Jom Kita Berkawan

Thursday, 10 July 2014

Dua Pelatih Jururawat Mati Di Tembak Di Yala


YALA, 9 Julai (Bernama) -- Dua orang pelatih jururawat terkorban dalam serangan bersenjata ketika membeli belah hari ini selepas pihak yang menamakan diri mereka sebagai Pejuang Patani mengeluarkan surat amaran kepada penduduk beragama Buddha.

Kapten Montree Vijitwed, Pegawai Polis Siasatan Balai Polis Yala, berkata kedua-dua mangsa yang berumur 21 dan 29 tahun telah dibunuh dengan satu das tembakan di bahagian kepala oleh dua orang lelaki.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar jururawat dari Kolej Kejururawatan Srinthon Wilayah Yala dan sedang dalam latihan di Hospital Somdej Prayuparaj Yala sejak 1 Julai lepas.

Ketika kejadian kedua-duanya sedang membeli belah di pekan Kampung Lako.

Pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut untuk menentukan sama ada ia ada kaitan dengan pergolakan di tiga wilayah di selatan Thailand.

Semalam, lapan orang penganut Buddha di tembak di Krong Pinang dan sebutir bom diletupkan di hadapan sekolah di daerah Weang, Narathiwat .

Selepas kejadian letupan bom tersebut, pihak polis telah menemui sepucuk surat dalam bahasa Thai yang memberi amaran kepada penganut Buddha, sama ada guru atau orang awam, bahawa keselamatan mereka tidak terjamin selagi umat Islam yang tidak berdosa ditangkap dan dibunuh oleh pihak Thailand.

Ia dikatakan ditulis oleh pihak yang menamakan diri mereka Pejuang Patani.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment