Jom Kita Berkawan

Friday, 29 August 2014

Jabatan Kesihatan Negeri Serah Laporan Kecuaian Jururawat Pada KKM

IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri telah menghantar laporan awal kepada Kementerian Kesihatan berhubung kecuaian seorang jururawat wanita di Hospital Manjung dekat sini, sehingga mengakibatkan badan seorang bayi baru dilahirkan, melecur.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Rahimi Goon berkata pihak hospital telah menjalankan siasatan dalaman setelah menerima laporan mengenai kejadian itu, Selasa lepas.

"Kesemua yang terlibat dalam kejadian itu telah dipanggil memberi keterangan dan pihak Jabatan Kesihatan negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian.

"Kita masih menunggu siasatan dalaman serta laporan lengkap kejadian tersebut selesai (sama ada tindakan tatatertib diambil terhadap jururawat)," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan bayi lelaki itu dipercayai melecur di badan terkena air panas akibat kecuaian jururawat di hospital itu.

Bayi malang itu yang dilahirkan pada 12.20 tengah malam pada Selasa lepas tercedera ketika seorang jururawat berusia lingkungan 40-an memandikannya kira-kira 7 pagi hari yang sama.

Bapa bayi itu, Pegawai Waran 1 TLDM Lumut Abdul Malek Jumat, 42, memberitahu, bayinya itu dengan berat 3.31 kilogram bersalin secara normal selepas isterinya, Jamaliah Mohd Diah, 39, dimasukkan ke hospital pada 8 pagi Isnin lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment