Jom Kita Berkawan

Sunday, 9 July 2017

Tingkatkan Ilmu Hingga Jadi Pakar Perubatan




Tarikh kemaskini: 07/07/2017

SUNGAI BULOH, 7 Julai (Bernama) -- Anggota kumpulan perkhidmatan sokongan kesihatan disaran meningkatkan ilmu dengan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka berdaya saing bukan sahaja di dalam negara malahan di luar negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kumpulan perkhidmatan ini yang memiliki pendidikan tahap diploma sewajarnya meneruskan pengajian serta menjadi pakar dalam bidang perubatan masing-masing.

"Bila telah menjadi pakar, mereka akan 'marketable' dalam bidang masing-masing. Contohnya tenaga pakar dalam bidang kejururawatan amat laku di negara Timur Tengah

SUMBER: BERNAMA

Thursday, 8 June 2017

Doktor, jururawat bergaduh dalam bilik bedah

19 MEI 2017
    HENAN - CHINA. Sebuah rakaman yang memaparkan seorang pakar bedah dan jururawat bergaduh di dalam bilik pembedahan tular di China.

    Rakaman video pada 12 Mei itu menunjukkan dua pekerja perubatan masih berpakaian uniform pembedahan dilihat bertengkar sesama sendiri.

    Lelaki itu pada mulanya melemparkan sarung tangan kepada seorang jururawat menyebabkan wanita itu bertindak balas dengan menumbuk lelaki berkenaan.

    Lelaki berkenaan terus menumbuk berulang kali wanita itu dan pekerja yang lain dilihat cuba menghentikan pergaduhan itu.

    Insiden berkenaan dilaporkan berlaku di Lankpu, wilayah Henan, tengah China.

    Sementara itu, berdasarkan rakaman soal siasat dengan pegawai penyiasat polis, lelaki itu berkata, insiden itu berlaku selepas tamat pemedahan dan tiada pesakit di dalam berkenaan ketika kejadian.

    Polis tidak mendedahkan punca yang membawa kepada perbalahan tersebut


    --- SINAR HARIAN

    Sunday, 6 November 2016

    Kesihatan 3 jururawat HSA makin baik

    JOHOR BAHRU - Keadaan kesihatan dua jururawat dan seorang‎ pelatih fisioterapi Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang cedera dalam insiden kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu Selasa lepas bertambah baik.  

    Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata mereka tidak lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan dan kedua-dua jururawat itu juga tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.

    "Hanya pelatih fisioterapi yang masih diberikan rawatan oksigen biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ayub berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Nursuhaily Saliman @ Suleiman, 23; Nurul Ain Zulkarnain, 24; dan Siti Nurshafika Mohd Amsah, 21, masih ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran untuk pemerhatian.

    Mengenai S Supammah, 67, pesakit ICU yang diselamatkan dalam tragedi kebakaran yang meragut enam nyawa pesakit kritikal di wad itu, Ayub berkata keadaannya masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Kebakaran.

    "Dia masih menggunakan alat bantuan pernafasan namun berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan pakar," katanya.

     Ayub berkata pesakit yang dimasukkan ke wad di HSA bagi tujuan pembedahan elektif (pembedahan yang dijadualkan lebih awal dan bukannya kes kecemasan) dibenarkan pulang.

    Beliau turut memaklumkan kebanyakan kes kecemasan kini akan dirujuk dan dikendalikan Hospital Kulai.
    "Pihak Hospital Kulai akan memberikan tumpuan pada pesakit yang lebih serius dan memberi rawatan kecemasan diikuti dengan rujukan atau kemasukan wad jika perlu," katanya.

    Sehubungan itu, orang ramai di kawasan sekitar yang mahu mendapatkan rawatan bukan kecemasan boleh pergi ke Klinik 1Malaysia Saleng di Bandar Putra dan Klinik Kesihatan Kulai Besar. - Bernama


    --- SINAR HARIAN

    Saturday, 5 November 2016

    Seronok jadi jururawat

    Hidayatul Akmal Ahmad
    hidayatulakmal@hmetro.com.my


     
     Ketika hari pernikahan

    Asalnya dia tidak minat berkhidmat sebagai jururawat namun memikirkan pekerjaan mulia dan boleh merawat ibu bapanya, Nor Ernie Azreen Mohd Ghazali, tidak lagi menoleh kebelakang.

    Apatah lagi disokong suami dan keluarga mentua yang bekerja di Kementerian Kesihatan banyak memberi inspirasi kepada Nor Ernie dalam mengendalikan tugasnya.

    Bercerita mengenai pembabitan awal sebagai jururawat, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu berkata, dia sudah empat tahun berkhidmat sebagai jururawat U29 di Klinik Kesihatan Runchang, Pekan, Pahang.

    “Saya seronok bertugas sebagai jururawat walaupun ia bukan cita-cita asal. Cuma mencabar apabila saya perlu duduk berasingan dengan suami bermula lapan minggu usia kandungan.

    “Namun ia bukan penamat cita-cita sebaliknya membuatkan saya lebih kuat dan berdikari. Kini selepas melahirkan anak, setiap dua minggu sekali saya akan pulang berjumpa anak dan suami di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

    Mengenai skop pekerjaannya, Nor Ernie berkata, tugasnya lebih kepada memberi perkhidmatan kepada ibu dan anak, melakukan lawatan ke rumah pesakit, menyimpan serta melakukan rutin perkhidmatan kesihatan keluarga.

    “Di sini saya menjaga pesakit Orang Asli. Tiada beza mereka dengan kita malah tidak banyak kerenah dan lebih mudah diuruskan.Tetapi ada juga sesekali rasa ‘down’ namun selepas berbual dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada suami, semua tekanan akan hilang dan berasa lega,” katanya.

    Mengenai kepuasan sebagai jururawat, Nor Ernie menjelaskan dia berasa seronok dapat membantu golongan pesakit apatah lagi melihat keluarga pesakit gembira.

    “Antara pengalaman manis yang saya masih ingat apabila membantu ibu yang mahu melahirkan anak di rumah. Meskipun tidak cukup kelengkapan seperti di hospital, tetap berjaya melahirkan anak dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:03 AM


    Sumber: HARIAN METRO

    Saturday, 29 October 2016

    Keluarga bersyukur jururawat HSA cedera selamat

    TEMERLOH - Ahli keluarga kepada jururawat yang cedera parah akibat terhidu asap dalam kejadian kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kini dalam keadaan stabil.

    Dia dikatakan terjatuh ketika sedang berusaha menyelamatkan salah seorang pesakit dalam kejadian itu.

    Jururawat terbabit Nurul Ain Zulkalnain 24, terjatuh atas lantai ketika sedang menolak katil seorang pesakit untuk dibawa ke tempat selamat.

    Adik mangsa, Nurul Nabila Zulkalnain 23, berkata, dia dimaklumkan perkara itu oleh bapanya yang kini berada di Johor Bahru melihat keadaan kakaknya yang berada dalam keadaan stabil ketika ini.

    “Kami sekeluarga rasa syukur sangat apabila tahu kakak selamat sebab dalam media sosial macam-macam maklumat tidak betul ditulis.

    “Saya dimaklumkan dia sedang menolak katil seorang pesakit dan dalam keadaan kelam kabut itu dia terjatuh tanpa disedari orang lain, katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Bangau Tanjung di sini semalam.

    Nurul Nabila berkata, kakak sulungnya itu bekerja di Hospital Sultanah Aminah sejak empat tahun lalu sebaik sahaja tamat pengajian bidang kejururawatan di Sungai Petani, Kedah.

    Menurutnya, dia mempunyai 10 adik beradik bukannya 12 atau tujuh seperti yang disebarkan dalam media sosial.

    Nurul Nabila berkata, bapanya Zulkalnain Abdul Razak 50, dan ibunya Norayati Mohd Nor 45, kini berada di Johor Bahru.


    --- SINAR HARIAN

    Friday, 28 October 2016

    Jururawat terlibat kebakaran dalam keadaan stabil


    Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Rooshaimi Merican Rahim Merican turut menafikan viral yang tersebar di laman sosial mengenai jururawat, Nurul Ain Zularnain yang melecur dalam kejadian itu dikatakan sudah meninggal dunia.

    "Tiga staf dari ICU yang dirawat di sini (Hospital Sultan Ismail) berada dalam keadaan stabil. Saya menafikan mengenai penyebaran viral berkenaan (kematian Nurul Ain), dia berada dalam keadaan stabil.
    "Seorang pesakit ICU yang terselamat dari HSA juga dipindahkan ke sini dan turut berada dalam keadaan stabil," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi kunjungan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menziarahi mangsa kebakaran HSA, pagi tadi.
    Turut mengiringi baginda, isteri Tengku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustaman dan isteri Menteri Besar, Datin Rosni Omar.

    HSA dilaporkan terbakar pada kira-kria jam 9 pagi, semalam berpunca dari wad rawatan kecemasan (ICU) selatan, bangunan induk HSA hingga mengorbankan nyawa enam pesakit yang sedang menerima rawatan.
    Ketika kejadian terdapat 294 pesakit sedang dirawat serta 193 kakitangan berada dibangunan berkenaan.
    Mangsa yang maut termasuk empat pesakit wanita dan dua pesakit lelaki manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan namun dilaporkan melecur 80 peratus.


    --- SINAR HARIAN

    Tuesday, 27 September 2016

    Ilmu jururawat penting

    21 September 2016 6:00 PM

    BAGAIMANA sibuknya tugas seorang doktor, lebih kurang begitu juga tugas seorang jururawat. Mereka bekerja mengikut giliran, kadang-kadang hingga lebih 10 jam, banyak berjalan dan berdiri, perlu berhadapan dengan kerenah pesakit dan keluarga mereka serta pelbagai masalah lagi.
      
    Sharifah Nadya Syed Jamaluddin

    Namun, tugas jururawat adalah satu tugas yang mulia kerana membantu mereka yang sedang dalam kesakitan.

    Sebagaimana kerja atau tugasan lain, sekiranya tiada komitmen dan melakukan kerja tidak ikhlas, maka tanggungjawab tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

    Azliana Mohd. Ridzuan, 28, dahulu dia pernah bergelar sebagai seorang jururawat, bagaimanapun setelah berkahwin dan mempunyai seorang anak, dia terpaksa meletakkan jawatan bagi memberikan perhatian kepada anaknya, Aidan Misyari Syukri, yang kini berusia dua tahun empat bulan.

    Walaupun sekarang telah bekerja dalam bidang lain, di sebuah syarikat swasta di Uptown Damansara, namun ilmu kejururawatan tidak pernah dilupakan dan masih segar dalam mindanya.

    Berasal dari Perak, Azliana yang berkelulusan Diploma Kejururawatan dari Kolej Segi berkata, sehingga sekarang dia masih ingat apa yang dipelajari di kolej dan dipraktikkan semasa bekerja di hospital.

    Setelah habis pengajian di kolej, dia diterima bekerja sebagai jururawat di Hospital Prince Court. Bagaimanapun dia hanya sempat bekerja selama enam tahun sahaja.

    Kerana waktu bekerja yang tidak menentu dan perlu mengikut giliran kerja yang ditetapkan, dan ketika itu pula telah berkahwin, maka dia terpaksa memilih sama ada terus bekerja atau berhenti.

    “Saya memilih untuk berhenti kerana anak masih bayi dan memerlukan perhatian yang lebih daripada saya. Suami mengikut sahaja keputusan tetapi dia lebih suka jika saya berhenti.

    “Sekarang saya sudah bekerja di bidang yang amat berbeza dan rasa lebih sesuai dengan kerjaya sekarang. Saya boleh luangkan banyak masa bersama keluarga dengan waktu kerja yang teratur.

    “Dahulu, semasa masih bekerja sebagai jururawat, macam-macam perangai pesakit saya perlu hadapi.

    “Biarpun rasa penat dan agak tertekan, namun saya seronok dengan tugasan yang dilakukan.

    “Apabila pesakit sembuh, saya sendiri rasa bersyukur dan gembira kerana individu yang kita jaga itu dapat menjalankan kehidupannya kembali seperti sedia kala.

    “Lebih mencabar apabila ada pesakit yang koma. Saya tidak boleh leka, 24 jam mesti bersama pesakit dan memerhatikan progresnya,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

    Pun demikian, ujar Azliana, dia atau rakan-rakan setugas yang lain tidak pernah marah-marah atau bermasam muka biarpun berasa penat kerana bagi mereka sudah menjadi tanggungjawab memastikan pesakit yang mendapatkan rawatan memperoleh penjagaan sepatutnya.

    Bagi Azliana, yang dipraktikkan oleh dirinya sepanjang masa bertugas, perlu menunjukkan wajah yang manis, bercakap dengan lemah-lembut dan melayani setiap kerenah pesakit.

    “Ini merupakan salah satu cabang tugas yang murni. Biar pesakit rasa senang hati dengan layanan yang diberikan.

    “Mudah-mudahan mereka cepat sembuh dengan layanan demikian,” katanya.

    Azliana tidak pernah kesal berhenti kerja kerana banyak ilmu yang dipelajarinya dahulu masih lagi diingati dan dipraktikkan. Baginya, tidak rugi dia belajar ilmu kejururawatan.

    Jika anaknya demam di rumah, dia tahu apa hendak dilakukan. Dia tahu bagaimana hendak merawat anaknya.

    Katanya, kerjaya jururawat menarik kerana dia mengetahui mengenai kebanyakan penyakit yang orang lain tidak 
tahu dan apa yang hendak dilakukan sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

    “Keluarga pun suka saya menjadi jururawat kerana 
boleh membantu ahli keluarga yang sedang sakit. Ibu saya seorang bidan kampung, sebab itu dia mahu saya menjadi jururawat.

    “Mereka menyokong saya semasa mengambil kursus kejururawatan dahulu tetapi memahami apabila saya beritahu hendak berhenti kerja.

    “Sekarang pun jika ibu, bapa atau ahli keluarga yang tidak sihat, mereka akan bertanya saya mengenai penyakit mereka. Jika boleh dibantu sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya ke pihak doktor.

    “Ini pun salah satu cara saya mempraktikkan ilmu jururawat. Jika tidak dipraktikkan mungkin lama-kelamaan akan lupa,” kata Azliana lagi.

    Selepas berhenti kerja dari Hospital Prince Court, Azliana mencuba dalam bidang peragaan dan dilihat mempunyai bakat dalam bidang tersebut. Peragaan dilakukan secara sambilan pada hujung minggu.

    Setelah menyertai Pertandingan Pencarian Wanita Melayu 2015 dan memenangi Anugerah Miss Personaliti, rezekinya lebih luas dan menerima banyak tawaran peragaan daripada butik dan majalah.

    Peluang mengenali ramai orang membuka hatinya memulakan perniagaan sendiri. Dia kini memiliki perniagaan pakaian kasual, Muslimah dan lelaki yang diberi nama Wear and Flair yang dijual secara dalam talian. Mereka yang ingin melihat koleksi pakaian Azliana boleh melayari Instagram @wearandflair.


    -Sumber: UTUSAN MALAYSIA