Jom Kita Berkawan

Monday, 30 June 2014

Kisah 1Malaysia Di Wad 10


Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Lelong!, lelong!. Hari ini, saya ada jual bubur kacang dan roti. Saya juga ada jual ayam masak merah dengan sayur petola yang sedap untuk dimakan.

"Untuk buah-buahan boleh datang sini ya. Ada buah tembikai, kiwi, anggur dan betik. Makan buah-buahan sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan!".

Mungkin ada menyangka ia perbualan biasa di pasar antara peniaga dan pembeli. Walhal, ia sebenarnya antara dialog wajib pesakit Wad 10 bilik 2 di sebuah hospital di Lembah Klang setiap kali tibanya waktu makan tengah hari mahupun malam mereka.

Bukannya mengadakan aktiviti 'jualan' di dalam wad, tetapi sudah menjadi kelaziman bagi pesakit yang hanya dikenali sebagai Sabrina, Normala, Maria dan Mei untuk bertukar-tukar makanan yang disediakan pihak hospital.

Sengaja menggunakan perkataan 'lelong' untuk menyuntik suasana 'humor', keakraban keempat-empat pesakit berlainan bangsa ini begitu jelas seperti sebuah keluarga biarpun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

HIDUP GEMBIRA

Mereka menghidap penyakit kronik, ada pesakit kanser payu dara, kanser rahim dan tiroid. Tetapi, sakit yang dialami tidak dijadikan halangan untuk mereka bergaul mesra.

Malahan, suasana di bilik itu sentiasa riuh-rendah dengan suara-suara wanita ini. Jururawat dan doktor bertugas pun sedia maklum dan ada ketikanya tidak terkecuali turut serta dalam kerancakan perbualan.

Ada sahaja perkara dibualkan mereka dan boleh dikatakan bilik itu hanya 'senyap' apabila tibanya waktu tidur. Mereka tidak mahu mendiamkan diri dan hanya merenung nasib di atas katil sahaja kerana itu lagi menambahkan kesakitan ditanggung.

"Buat apa difikirkan sangat kerana ia akan membuatkan kita tertekan. Hidup mesti gembira kerana tekanan akan buat kesihatan menjadi lebih teruk. Tidak kiralah kesihatan kita berada di tahap mana sekalipun.

"Kalau kanser sudah berada di tahap empat, tidak semestinya hidup kena bersedih", celah jururawat yang hanya dikenali sebagai Kamala ketika mendengar perbualan pesakit-pesakit itu mengenai status kesihatan masing-masing.

BERKONGSI RESEPI

Suasana bertambah gamat, apabila anak pesakit yang datang melawat ataupun menemani ibu mereka juga selesa bertukar-tukar pandangan dengan yang lain terutamanya berkaitan 'resepi'.

"Auntie makan apa itu?", tanya Normala apabila melihat Mei memakan sesuatu dari bekas makanan yang dibawa oleh anaknya sebentar tadi.

Padat dengan pelbagai sayuran 'segar' yang hanya direbus dan diperah lemon beserta ubi rebus, kata Mei: "Makanan ini bagus untuk kesihatan, saya makan ini tiap-tiap hari. Elok untuk kanser".

Pelbagai resepi dikongsi termasuk pemakanan yang sepatutnya diamalkan dan dijauhi serta pengambilan makanan tambahan turut menjadi topik perbualan mereka.

"Madu elok diamalkan setiap hari. Makanan berminyak pula sepatutnya dielakkan. Labu pun bagus kerana makanan sunah.

"Saya ada simpan satu keratan artikel mengenai khasiat pemakanan labu, kalau ada sesiapa hendak baca, bolehlah", celah Sabrina.

JOM BERSENAM!

Bukan hanya berkongsi resepi pemakanan sihat, bilik itu juga seolah-olah sudah menjadi seperti 'gym kecil' buat pesakit-pesakit ini apabila bersama-sama melakukan senaman ringkas yang disyorkan pakar fisioterapi.

Mereka kreatif menggunakan ruang yang ada seperti pintu, tingkap dan katil untuk aktiviti senaman biarpun bilik itu tidak dilengkapi dengan 'treadmill' dan peralatan senaman lain.

"Jom, kita jadi 'spiderwoman'", kata Sabrina penuh semangat sambil berjalan menuju ke tingkap berdekatan dengan katilnya.

Mungkin ada kehairanan, tetapi ia bukanlah aksi melekapkan badan di dinding seperti adegan cerita adiwara itu.

Hanya berdiri tegap di pintu atau tingkap, Sabrina dan kawan-kawan akan melekapkan jari-jemari mereka di situ dan menggerakkannya perlahan-lahan ke atas sehingga posisi tangan diluruskan dan menurunkannya kembali.

Senaman itu dikenali sebagai 'spiderwoman atau spiderman' yang selalu dilakukan selepas seseorang pesakit itu menjalani sesuatu pembedahan.

Ruang legar bilik itu juga tidak pernah 'sunyi' dengan tapak kaki mereka apabila masing-masing aktif melakukan senaman berjalan kaki tidak kira siang, tengah hari mahupun petang.

"Rasa seronok pula apabila bersenam ada kawan. Melihat Mei bersenam, saya berasa teruja dan terus rasa terdorong untuk bersenam bersama-sama," kata Maria.

KUATKAN SEMANGAT

Biarpun berlainan agama, bangsa, ia bukanlah halangan kepada mereka untuk saling prihatin antara satu sama lain dengan mengambil berat status kesihatan selain memberi kata-kata semangat sesama mereka.

"Awak bila kena bedah? Jangan takut, semuanya akan berjalan lancar. Awak jangan risau, teknologi sudah canggih tidak seperti dahulu.

"Saya sudah semakin sihat selepas pembedahan. Usah bimbang dan sentiasa ingat Tuhan", nasihat Mei kepada Maria yang berasa takut untuk menjalani pembedahan.

Bukan sekali, tetapi berulang-ulang kali Mei datang kepada Maria untuk menenangkannya sehinggalah kedengaran panggilan ke bilik bedah oleh jururawat bertugas.

Bagaikan rakan karib, pesakit-pesakit ini ada yang menemani Maria menuju ke bilik bedah kerana tidak mahu melihatnya patah semangat.

Sokongan moral yang diberi menambahkan lagi kemesraan mereka selain tidak lokek untuk berkongsi tips kesihatan selepas pembedahan. Kepercayaan dan amalan budaya turun temurun yang diamalkan nenek moyang dikongsi bersama.

"Kebiasaannya, orang Melayu akan makan ikan haruan selepas pembedahan terutamanya wanita selepas bersalin. Sejak turun temurun lagi, orang sudah tahu mengenai khasiatnya yang berkesan mengubati luka-luka dalaman.

"Anak saya ada bawa ikan haruan masak lemak cili api. Mahu tak rasa", celah Normala.

MULA MERINDUI

Kata-kata doktor pakar yang merawat Mei pada hari ketujuh dia tinggal di situ, membuatkan pesakit lain berasa berbelah bahagi antara perasaan gembira dan sedih.

Gembira, kerana status kesihatan Mei sudah semakin bertambah baik. Tetapi, pada masa sama berasa sedih kerana mereka akan kehilangan seorang rakan baik apabila Mei sudah dibenar keluar oleh doktor.

"Makan ubat dengan betul ya. Jaga pemakanan dan banyakkan juga makan sayur-sayuran segar", nasihat Mei sebelum melangkah keluar bersama keluarganya.

'Kesihatan' mendekat dan merapatkan mereka seolah-olah sudah lama mengenali antara satu sama lain dan perbezaan agama, bangsa serta tempoh pengenalan bukanlan halangan kemesraan.

-- BERNAMA

1 comment: