuh, untuk menaiki perahu ke rumah-rumah pesakit di sini.

“Pemeriksaan ini penting agar ibu dan bayi yang baharu dilahirkan mempunyai kesihatan yang baik,” katanya ketika ditemui menaiki perahu ke rumah Suriana Deraman, semalam.

Nik Nor Aisah memeriksa tahap kesihatan Suriana dan bayi lelaki yang baharu dilahirkan di hospital, Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang tukang urut, Lijah Mat San, 56, berkata, dia juga tidak kekok untuk menaiki perahu ke rumah penduduk di sini.

“Keadaan air tidak terlalu membahayakan kerana banjir kali ini baharu sahaja memasuki fasa pertama.

“Ia akan bertukar menjadi ‘banjir termenung’ dan hanya akan surut sepenuhnya dalam masa beberapa minggu,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian