Jom Kita Berkawan

Saturday, 9 August 2014

Jururawat | Sabar, cool dan bersemangat'

Sabar, cool dan bersemangat'

Apakah tip yang dikongsikan oleh tiga graduan jururawat terbaik Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota, Melaka sepanjang menjadi jururawat pelatih?



BAGI tiga graduan terbaik kursus kejururawatan Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota, Melaka mereka mempunyai aura seorang jururawat yang menyebabkan pesakit mudah 'jatuh hati' dengan kelembutan wajah dan personaliti yang ditonjolkan. 

Tugas sebagai seorang jururawat tidak semudah yang disangka. Perlu banyak bersabar dengan kerenah pesakit yang datang daripada pelbagai peringkat usia. 

Namun, segala cabaran penuh liku itu tidak sesekali mematahkan semangat para graduan kolej tersebut yang menganggap pesakit sebagai rakan mereka sendiri.

"Semua pesakit dalam keadaan tertekan. Kita perlu buat mereka sebagai kawan. Jangan sesekali marah mereka. Malah kena lakukan sesuatu supaya mereka nampak kita cool. Dari situlah mereka akan meletakkan kepercayaan kepada kita," kata graduan terbaik Liaw Mei Ling, 28, mengenai pengalamannya sewaktu menjadi pelajar Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota itu.
Anak jati Bachang, Melaka yang sedang hamil anak sulungnya memberitahu, sebagai seorang jururawat dia tidak pernah menyimpan rasa geram kepada pesakit, jauh sekali untuk memarahi mereka.

Pengalaman

SEORANG jururawat perlu bijak menangani pelbagai kerenah pesakit.


Menurut Mei Ling yang kini bertugas di sebuah pusat perubatan mata swasta di Melaka, hatinya sentiasa tersentuh apabila berdepan dengan pesakit yang datang mendapatkan rawatan. 

"Contohnya, apabila pesakit yang datang untuk melakukan rawatan mata, saya akan berikan nasihat supaya dia bersemangat dan sabar dalam menghadapi penyakit yang dilaluinya. Terutama penyakit mata yang telah mencapai tahap kronik seperti buta," kata wanita yang berwajah manis itu.

Tambah Mei Ling, pengalaman semasa bekerja di bahagian bilik bedah Pusat Perubatan Mahkota selama lima tahun dari 2004 hingga 2009 banyak mendedahkannya tentang dunia perubatan. 

Cara yang dilakukan oleh Mei Ling mungkin berlainan dengan G. Vasanthi, 24. Dia tidak akan 'memberi muka' kepada mana-mana pesakit yang terlalu agresif.
SEBAHAGIAN daripada 170 graduan yang merakam kenangan manis mereka pada majlis konvokesyen mereka.


"Disebabkan saya kini bekerja di pusat perubatan swasta, jadi pelbagai ragam 'orang korporat' dapat dilihat apabila mereka masuk wad. Ada yang baik dan ada juga yang suka memaki hamun," katanya.
Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota merupakan institut yang ditubuhkan oleh Pusat Perubatan Mahkota, Melaka.

Objektif penubuhan adalah untuk melahirkan jururawat yang berkebolehan.

Vasanthi berkata, bukan mudah untuk menegur golongan itu kerana siapalah dia jika dibandingkan dengan mereka. Namun Vasanthi ada formula tersendiri untuk melembutkan hati para pesakitnya.
DARI kiri: Vasanthi Ganesan, Juliana Maskuti, Liaw Mei Ling dan Che Rohana Che Rosli melihat anugerah yang mereka terima pada majlis konvokesyen Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota, Melaka baru-baru ini.


Prinsip Vasanthi juga mudah. Tanpa mengira apa juga latar belakang pesakitnya, apabila berada di pusat rawatan pesakit adalah rakannya. Bahkan, dia menganggap mereka semuanya sama.

"Pernah saya menegur seorang pesakit kerana dia memaki hamun saya mengatakan saya itu dan ini. Saya kemudian membalasnya secara psikologi dan akhirnya pesakit itu akur dengan kata-kata saya," tegasnya.

Jelas Vasanthi, tidak kurang juga ada pesakit yang tidak habis-habis memujinya atas jagaan dan layanannya. Bagi Vasanthi, itu menjadi semangat untuk dia bekerja lebih keras dan menimba pengalaman.



"Saya bertanggungjawab untuk menjaga mereka tidak kira siang atau malam. Mereka sebahagian daripada diri saya hingga ke akhir hayat pun saya mesti jaga mereka," kata anak kelahiran Kedah itu lagi.

Bagi Che Rohana Che Rosni, 28, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang jururawat.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan beranikan diri untuk sertai bidang ini. Tidak sangka akhirnya bidang ini adalah separuh daripada jiwa saya," katanya.

Tidak dinafikan, wanita berwajah lembut itu mempunyai daya tarikan tersendiri untuk memujuk pesakit dan tidak hairan dia berjaya dalam bidang yang diceburinya.

SEBAHAGIAN daripada 170 graduan pada majlis konvokesyen Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan Mahkota, Melaka baru-baru ini.


Ditambah pula dia tidak pernah merancang untuk menjadi seorang jururawat profesional.

"Tiada siapa pernah mendorong saya masuk ke bidang ini dan tidak sangka saya boleh lakukannya," kata ibu kepada seorang anak itu.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 170 graduan menerima diploma kejururawatan masing-masing yang disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mahkota Centre Sdn. Bhd., Francis Lim.

SUMBER: KOSMO ONLINE

No comments:

Post a Comment